Like Blog Ini...

Wednesday, October 17, 2012

Pengiktirafan kepada pendidikan tahfiz

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAI satu pengiktirafan terhadap pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan satu skim biasiswa baru yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) untuk para pelajar lepasan tahfiz yang telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Sebanyak 97 bekas pelajar tahfiz dari Institut Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti telah menerima skim tersebut yang keseluruhannya bernilai RM450,000 (RM20,000 - RM30,000 setiap seorang), baru-baru ini.

Ini menjadikan mereka sebagai kumpulan pelajar pertama menerima skim daripada kerajaan bagi membantu menampung kos pengajian mereka sehingga mendapat ijazah.

Majlis penyerahan surat tawaran SPH telah dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Perkim, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Institut Darul Quran, Paimuzi Yahya.

Penerima SPH itu terdiri daripada 73 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutamanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebanyak 24 orang pelajar lagi merupakan mereka yang akan melanjutkan pengajian di beberapa buah universiti di Jordan.

Dalam ucapan perasmiannya, Jamil Khir berkata, skim itu telah dicadangkan oleh Jakim kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh menteri-menteri dan menteri-menteri Besar.

"Mereka akhirnya setuju untuk melaksanakan SPH sebagai salah satu pengiktirafan kerajaan dan penduduk Malaysia terhadap pendidikan tahfiz di negara ini dan sebagai satu faktor galakan supaya lebih ramai lagi anak-anak muda kita mencintai al-Quran dan menjadi Ahlul Quran," katanya.

Jamil Khir berharap para penerima SPH tidak sahaja mensyukuri pemberian itu sebagai satu nikmat dari Allah, tetapi memanfaatkan sebaik-baiknya.

Katanya, mereka juga hendaklah menjadi pelajar contoh dengan mengekalkan ketinggian akhlak, sahsiah dan keperibadian sesuai sebagai pelajar yang mempunyai kelebihan dalam pengajian dan menghafaz al-Quran.

"Kita tidak bercadang menjadikan kumpulan pelajar ini sebagai satu bahan uji kaji bagi memastikan SPH benar-benar mencapai maksud dan matlamatnya, tetapi jika itu yang berlaku kita khuatir tidak ada selepas ini pelajar yang akan menerima skim ini lagi.

"Akibat tidak amanah dengan pemberian yang ditawarkan pada hari ini menyebabkan pelajar lain akan tersekat peluang untuk memiliki skim ini pada masa akan datang," tegas beliau.

Sebanyak 287 permohonan diterima dan akhirnya 97 pelajar terpilih, berdasarkan pencapaian tinggi dalam keputusan peperiksaan, latar belakang keluarga dan penglibatan aktif dalam persatuan dan gerak aktiviti pelajar sepanjang berada di Institut Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Melalui SPH, para pelajar akan menerima bayaran RM700 hingga RM800 setiap bulan sehingga tamat tempoh pengajian di universiti dan keutamaan diberikan kepada mereka yang melanjutkan pengajian di bidang agama dan al-Quran.

"Di masa akan datang kita bercadang meluaskan pemberian skim ini kepada mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana mahupun Ijazah kedoktoran dan mereka yang mengambil pengajian di pelbagai bidang akademik lain selain agama," kata Jamil Khir.

Para penerima tidak perlu lagi membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPN) bagi menampung kos pengajian malah mereka juga tidak perlu membayar semula atau terikat dengan syarat untuk berkhidmat dengan mana-mana pihak selepas tamat pengajian.

Namun difahamkan rekod pengajian mereka akan sentiasa dipantau sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan skim ini benar-benar melahirkan para pelajar terbaik di universiti.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121017/ba_03/Pengiktirafan-kepada-pendidikan-tahfiz#ixzz29XmsVc8P
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: