Like Blog Ini...

Thursday, November 18, 2010

IJN terima kunjungan Masjid Negara

RASULULLAH SAW bersabda kepada seorang lelaki yang dinasihatinya: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, senangmu sebelum sibuk dan hidupmu sebelum mati (riwayat Tirmizi)."

Menerusi hadis ini, Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa bersiap sedia merebut peluang-peluang keemasan iaitu muda, kaya, sihat senang dan hidup yang dikurniakan Allah dengan melakukan amal bakti untuk kebaikan bangsa dan agama.

Bertitik-tolak kepada saranan inilah, Masjid Negara menganjurkan program Lawatan Mahabbah Aidiladha dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidiladha 1431H kepada para pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 11 November lalu.

Lawatan ini adalah salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ia merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di hospital-hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Program itu dihadiri oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Khidmat Sosial, Masjid Negara, Muhammad Shahrin Zulkiply dan Pengurus Jabatan Kecemasan Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Rayney Azmi. Ia disertai 20 pegawai dan kakitangan Masjid Negara.

Pada majlis itu sumbangan hamper, risalah mengenai Islam serta buku panduan solat ketika sakit keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diedarkan kepada para pesakit di tiga wad terpilih iaitu Wad Kanak-Kanak, Wad Kelas 2 dan Wad Kelas 3, IJN.

Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan kakitangan IJN.

Di samping itu, dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena dengan bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Semoga dengan sumbangan yang tidak seberapa ini, dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital tersebut.

Harapan pihak Masjid Negara agar program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan orang ramai demi untuk terus mengimarahkan masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia, amnya.

No comments: