Like Blog Ini...

Monday, January 10, 2011

Insafi kesilapan dan kealpaan lampau

Oleh : Harussani Zakaria

TAHUN 2010 masihi telah melabuhkan tirainya menandakan bermulanya lembaran baru dalam fasa kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT. Rata-rata di kalangan kita menyedari bahawa semakin bertambahnya hari bererti semakin meningkatnya usia. Oleh yang demikian, saya mengajak diri saya dan para pembaca agar bersama-sama menginsafi tentang kesilapan dan kealpaan kita yang lampau dan memacu usaha agar dapat meningkatkan gerak kerja semaksima mungkin bagi memartabatkan agama Allah SWT.

Azam menjadi mukmin yang Muhsin

Firman Allah di dalam surah al-Anfal : 2 :“Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Imam al-Qurtubi menyatakan ayat ini menggambarkan sifat orang-orang mukmin yang takut dan gementar hatinya ketika mendengar nama Allah SWT. Ini hasil dari kekuatan iman dan sikap mereka yang sangat berhati-hati dan menjaga segala perintah Allah SWT. Seolah-olah Allah berada di hadapan mereka. Namun keimanan mereka turut dizahirkan dalam bentuk ibadah seperti yang disebutkan di dalam surah al-Anfal : 3: “Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka”. Iman dan amal yang sudah berada pada martabat inilah sebenarnya yang Imam al-Qurtubi sebutkan sebagai manusia arif billah iaitu manusia yang benar-benar mengenali Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Anfal :4: “Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).”

Iman itu dengan hati, lisan dan anggota

Tentu kita hari ini biasa mendengar bahawa ada sebahagian masyarakat Islam yang meninggalkan solat, berzina malah mengamalkan homoseksual atau lesbian, tidak menutup aurat atau bergelumang dengan maksiat namun menyatakan hatinya masih tetap beriman dengan Allah SWT. Takrif iman seperti yang disepakati oleh para ulama termasuk Imam Syafie ialah “kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, mengucapkannya dengan lidah dan beramal dengan perbuatan”.

Muslim secara zahirnya adalah seseorang yang mengucapkan dan mengakui kalimah syahadah. Jika selama mana hidupnya dia tidak pernah melafazkan atau melakukan perbuatan syirik, maka tetaplah dia muslim. Namun muslim secara zahirnya hanyalah pintu masuk utama dalam perjalanan sebenar seorang yang beragama Islam. Iman bukan sekadar percaya kepada Allah, tetapi lidah mengucapkan kalimah syirik. Iman bukan juga semata lidah berkata beriman tetapi anggotanya menyembah berhala. Iman juga bukan dengan amalan anggota semata-mata, tapi hati menolak Allah SWT.

Seorang muslim sepatutnya berusaha menjadi seorang mukmin iaitu apa yang dipercayai di dalam hati, dizahirkan dalam bentuk lisan dan perbuatan. Setelah itu barulah datang martabat muhsin yang bukan sekadar percaya tapi merasai kehadiran Allah dan diterjemahkan dalam ibadah yang khusyuk dan akhlak yang mahmudah.

Maka dalam hal ini manusia yang menyembah berhala, mensyirikkan Allah walaupun dengan para Nabi dan Rasul, mahupun mereka yang menolak mengucapkan syahadah adalah kufur. Itulah asas antara iman dan kufur.

Kufur dan maksiat tapi menyalahkan takdir?

Jika seorang pencuri ditanyakan kepadanya mengapa kamu mencuri? Jawabnya : ‘Kerana Allah telah takdirkan aku mencuri.’ Jika seorang pembunuh, memberi alasan jenayah bunuhnya, kerana itulah takdirnya. Jika seseorang mengetuk kepala anda, lalu menyatakan bahawa Allah SWT telah mentakdirkan dia mengetuk kepala anda! Perkataan begini betul dari neraca hakikat, namun ia ditolak dari neraca syariat. Mereka wajib dihukum.

Logiknya pencuri tidak akan mencuri atau pembunuh tidak akan membunuh jika dia sedar kehendaknya untuk mencuri atau membunuh bererti menzalimi, menganiayai dan berlaku jahat kepada orang lain. Seorang pencuri, pembunuh malah si pengetuk tadi sebenarnya mempunyai pilihan untuk meneruskan perbuatan itu atau tidak. Namun kesedarannya saja belum pasti mampu mengawal kehendaknya. Ketika itulah manusia memerlukan hidayah bagi menjana kekuatan bagi menolak kemungkaran. Syarat hidayah pula ialah keikhlasan.

Lihatlah, berapa ramai orientalis yang mengkaji Islam dan sedar kebenaran Islam namun mereka bukanlah ikhlas, maka kajian hanya tinggal kajian. Namun bagi mereka yang ikhlas mencari kebenaran, ketika bertemu kebenaran, hatinya seolah tanaman layu yang disirami air, kembali hidup segar. Ingati kisah Salman al-Farisi yang mengembara dari Iran dalam mencari kebenaran iman. Kisah Abu Zar al-Ghifari mencari bermalam-malam kebenaran Rasul SAW. Namun dengan keikhlasan akhirnya Allah SWT ketemukan mereka.

Islam di luar negara lebih terbuka.

Ada orang menyatakan amalan Islam di Malaysia ini terlalu rigid dan sempit berbanding negara-negara lain. Islam yang dipraktikkan oleh masyarakat sama ada di dalam dan luar negara bukanlah ukuran ia tepat atau tidak seperti yang dikehendaki syarak. Malah kadang-kadang ada beberapa uruf (kebiasaan) yang di ambil menjadi hukum juga mempengaruhi aplikasi hukum di satu tempat. Namun asasnya semua itu kena dilihat dari kaca mata nas.

Namun mengapa disuruh Islam saja lebih terbuka dalam menerima agama lain. Mengapa agama-agama lain tidak di suruh menerima dengan lebih terbuka kehadiran Islam. Lihatlah bagaimana Islam di adili di peringkat antarabangsa contohnya di negara-negara yang mengakui tunjang demokrasi. Pembinaan masjid di tapak World Trade Centre tidak dibenarkan atas asas sensitiviti, di Perancis pemakaian purdah diharamkan atas alasan yang tidak langsung munasabah, sementara di beberapa negara lain ummah Islam diberikan layanan yang jauh lebih buruk dari masyarakat bukan muslim di Malaysia.

Akhirnya saya mengharapkan tahun 1432 H dan 2011 M ini bakal membawa kefahaman yang lebih mendalam dalam diri saya dan masyarakat tentang Islam seluruh. Namun saya juga mengharapkan agar masyarakat bukan Islam dapat mendekati Islam dan memahami Islam. Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan, kerana itu wajarlah untuk satu pendekatan khusus di ambil oleh kerajaan dalam menerangkan Islam kepada umum khususnya masyarakat bukan Islam.

Pluralisme agama

Isu pluralisme agama akhir-akhir ini kembali dibahaskan oleh masyarakat. Bahkan saya menerima banyak aduan tentang isu ini dan terbaru berkaitan tulisan seorang penulis wanita di akhbar berbahasa Inggeris. Ingin saya nyatakan di sini bahawa pluralisme agama yang selalu saya sebutkan ialah pandangan yang menyatakan semua agama secara relatif adalah sama, dan tidak ada satu pun agama yang berhak mendakwa diri “uniqueness of truth and salvation” (sebagai satu-satunya kebenaran atau satu-satunya jalan menuju keselamatan).

Tidak dinafikan pada hari ini, bahawa dalam dunia hari ini Islam hidup bersama-sama dengan agama-agama lain yang pelbagai. Namun bagi umat Islam menganggap semua agama itu memiliki kebenaran yang sama saja, adalah salah. Kita umat Islam wajib berpegang teguh dengan firman Allah SWT dalam surah al-Imran : 19: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” Umat Islam wajib berpegang, hanya Islam yang dapat membawa manusia ke jalan yang benar dan lurus seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

No comments: