Soalan 1:
SAYA ada seorang kawan yang free thinker tetapi dia selalu menyebut perkataan takdir, akhirat balasan oleh tuhan dan sebagainya.
Dia amat mengambil berat kebajikan ibu bapanya yang sudah tua dan uzur (terbaring sakit kedua-duanya). Ibu bapanya tinggal di Kuala Lumpur manakala beliau bekerja sebagai jurutera di Singapura dan akan pulang dua minggu sekali menjenguk ibu bapanya. Saya terharu mendengar kisah hidupnya yang disifatkannya tidak bahagia.
Apabila saya menyuruhnya bersabar kerana ini cubaan hidup lalu dia mengatakan cubaan apa kalau hampir 30 tahun masih seperti itu keadaannya.
Dia seperti sedang mencari pegangan agama dalam hidupnya. Apakah buku agama yang sesuai dihadiahkan kepadanya untuk berdakwah kerana beliau suka membaca?
Jawapan:
Dalam diri manusia ada sifat-sifat yang terpuji walaupun orang itu free thinker. Sebab berbuat baik ini adalah tuntutan fitrah manusia. Insan yang baik pasti sukakan kebaikan dan benci kepada kerosakan. Lebih-lebih lagi hubungan anak dengan kedua ibu bapa.
Saya percaya apa yang dilakukan oleh kawan saudara adalah kerana perasaan kasih dan rasa bertanggungjawabnya terhadap kedua ibu bapa. Nilai dan budi yang baik adalah daripada hasil pengasuhan yang baik.
Juga apa yang pasti adalah memang menjadi tanggungjawab seorang anak menjaga ibu bapanya di kala mereka telah lanjut usia. Cuma dia yang faham erti tanggungjawab terhadap menjaga ibu bapa belum sampai pertemuannya dengan hidayah Allah SWT.
Ramai yang saya kenal mereka ini baik lagi berakhlak yang baik tetapi tidak beragama Islam. Mungkin mereka ini selesai dengan manusia tapi tak selesai dengan Allah.
Ini kerana akal yang waras seharusnya digembleng dalam mencari pencipta yang sebenarnya. Orang yang sebegini adalah orang yang benar-benar mempunyai harapan untuk menerima kebenaran.
Ini kerana kehalusan hatinya boleh membawa dia ke jalan yang lebih terang dengan menuju hidayah Allah SWT. Nah, kini tanggungjawab saudara adalah memberi contoh yang baik serta mengajak dia berdiskusi mengenai keindahan Islam. Serta berikan dia buku-buku bacaan yang bersesuaian dengan dia dalam mengenal Islam.
Banyakkan doa mohon Allah berikan dia petunjuk ke jalan Islam. Hidayah ini hak Allah SWT, Dialah yang berhak memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)
Allah sahaja yang mengetahui siapakah di antara hambanya yang mendapat hidayah. Orang yang mendapat hidayah adalah orang yang dipilih Allah bagi menikmati keindahan dan kehebatan agama Islam.
Alangkah hebatnya kalau kawan saudara mendapat hidayah, dengan ciri dan nilai budi indah yang dimilikinya itu dengan Islam menjadi pegangannya pastinya menjadi insan yang dikasihi Allah SWT.
Secara peribadi ustaz doakan Allah membuka pintu hatinya menerima Islam, begitu juga dengan yang lain. Hidayah Allah sangat besar nilainya, hanya yang pernah mengalami sahaja yang dapat merasakan keunikan dan kemanisannya.
Bagi mendapatkan bahan-bahan bacaan yang boleh membantu dia memahami Islam boleh di dapati ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Di sana memang ada banyak bahan-bahan bacaan yang boleh membantu orang yang sedang mencari jalan agama. Dalam masa yang sama belikan juga buku-buku yang mengisahkan pengislaman seseorang, dan belikan juga terjemahan al-quran yang hanya terjemahan tanpa teks ayat-ayat al-Quran.
Soalan 2:
Bagaimana pula nak mengajar saudara baru solat kerana dia masih belum mampu menghafal surah al-Fatihah?
Jawapan:
Membaca surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat, solat seseorang tidak akan diterima sekiranya tidak dibaca fatihah pada setiap rakaat.
Dalam masalah yang diajukan mengenai saudara baru yang masih belum menghafal fatihah hendaklah solat mengikut orang dengan berjemaah.
Pada masa yang sama berusaha menghafal surah al-Fatihah. Pengalaman saya mengajar saudara baru menghafal fatihah tidak lebih dari tiga hari mereka sudah menghafalnya.
Buat permulaan asal boleh baca dulu, biarpun ada sedikit sebanyak kesalahan yang perlu diperbaiki. Kalau nak tunggu betul-betul sempurna mungkin makan masa.
Dalam pada itu sekiranya ada salah dan silap dalam hafalan fatihahnya adalah dimaafkan kerana dia masih baru dalam Islam dan dalam proses belajar.
No comments:
Post a Comment