Like Blog Ini...

Thursday, November 18, 2010

Hakim tidak lagi meminta-minta

HAKIM bin Hizam adalah sahabat Nabi Muhammad SAW. Beliau memiliki tubuh yang sasa dan mampu melakukan kerja-kerja berat tetapi beliau enggan berbuat demikian. Nabi Muhammad suka pada orang yang suka bekerja dan tidak malas.

Walaupun Hakim seorang yang kuat dan dapat bekerja, beliau mempunyai sikap yang tidak dapat dielakkan pada dirinya. Beliau suka meminta-minta barang daripada orang lain.

Pada suatu hari, Hakim datang berjumpa Nabi Muhammad. Beliau mahu meminta barang daripada Nabi Muhammad.

"Wahai nabi, saya mahu meminta sedikit barang ini, bolehkah?" Tanya Hakim kepada Nabi Muhammad.

Sambil tersenyum, Nabi Muhammad berkata: "Ambillah barang ini sekiranya kamu memerlukannya."

Hakim gembira kerana dapat memiliki barang yang dimahukannya. Kemudian, beliau meninggalkan Nabi Muhammad.

Hari terus berlalu. Hakim tetap tidak mahu bekerja. Beliau sentiasa meminta-minta daripada orang lain apabila memerlukan sesuatu barang. Hakim terbiasa dengan sikap meminta-mintanya itu. Beliau tidak mahu berusaha dan bekerja bagi mendapatkan barang itu.

Kali ini adalah kali kedua Hakim datang berjumpa Nabi Muhammad. Pada kali ini, Hakim mahu meminta barang lain daripada Nabi Muhammad. Kedatangannya tidak dihalau oleh Nabi Muhammad.

"Wahai nabi, kedatangan saya kali ini adalah bagi meminta sedikit barang daripada kamu. Barang saya ini sudah habis," kata Hakim.

Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa. Beliau hanya tersenyum melihat gelagat Hakim. Lalu Nabi Muhammad menyerahkan barang yang dimahukan oleh Hakim.

"Terima kasih," ucap Hakim kepada Nabi Muhammad.

Sebentar kemudian, Hakim beredar pergi. Hakim mengetahui, Nabi Muhammad tidak menghampakan permintaannya. Setiap kali Hakim berjumpa Nabi Muhammad, pasti beliau menunaikan segala permintaannya.

Pada suatu hari, kali ketiga Hakim datang berjumpa Nabi Muhammad, Beliau mahu meinta lagi barang yang lain.

"Wahai nabi, saya datang ni mahu meminta barang yang lain pula," kata Hakim.

Seperti biasa, Nabi Muhammad menyerahkan barang yang dimahukan oleh Hakim, Sebelum beliau beredar, Nabi Muhammad sempat memanggil Hakim. Beliau mahu menasihatinya.

"Wahai Hakim, saya mahu memberitahu kepada kamu, seberapa banyak harta yang kita kumpul itu, apabila kita tamak haloba, harta itu tidak mendatangkan sebarang keberkatan kepada kita. Sebaliknya, apabila kita bersyukur dengan mengumpul harta kerana Allah, maka harta itu menjadi berkat kepada kita," nasihat Nabi Muhammad panjang lebar.

Hakim tunduk mendengar nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad dengan teliti.

Baginda menyambung lagi: "Wahai Hakim, ketahuilah kamu, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima."

Tersentak Hakim apabila Nabi Muhammad berkata begitu. Hakim berasa malu dan sedih dengan perbuatannya itu. Hakim sedar tabiatnya yang suka meminta-minta itu.

Lalu, Hakim berkata kepada Nabi Muhammad: "Wahai nabi, kamu menyedarkan saya mengenai perbuatan saya selama ini. Mulai hari ini, saya tidak mahu lagi meminta-minta barang daripada kamu dan orang lain sehingga akhir hayat saya. Saya berjanji, wahai nabi."

Pada suatu hari, Abu Bakar as-Siddiq memanggil Hakim: "Wahai Hakim, saya ada sesuatu barang untuk diberikan kepada kamu. Ambillah barang ini."

"Maafkan saya. saya sudah berjanji tidak menerima pemberian orang lain," jawab Hakim.

Hakim bertekad tidak mengambil pemberian itu. Begitu juga dengan pemberian barang yang mahu disampaikan oleh Umar al-Khattab. Hakim juga turut menolak pemberian itu dengan baik.

Melihat sikap Hakim itu, Umar al-Khattab berkata kepada orang yang berada di sekelilingnya: "Muslimin dan Muslimat, kamu semua menyaksikan, saya mahu memberikan barang yang sepatutnya diterima oleh Hakim, tetapi beliau tidak mahu menerimanya. Kamu semua adalah saksi saya pada hari ini."

Perubahan sikap Hakim yang ketara itu menjadi perhatian orang ramai. Nasihat dan teguran yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepadanya, menjadikan beliau seorang yang tidak meminta-minta atau menerima barang orang lain lagi.

Sikapnya itu berlarutan sehingga Hakim menghembuskan nafasnya yang terakhir.

No comments: