Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
SETIAP manusia di muka bumi ini tidak lari daripada melakukan dosa. Namun, orang yang beriman itu akan segera bertaubat dan berusaha memperbaiki diri. Seterusnya mendekatkan diri kepada Allah.
Dengan berbuat demikian, barulah kita layak meletakkan diri dalam senarai syurga Allah yang di dalamnya penuh nikmat yang kekal abadi.
Justeru, Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, umat Islam harus menempah syurga daripada sekarang iaitu semasa hayat di dunia ini.
Katanya, apabila mati kelak, yang boleh diharap adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Tiada lagi amalan yang boleh dilakukan.
“Sebab itu, apabila menyedari sudah melakukan dosa atau maksiat, hendaklah bersegera memohon keampunan Allah,” katanya.
Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabb-mu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, yaitu orang-orang yang menginfakkan hartanya, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (ali-‘Imran: 133-135)
Zaharuddin berkata demikian dalam Forum Perdana Islam sempena sambutan Maal Hijrah 1432 di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada 1 Januari 2011.
Seorang lagi ahli panel adalah Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn. Bhd., Dr. Zahazan Mohamed manakala moderatornya ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Ajib Ismail.
Kebernasan dan kepetahan berhujah kedua-dua panel menyebabkan lebih 1,000 jemaah yang hadir tidak berganjak daripada tempat masing-masing dalam forum yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 malam itu.
Menurut Zaharuddin, sudah menjadi lumrah bagi kebanyakan manusia yang akan menanam azam baru setiap kali bertemu dengan tahun baru sama ada bulan hijrah mahu pun bulan masihi.
Dalam Islam, katanya, azam itu dimulakan dengan niat di mana niat itu adalah ibarat benih. Daripada benih itu seseorang perlu berusaha dan membuat perancangan atau mengatur strategi ke arah mencapai azam masing-masing.
“Memanglah, kadang-kadang kita lihat orang bukan Islam itu lebih berjaya daripada golongan Muslim. Antara sebabnya, mereka (bukan Islam) boleh melakukan pelbagai perkara atau usaha tanpa ada sekatan. Sedangkan kita yang Muslim ini ada had-had tertentu yang dibenarkan oleh syarak yang perlu dipatuhi.
“Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang antara lain bermaksud: Dunia ini penjara bagi orang mukmin tetapi syurga bagi orang kafir,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan Zaharuddin tentang kebimbangan para isteri terhadap suami mereka berpoligami menyebabkan suasana menjadi riuh rendah seketika.
Katanya, para isteri jangan takut dengan poligami kerana anda memang akan dimadu di dalam syurga kelak.
“Saya nak beritahu kepada kaum wanita agar jangan takut kepada poligami kerana anda akan melaluinya di syurga kelak.
“Tetapi pada ketika itu, tidak timbul suami lebih sayang pada isteri muda sebab semuanya muda-muda belaka dan sebaya,” katanya.
Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (al-Waqiah: 35-37)
No comments:
Post a Comment