Oleh NAWAWI SUBANDI
DI kala fitnah perpecahan melanda, rata-rata melupakan sebuah kalimat besar yang kian dipinggirkan. Di ketika masyarakat berlumba-lumba mengangkat kumpulan masing-masing, mereka lupa merujuk khazanah agung rahsia sebuah perpaduan.
Iaitu rahsia perpaduan dan kekuatan milik agama ini sebagaimana yang difahami oleh ahlus sunnah wal-jamaah sejak generasi awal hingga kini.
Sehingga mungkinkah, sebahagian besar masyarakat hari ini anti perpaduan melacak perpecahan menjadi lebih parah?
Bukankah Allah SWT telah berfirman: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu di ketika dahulu (di masa jahiliah) kamu saling bermusuhan, maka Allah telah menyatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. (ali Imran: 103)
Ayat ini turun berkenaan dengan kaum Aus dan Khazraj, menyorot keadaan mereka di masa jahiliah yang sering berperang sesama sendiri, bermusuhan, rasa dengki yang meluap-luap dan dendam yang tidak pernah surut sehingga mengakibatkan saling berbunuhan serta pelbagai lagi bentuk pertempuran yang tiada kesudahannya.
Maka, Allah pun mendatangkan Islam lalu mereka menerimanya dan jadilah mereka golongan yang bersaudara, saling mencintai kerana Allah, saling menjalin persaudaraan, dan tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan. Sebagaimana dalam surah al-Anfal ayat 62 dan 63.
Demikianlah sebab kepada sebuah perpaduan yang telah Allah jadikan. Jadi, yang dimaksudkan dengan tali Allah dalam ayat di atas tadi adalah dengan berpegang teguh kepada agama Allah yang diperintahkan-Nya kepada kita supaya sentiasa memelihara perpaduan, persaudaraan, dan kesepakatan di atas kebenaran serta tunduk dengan seluruh perintah-Nya sebagaimana yang Dia nyatakan dalam Kitab-Nya. Sekali gus larangan untuk bercerai-berai dan keluar daripada ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Dalam fitnah perpecahan yang terus memuncak dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini, para ulama ahlus sunnah wal-jamaah sebenarnya telah lama menyebutkan kaedah dan prinsip untuk mendepani semua ini. Di antaranya, Imam ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H) telah menetapkan dengan katanya, “Kami berprinsip untuk tetap bersama jamaah umat Islam sebagai sebuah kebenaran, manakala perpecahan adalah sebuah penyimpangan dan kesesatan.” (Rujuk: Matan Aqidah ath-Thahawiyah)
Dan hadis yang paling masyhur dalam persoalan fitnah perpecahan ini adalah hadis yang datang daripada Hudzaifah Ibnul Yaman r.a., ketika beliau bertanyakan tentang keburukan, Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.” Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.” Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu. (riwayat al-Bukhari)
Hadis yang mulia ini adalah dalil yang jelas tentang kewajipan mentaati pemerintah umat Islam. Lebih-lebih lagi dalam fenomena dan fitnah perpecahan yang sering melanda umat Islam hari ini. Kerana dengan tetap di atas prinsip inilah kita akan selamat dari perangkap dan subahat para penyeru fitnah perpecahan tersebut. Walaupun yang menjadi pemimpin kita ketika itu adalah orang yang zalim dan fasiq. Ini adalah sebagaimana yang telah penulis jelaskan melalui beberapa siri tulisan.
Dalam hadis tersebut juga mengandungi sanggahan kepada golongan yang beranggapan memisahkan diri dari jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka di ketika berlakunya fitnah atas alasan mahu memperbaiki masyarakat (rakyat). Kefahaman yang menyatakan bahawa apabila berlaku masalah dan pergolakan barisan kepimpinan negara, hendaklah membina kelompok baru dan kumpulan-kumpulan pembangkang bagi menyelesaikannya, maka sebenarnya ia adalah bentuk-bentuk kefahaman yang songsang, kaedah berfikir yang tersasar, serta merupakan suatu bentuk tindakan yang sangat jauh menyimpang dari apa yang disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jamaah.
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan di ketika mensyarahkan hadis di atas ini dengan katanya bahawa, “Para penyeru kepada pintu-pintu jahanam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan Khawarij (pembawa ideologi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “Bersamalah dengan jamaah muslimin dan pemimpin mereka”. Maksudnya, walaupun seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman. (Dalam riwayat yang lain), “walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta kamu”. Situasi seperti ini banyak berlaku pada era pemerintahan al-Hajjaj dan selainnya. “Bersamalah dengan jamaah muslimin dan pemimpin mereka”, maksudnya adalah pemimpin (yang menaungi) mereka. (Fathul Bari, 13/36)
Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menukilkan perkataan ath-Thabari, “Maksud hadis tersebut adalah bersama-sama dengan jamaah yang mentaati orang yang mereka sepakati untuk memimpin mereka. Sesiapa yang melepaskan ketaatan (kepada pemimpin), maka dia terkeluar dari al-jamaah. Melalui hadis ini, ia turut menjelaskan ketika manusia tidak memiliki imam (pemimpin muslim yang ditaati bagi sesebuah negara atau wilayah – pen.) dan masyarakat menjadi berpecah-belah (berpuak-puak), maka kita tidak dibenarkan mengikuti sesiapa pun dari tokoh-tokoh (atau kumpulan) yang terlibat dalam seruan perpecahan tersebut. Tetapi, hendaklah kita menjauhkan diri daripada kelompok-kelompok tersebut sekiranya mampu, kerana dibimbangi akan turut terjerumus dalam kancah keburukan (fitnah). (Fathul Bari, 13/37)
Secara ringkas dan umum, demikianlah kefahaman para ulama ahlus sunnah wal-jamaah dalam memahami prinsip sebuah perpaduan mendepani fitnah perpecahan di bawah konsep yang disebut sebagai al-jamaah. Wallahu a’lam...
n PENULIS adalah anggota Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU).
No comments:
Post a Comment