Like Blog Ini...

Monday, January 21, 2013

Mata terkawal, hidup bahagia

MATA jendela hati. Kesan menjaga mata sangat besar dalam menjaga hati. Mata yang tidak terjaga akan membuat hati keruh dan minda kotor. Mata yang terkawal akan memudahkan seseorang dalam mengawal rasa hatinya.

Oleh itu, semua ulama daripada kalangan salafus soleh sangat mengambil berat dalam menjaga mata. Salah seorangnya adalah Hassan bin Abi Sinan dari kota Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama, sekali gus peniaga terkenal. Meski selalu berjumpa dengan ramai orang, beliau selalu menjaga matanya daripada yang haram.

Suatu hari, Hassan keluar untuk melaksanakan solat hari raya. Apabila tiba di rumah kembali, isterinya yang cemburu berkata: "Berapa banyak wanita cantik yang engkau lihat hari ini?"

Hassan menjawab: "Demi Allah, Aku tidak melihat apa-apa selain ibu jari kakiku sejak keluar rumah hingga pulang kembali."

Panah beracun

Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap Mukmin laki-laki dan perempuan wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka terselamat daripada tali-tali syaitan yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.

Allah SWT berfirman: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. (al-Nur: 30)

Pandangan yang tidak terkawal ibarat panah beracun yang menembus ke dalam dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan merosak minda dan hati kita. Dosa zina yang sangat dibenci selalu bermula daripada lirikan mata.

Daripada Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda: "Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Barang siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati. (diriwayatkan oleh Al-Hakim)

Bukan hanya aurat

Menjaga mata bukan hanya daripada aurat yang terdedah. Malah, mata juga mesti dijaga daripada harta yang berada di tangan orang lain. Sebab seringkali penyakit hati bersarang di hati selepas melihat benda-benda milik orang lain. Penyakit hati itu antaranya hasad dengki, iri hati bahkan dendam.

Para ulama berkata: "Siapa yang melepas matanya mengikuti apa yang berada di tangan orang, maka tidak akan habis kesedihannya."

Yahya bin Yaman bercerita: Suatu hari, aku berjalan bersama Sufyan Al-Thauri. Apabila melalui sebuah rumah yang mewah, aku mengangkat kepalaku untuk melihatnya. Sufyan melarangku dan berkata: "Janganlah engkau melihat ke rumah ini. Sebab ia sengaja dibuat agar dilihat oleh orang-orang sepertimu." Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Dunia dalam kitab warak.

Mata juga mesti dijaga daripada melihat orang lain yang tengah melakukan maksiat. Dikhuatiri timbul keinginan untuk meniru atau mencuba maksiat tersebut. Terlalu banyak kes ketagihan rokok dan dadah di kalangan anak muda asalnya daripada keinginan untuk mencuba-cuba sahaja.

Itu sebabnya Islam mengingatkan untuk berhati-hati memilih kawan. Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan peniup api. Daripada penjual minyak wangi, engkau akan mendapatkan minyak itu atau mendapatkan wanginya. Adapun daripada peniup api, maka baju engkau akan terbakar atau mendapatkan bau busuknya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mata kita, pilihan kita

Mata adalah anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Ia diberikan kepada manusia agar digunakan untuk membantunya melakukan ketaatan.

Gunakan ia dalam kebaikan, nescaya ia akan tetap sihat terjaga hingga ke akhir usia. Seandainya, kita menggunakan ia dalam keburukan, maka kesusahan dan kegagalan hati yang akan ia hasilkan.

Pilihan terpulang kepada kita. Mana yang kita pilih, itu yang akan kita dapatkan. Wallahu a'lam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130115/ba_01/Mata-terkawal-hidup-bahagia#ixzz2IcXWaHdz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terpedaya fitnah harta

ADA satu persoalan yang sering bermain di minda saya, iaitu bolehkah orang-orang yang kelihatan sihat tubuh badannya, kuat dan tidak pula mengalami kekurangan fizikal seperti cacat anggota, mendapatkan bantuan zakat? Ini kerana, kadang-kala mereka seakan-akan sengaja meminta zakat demi mendapatkan habuan dunia tanpa perlu berusaha atau bekerja. Apakah pandangan Islam di sini dan harapkan penjelasan ustaz?

Jawapan

Alhamdulillah kerana saudara mempunyai pertanyaan seperti ini dan mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu menjentik naluri dan hati ramai manusia di luar sana, khususnya para masharif atau asnaf yang menerima bantuan zakat dan juga pembayar zakat untuk lebih memahami hukum pengagihan harta zakat.

Sememangnya manusia ini sifatnya memang menyukai harta dan kekayaan. Tidak kiralah status sosialnya sebagai orang kaya atau miskin, mereka menjadi ghairah dengan harta. Atas sebab itulah Allah SWT mengingatkan kita tentang fitnah harta: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Anfal: 28)

Harta dan kekayaan juga sering menjerat manusia untuk mengejarnya, sehingga sanggup mengabaikan perkara haram, menafikan keberkatan dan melupakan kesan kepada kehidupan di akhirat. Allah SWT mengingatkan lagi: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (iaitu orang-orang) yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya (tetapi tidak menyalurkan kekayaannya ke jalan-jalan yang dikehendaki Allah). (al-Humazah: 1-2)

Berbalik kepada persoalan di atas, adakah Islam mengizinkan para penganutnya yang sihat tubuh badannya, yang sihat akal fikirannya dan mampu pula bekerja sehingga mendatangkan penghasilan untuk mendapat habuan zakat?

Asalnya, mereka yang dipandang mempunyai kesihatan dan kekuatan tubuh badan adalah sama seperti orang kaya, yakni ditegah untuk disalurkan zakat atas nama kemiskinan kepada mereka. Sehinggalah diketahui bahawa di sebalik sifat fizikal itu, hakikatnya mereka memang memerlukan bantuan zakat.

Di dalam satu hadis dinyatakan oleh Ubaidullah bin Adi seperti berikut: "Diberitakan kepadaku oleh dua orang lelaki, bahawa mereka mendatangi Nabi SAW dalam haji Wada', kala itu Nabi SAW sedang membahagi sedekah, lalu memohon kepada Nabi SAW bahagian mereka. Maka Nabi SAW mengangkat pandangannya melihat kami dan merendahkannya, lalu baginda mendapati kami orang yang kuat, kerana itu bersabdalah baginda: Jika kamu mahu, aku berikan juga, sesungguhnya tidak ada bahagian pada zakat itu untuk orang kaya dan untuk orang kuat yang mempunyai usaha." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasaie)

Al-Khatabi menyatakan, bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang tidak diketahui mempunyai harta sedangkan zahirnya mereka sihat, maka boleh dianggap sebagai seorang yang fakir untuk menerima zakat. Begitu juga, biar pun fizikalnya dia kelihatan mampu bekerja; namun itu tidak memadai melainkan hendaklah dipastikan dia memang benar-benar mempunyai usaha atau pekerjaan bagi dirinya sendiri, maka sementara itu layak dia menerima zakat (rujuk Pedoman Zakat, TM Hasbi as-Shidieqy, hal. 154).

Sementara itu, di dalam hadis-hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW pernah menegah seseorang Muslim untuk meminta-minta, seperti mana sabda baginda: "Meminta itu tidak dihalalkan, kecuali kepada tiga jenis orang, iaitu orang yang sangat fakir, orang yang mempunyai hutang yang sangat banyak dan orang yang wajib membayar diyat (denda yang disabitkan kepada kesalahan qisas dalam syarak)." (riwayat Abu Daud)

Maka, daripada hadis ini boleh difahami, bahawa jika orang-orang yang sihat dan kuat tubuh badan itu termasuk dalam salah satu kategori di atas, maka boleh mereka meminta bantuan orang lain bagi menutupi keperluannya.

Manakala di dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menyatakan: "Tidak halal sedekah itu bagi orang-orang kaya dan bagi orang yang mempunyai tenaga (untuk) berusaha." (riwayat Ahmad, an-Nasaie dan at-Termizi)

Fuqaha seperti as-Syafie, Ishak, Abu Ubaid dan Ahmad berkata, hadis ini menjadi pertunjuk bahawa tidak halal menyalurkan zakat kepada orang yang kuat bekerja dan mempunyai pekerjaannya. Kecuali dia memang sudah mempunyai pekerjaan; namun masih tidak mampu memenuhi keperluannya, seperti mana pada pandangan ulama terdahulu, boleh bagi orang yang kuat mengambil sedekah jika mereka mempunyai kurang daripada dua dirham demi kehidupannya (ibid, hal. 155).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130118/ba_03/Terpedaya-fitnah-harta#ixzz2IcXNAfGI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Waktu mustajab doa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

NABI SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.

Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.

Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang sebenar.

Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan dalam al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.

Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga perlu mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan dan permohonan kita.

Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang dimuliakan Allah SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan Ramadan lebih mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari paling mulia berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain tidak mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding yang lain.

Antara waktu-waktu yang dimustajabkan doa ialah;

l Akhir satu pertiga malam: Akhir waktu sepertiga malam adalah waktu yang paling terbaik untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah SWT. Pada detik dan saat ini, biasanya suasana lebih tenang dan damai, memudahkan sang hamba untuk memberikan fokus dan perhatian kepada pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT.

Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang bangun di tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa tidurnya semata-mata kerana Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

l Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa: Waktu ini terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya mengharungi lebih kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT.

Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab kerana ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan keinginannya kerana Allah SWT.

Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa, Allah SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk dimakbulkan.

Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)

l Ketika selesai menunaikan solat fardu: Ketika seseorang itu menunaikan solat, dia sebenarnya sedang bermunajat, memohon ampun dan berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti dan manifestasi kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT.

Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT.

Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu." (sunan At-Tirmidzi)

l Hari Jumaat: Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu penghulu segala hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.

Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga. Pada detik itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun, detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut. (riwayat al-Bukhari)

l Antara azan dan iqamah: Azan dan iqamah adalah panggilan untuk mendirikan solat. Pada waktu ini umat Islam akan meninggalkan urusan sehariannya dan akan menumpukan kepada solatnya.

Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Baihaqi)

l Ketika sujud: Ketika sedang sujud, seorang hamba akan meletakkan kepala dan wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini adalah merupakan satu bentuk pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang sangat lemah, miskin dan hina. Sifat merendahkan diri ini sangat penting untuk merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat dimustajabkan doa seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya. Namun, yang paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan dalam diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.

l PENULIS ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130116/ba_01/Waktu-mustajab-doa#ixzz2IcXD6rIc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Laksana amar makruf nahi mungkar

Oleh AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan kita, melaksanakan kebaikan dan menjauhi kemungkaran adalah sangat dituntut oleh Islam. Perbuatan ini adalah ibadah yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat Islam. Jika dilihat ibadah ini sukar dilakukan disebabkan sifat, 'tidak mahu jaga tepi kain orang lain.'

Sebenarnya, ia telah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyatakan kebenaran dan mengajak kepada kebaikan, di samping berusaha untuk mencegah segala bentuk maksiat dan dosa. Tuntutan ini difirmankan Allah SWT dan telah menjadi suatu perintah yang tidak boleh diabaikan. Ini disebabkan pengabaian akan bererti suatu ujian yang lebih besar akan menimpa kepada umat ini.

Konsep pendidikan dalam al-Quran yang menekankan umat Islam, khususnya melaksanakan tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah untuk mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dapat menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.

Ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Oleh sebab itu, antara tugas para nabi dan rasul mentauhidkan Allah SWT dan meninggalkan segala rupa bentuk kesyirikan dan kejahatan. Jika kerja dakwah nabi dan rasul ini ditinggalkan maka akan rosak dan hancurlah masyarakat ini.

Oleh itu, semua umat Islam bersatu menyeru ke arah menegakkan usaha dakwah yang mulia melalui beberapa pendekatan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menegakkan amar makruf nahi mungkar meliputi semua aspek dari aspek ibadah, akhlak dan sosial. Dari segi ibadah ia meliputi ibadah solat, puasa, zakat, haji (jika mampu), jihad, takwa, zikir dan taubat. Manakala dari aspek akhlak ia meliputi sifat tawakal, tawaduk (rendah diri), syukur, sabar dan lemah-lembut. Dari aspek sosial sifat adil, menepati janji, ihsan dan berilmu pengetahuan. Semua aspek ini meliputi kehidupan umat Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu memikirkannya dan membuat tindakan mengikut kemampuan. Di sekeliling kita, di desa dan kota, terlalu banyak kemungkaran yang kadang-kadang sudah lali di mata kita sehingga kita tidak mampu menghalangnya, hanya dengan hati yang tidak menyetujui.

Adakah di antara kita umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan amar makruf dan mencegah kemungkaran. Ia boleh dilakukan melalui nasihat yang berhikmah, tulisan yang berhemah, lidah yang sentiasa beribadat, hati yang sentiasa tengadah.

Oleh itu, seru ke arah menegakkan usaha dakwah yang mulia, sama ada di dalam rumah, di luar rumah, di masjid, di jalanan, di tempat permandian, di pusat membeli-belah, di majlis kenduri-kendara, dengan penuh bijaksana mendidik membimbing ke arah kebaikan semua.

l PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130116/ba_02/Laksana-amar-makruf-nahi-mungkar#ixzz2IcX3hB9Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Makan ikut sunnah

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

NABI Muhammad SAW memulakan makan dengan menyebut kalimah Basmallah, kemudian membaca doa makan dan makan menggunakan tangan kanan serta makan makanan yang berada berdekatan dengan baginda.

"Sebelum menjamah makanan, Rasulullah SAW makan secubit garam dan disudahi dengan menjilat jari serta mengucapkan Alhamdulillah.

"Baginda menggunakan tiga jari untuk makan iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta baginda mengunyah makanan sebanyak 40 kali. Baginda tidak bernafas ketika minum air iaitu bernafas di luar bekas minuman serta baginda minum air seteguk-seteguk dengan dimulakan dengan Bismillah."

Itulah antara fakta menarik berkaitan Baginda kita Nabi Muhammad SAW yang dikongsikan oleh Penolong Pengarah Unit Kajian dan Penilaian Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Afandi Che Harun pada seminar 'Makanan Halal Bersama Saudara Muslim', baru-baru ini.

Apa yang disampaikan ini mungkin tidak menyentuh mereka yang Islam sejak lahir, namun tidak bagi sebahagian 200 Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Filipina, Indonesia, Siam, Kemboja, Nigeria dan mahasiswa Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) yang mengikut seminar itu.

Tambah menarik apabila diberitahu bahawa menu harian Rasulullah SAW di pagi hari ialah segelas air dicampur sesudu madu dan selesai solat sunat dhuha, baginda SAW akan memakan tujuh biji kurma ajwa.

"Sekiranya berpuasa, baginda akan berbuka dengan segelas susu dan kurma. Baginda menambahkan cuka dan minyak zaitun di dalam makanannya pada waktu petang.

"Bahkan, baginda melarang umatnya meneruskan makan sekiranya sudah kenyang kerana perut harus dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, air dan udara," ujar Mohamad Afandi.

Seminar yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang Baru, Selangor ini telah mendapat kerjasama Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Perkim Cawangan Selayang Baru, Selangor.

Mohamad Afandi dalam ceramahnya yang bertajuk, 'Cara Pemakanan dan Pesanan Rasulullah SAW' berkata, terdapat sebanyak 67 kali mengenai halalan toyyiba diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

"Dalam pemakanan juga umat Islam harus mengamalkan kaedah mengikut sunnah Nabi kerana Allah akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Muhammad Afandi turut menceritakan kisah wali Allah, Ibrahim bin Adham ketika beliau berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya. Lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang perlu dibayar dengan amal ibadah.

Pada sesi kedua seminar, Mohamad Afandi menyampaikan ceramah bertajuk, 'Kajian dan Operasi Bahagian Hab Halal Jakim Terhadap Pusat Penyembelihan dan Penternakan Haiwan di Malaysia'.

Jelasnya, konsep halalan toyyiba digunakan di Jakim ialah Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Analisis Bahaya Terhadap Produk Makanan (HACCP) yang ditugaskan oleh pegawai syariah dan pegawai teknikal.

Antara topik yang dibincangkan ialah penyembelihan secara Islam, proses penyembelihan ternakan, dan hubungan dengan kesihatan umum.

"Malaysian Standard (MS 1500:2009), Menu Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) adalah antara asas rujukan untuk mengeluarkan pensijilan halal Malaysia," ujarnya untuk maklumat lebih terperinci orang ramai boleh melayari laman web Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Sementara itu, pada seminar terakhir telah disampaikan ceramah bertajuk, 'Situasi Penyediaan dan Gaya Pemakanan Masa Kini serta Implikasinya Terhadap Manusia' oleh Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustafa Hamzah.

Mustafa dalam ceramahnya berkongsi pengalaman mengenai isu amalan syirik di kalangan masyarakat Islam bagi menjatuhkan perniagaan individu atau kumpulan tertentu.

Jelasnya, masyarakat Islam perlu sedar kerana majoriti umat Islam sanggup menghabiskan masa di restoran yang tidak sahih status kehalalannya, berbanding di restoran Islam itu sendiri. Mereka ini berselindung de sebalik ayat-ayat al-Quran dan serta menggunakan pelaris. Ini semua diperoleh daripada hasil risikan dan serbuan pihak PPIM.

"Umat Islam harus lebih sensitif kerana ada di antara syarikat menyumbangkan beberapa peratus keuntungan kepada rejim Zionis untuk membunuh umat Islam secara halus dan terang-terangan," ujar Mustafa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130115/ba_03/Makan-ikut-sunnah#ixzz2IcWtnBqM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, January 14, 2013

Mengenang kelahiran cahaya hidayah

BAHANG Rabiulawal semakin terasa dan kembali menghangatkan rasa lantas mengajak kita kembali mengenang sebuah kelahiran yang disambut oleh umat Islam dengan suasana gilang-gemilang di seluruh pelosok dunia pada setiap tahun.

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman maksudnya: Katakanlah dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan itu mereka bergembira, itulah yang terlebih baik dari apa yang mereka himpunkan. (Yunus: 58)

Ayat di atas memerintahkan orang mukmin bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah. Perasaan gembira yang diperintahkan oleh Allah untuk dizahirkan itu tidak lain hanyalah sebagai tanda kita mensyukurinya.

Dalam mengupas dengan lebih mendalam mengenai ayat ini, Abdullah ibnu Abbas ra berkata, "Kurniaan Allah itu bermaksud ilmu, manakala rahmat-Nya bermaksud Nabi Muhammad SAW."

Apakah lagi rahmat yang paling besar yang meliputi sekalian makhluk melainkan nikmat dan rahmat perutusan Rasulullah SAW yang mana dengan sebab itu kita mengecap nikmat iman dan Islam.

Sesungguhnya benarlah firman Allah SWT maksudnya: Dan tidak kami utuskan engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke atas semesta alam. (al-Anbiya': 107)

Memperingati Rasulullah SAW dengan membicarakan tentang sirah perjalanannya adalah suatu yang dituntut di dalam Islam. Demikian juga hikayat orang-orang soleh di mana ia memberi manfaat dan faedah yang banyak kepada seseorang mukmin.

Berkata Sufyan ibnu Uyainah ra, "Hikayat-hikayat itu adalah seorang tentera daripada batalion tentera-tentera Allah. Dengannya Allah menguatkan hati-hati para wali-Nya."

Maha Suci Allah yang menjadikan hati dan lidah para kekasihnya secocok dengan apa yang datang bersama al-Quran dan sunnah kekasih-Nya SAW. Perkataan Sufyan ibnu Uyainah ini juga pada hakikatnya bertepatan dengan apa yang datang melalui al-Quran yang menjadi dalil bagi keharusan sesebuah perhimpunan yang seumpama majlis memperingati jasa bakti seseorang.

Allah SWT berfirman maksudnya: Dan tiap-tiap berita dari berita para Rasul itu kami ceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. (Hud: 120)

Allah SWT telah mentarbiah Rasulullah SAW dengan kisah-kisah dan teladan para Nabi dan Rasul as yang terdahulu agar hati Baginda SAW sentiasa tabah dan cekal dalam mengharungi liku-liku dakwah.

Maka apalah kiranya kita sebagai umatnya pada hari ini duduk mentarbiah jiwa dengan menyambut maulid Nabi yang diisi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, sirah kehidupan, mukjizat serta keistimewaan Baginda SAW untuk mendamba ketenangan, kekuatan dan kecekalan jiwa yang juga merupakan kekuatan spiritual dalam Islam.

Cahaya penyuluh jalan

Sesungguhnya insan pertama yang meraikan kelahiran teragung ini ialah Rasulullah SAW sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang kelazimannya berpuasa pada hari Isnin, maka Baginda SAW menjawab: "Padanya (hari Isnin) saya dilahirkan dan pada hari Isnin juga wahyu pertama diturunkan ke atas saya."

Berdasarkan hadis tadi dapatlah kita fahami bahawa harus hukumnya meraikan sambutan maulid Nabi SAW di mana Baginda sendiri telah meraikan kelahirannya dengan berpuasa.

Keharusan meraikannya juga boleh diterjemahkan oleh umat ini dalam apa jua bentuk amal kebajikan kerana tiada dalil pengkhusus (mukhassis) bagi membataskan sambutannya hanya dengan berpuasa. Barang siapa mengkhususkannya hanya berpuasa hendaklahlah mendatangkan dalil khusus sebagai hujah mempertahankan pendapatnya.

Sentiasalah kegembiraan ini diraikan pada setiap tahun oleh para salaf secara individu sehinggalah seorang raja yang soleh bernama Malik Muzaffar Abu Sa'id Kukabri meraikannya secara besar-besaran dan majlis keramaian.

Diriwayatkan oleh Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Malik Muzaffar Abu Sa'id Kukabri adalah seorang dermawan, ketua pembesar, raja yang mulia dan mempunyai akhlak yang baik. Beliau mengadakan maulid Nabi pada bulan Rabiulawal dan menyambutnya dengan sambutan yang amat meriah. Di samping itu beliau juga merupakan seorang yang mulia, berani, alim dan adil. Semoga beliau dirahmati Allah dan ditempatkan di sebaik-baik tempat. Beliau telah membelanjakan sebanyak 300,000 dinar di dalam majlis maulid Nabi."

Bergembira dengan kelahiran Baginda SAW tidak lain hanyalah melahirkan kesyukuran di atas kurniaan yang amat bermakna ini. Bersukaria tatkala menjelmanya saat yang amat diberkati dan bertepatan dengan tarikh kelahiran Baginda SAW hanyalah menzahirkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang tiada tolok bandingnya. Nikmat dikurniakan cahaya hidayah yang menyuluh kehidupan manusia serta menjadi pedoman sepanjang zaman.

Allah SWT berfirman maksudnya: Dan apa-apa jua daripada nikmat Tuhan-Mu itu maka ceritakanlah. (al-Dhuha: 11)

Berdasarkan dalil ini diambil kefahaman bahawa menceritakan nikmat Allah SWT itu adalah merupakan satu perintah. Seseorang hamba yang secocok jiwanya dengan apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT itu sentiasa mencari-cari jalan dan wasilah agar dapat melahirkan rasa syukur terhadap setiap kurniaan-Nya.

Maka apabila tibanya detik-detik yang bermakna seperti tarikh yang bertepatan dengan kelahiran teragung ini, maka mereka menjadikan saat itu waktu untuk bergembira dan melafazkan pujian dan syukur kepada Allah SWT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130108/ba_04/Mengenang-kelahiran-cahaya-hidayah#ixzz2HwwQSCNb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Menjadi Muslim sejati

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

SEBAGAI manusia, kadang-kadang kita terlupa siapa pencipta yang mewujudkan dan tujuan dihidupkan di muka bumi ini. Kealpaan tersebut menyebabkan kita bongkak lalu lupa sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada Allah SWT selaku tuhan sekalian alam.

Selain itu, walaupun status pada kad pengenalan bertulis agama Islam, tetapi adakah ia sekadar anutan pada namanya. Adakah solat fardu lima waktu ditunaikan sepenuhnya pada hari ini? Berapa kali kita memulakan segala perbuatan dengan kalimah Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah?

Demikian sebahagian contoh bagi menunjukkan kealpaan sebagai manusia untuk mengingati bahawa kita sekadar makhluk yang dijadikan Allah untuk melakukan segala suruhan dan meninggalkan larangan seperti mana termaktub dalam syariat Islam.

Sehubungan itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. sekali lagi menerbitkan sebuah buku buku bertajuk, Aku Muslim sebagai satu renungan dan pembuka minda umat Islam di luar sebagai muhasabah dan peringatan yang membina jati diri sebagai seorang Muslim.

Buku garapan oleh seorang penulis wanita, Nur Khairunnisa Iskandar memulakan karyanya itu dengan sebuah kisah pengalamannya bersama dua kanak-kanak yang difahamkan kurang didikan berhubung tanggungjawab menunaikan solat.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, Nur Khairunnisa merasakan fenomena itu sudah tidak asing lagi dalam masyarakat hari ini dengan walaupun beragama Islam tetapi cara kehidupan tidak diselitkan dengan ciri-ciri agama tersebut.

Maka penulis merangkumkan kebimbangan yang dihadapinya dengan membawa 39 renungan berkisah tentang muhasabah untuk membina jati diri sebagai muslim. Setiap orang wajar memiliki naskhah buku ini oleh kerana ia menyuntik semangat beramal kepada agama dengan dorongan motivasi Islam dan menyentuh realiti kehidupan Muslim secara santai dan mudah.

Adakah kehidupan sebagai Islam akan bermakna jika tindakan seharian dipenuhi dengan perkara-perkara tidak berfaedah, maka Nur Khairunnisa dalam karyanya itu membawa ayat-ayat suci al-Quran untuk dijadikan pedoman supaya sesiapa yang membaca buku tersebut sedar dan insaf bahawa tujuan mereka dilahirkan adalah untuk melakukan tanggungjawab kepada Allah.

Buku setebal 162 muka surat berharga RM18.00 itu wajar dimiliki untuk sesiapa yang ingin memotivasikan diri mereka untuk menjadi seorang muslim yang mempunyai jati diri sebenar seperti mana yang tercatat dalam al-Quran dan al-Hadis.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi penerbit, Telaga Biru Sdn. Bhd. di Nombor 28, Jalan Tembaga SD 5/2A, Sri Damansara Industrial Park, Kuala Lumpur atau menerusi talian 03-6275 4070.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130104/ba_04/Menjadi-Muslim-sejati#ixzz2HwvxHPsH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Talian hayat hamba Allah

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SETIAP kali kita ditimpa ujian dalam apa jua bentuk sekalipun, maka pulanglah kepada Allah SWT dengan mengangkat tangan berdoa serta memohon kepada-Nya. - Gambar hiasan

DALAM menjalani kehidupan, memang telah menjadi lumrah seseorang itu berdepan dengan masalah. Masalah tersebut kadang-kadang datang dan pergi sehinggalah kita dipanggil pulang oleh Allah SWT dengan kematian.

Oleh itu, selagi mana kita hidup, maka selagi itulah ujian demi ujian diberikan oleh Allah SWT mengikut tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT untuk menilai siapakah yang terbaik amalannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Antara tujuan Allah SWT menguji manusia dengan masalah ialah untuk mendekatkan diri mereka kepada-Nya. Ini adalah kerana, sekiranya manusia itu mempunyai sifat kehambaan, tentulah dia akan bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah SWT.

Oleh kerana itu, setiap kali kita ditimpa ujian dalam apa jua bentuk sekalipun, maka pulanglah kepada Allah SWT dengan mengangkat tangan berdoa serta memohon kepada-Nya.

Allah SWT sebenarnya terlalu dekat dengan kita. Dia tidak akan mensia-siakan setiap permohonan dan doa yang dipersembahkan oleh hamba- hamba- Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah: 186)

Ramai orang menganggap doa adalah sesi pemberitahuan dan perkhabaran kepada Allah SWT tentang masalah yang kita hadapi. Sebenarnya mereka silap. Allah SWT sebenarnya Maha Mengetahui segala perkara yang berlaku terhadap diri kita kerana ia berlaku dengan izin dan kehendak-Nya.

Maka itu, doa bukanlah bermaksud untuk memaklumkan kepada Allah SWT tentang apa yang berlaku. Sebaliknya, doa ialah satu pembuktian kehambaan kita kepada Allah SWT. Sebagai hamba, tiada tempat yang sepatutnya kita mohon pertolongan melainkan kepada Allah SWT.

Di samping itu, doa juga adalah merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Oleh kerana ia adalah ibadah, maka terdapat kemungkinan Allah SWT tidak menerima doa tersebut sekiranya tidak menepati syarat-syaratnya sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Doa itu ialah ibadat. (riwayat Bukhari)

Oleh sebab itu, Allah SWT tidak suka sekiranya kita tergesa-gesa dalam berdoa. Kita perlu tenang dan berlemah-lembut dalam mengemukakan harapan dan rintihan kita kepada Allah SWT.

Jangan gunakan suara yang keras dan kuat seumpama memerintah dan mengarahkan dalam berdoa. Ia sama seperti kita memohon sesuatu daripada orang lain. Kita perlu menjaga tutur bahasa dan percakapan sewaktu mengemukakan permohonan tersebut.

Kita juga perlu berhati-hati dalam memilih perkataan yang ingin diucapkan. Barulah orang tersebut bersedia untuk mempertimbangkan permohonan yang kita kemukakan.

Maka, sekiranya sesama manusia kita kena jaga adab dalam meminta, maka lebih-lebih lagi sekiranya kita meminta kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Allah SWT bukan sahaja meminta kita untuk berdoa kepada-Nya, Dia juga mengajar kita bagaimana cara terbaik untuk berdoa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (al-A'raf: 55)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130109/ba_02/Talian-hayat-hamba-Allah#ixzz2HwvJvNwa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bahana al-wahn dalam hati

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

UMAT Islam di negara ini amat beruntung apabila menyambut dua kali tahun baru iaitu Maal Hijrah dan Tahun Baru Masihi. Hal ini bermakna kita diberi peluang dua kali untuk berazam dan melakukan perubahan. Peluang berganda diberikan itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengisi cabaran dan rintangan mendatang.

Tahun 2012 telah meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit kepada umat Islam, bahkan tahun itu merupakan saat mencabar dengan ditimpa isu dan kecaman.

Bagi umat Islam negara ini, kita tidak mengalami nasib seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat seperti Palestin, Syria dan lain-lain lagi termasuk di Rohingya, Myanmar. Sebaliknya kita mestilah menyelami perasaan yang menimpa mereka dengan menghulurkan bantuan selain mensyukuri nikmat keamanan tanah air.

Timbul persoalan mengapa masih lagi umat Islam dikecam dan dihina sedangkan majoriti penduduk di muka bumi ini beragama Islam?

Ketika bertanyakan soalan tersebut kepada tokoh agama tersohor, Fauzi Mustafa, beliau memetik satu hadis bahawa Rasullullah pernah bersabda bahawa bilangan umat Islam akhir zaman adalah ramai umpama buih-buih di lautan.

Baginda bersabda lagi, Allah telah mencabut dalam hati musuh-musuh kamu daripada perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn ke dalam hati umat Islam.

Kemudian para sahabat bertanya lagi, "Apa al-wahn itu Rasulullah?" Jawab Baginda, "Cintakan dunia dan bencikan mati."

Fauzi berkata, penyakit yang melanda umat Islam itu menyebabkan minda dan tindakan kita masih terjajah walaupun sesetengah negara Islam telah merdeka dan bebas daripada genggaman penjajah. Sehubungan itu tambah beliau, kemelut masalah itu dapat diselesaikan sekiranya umat Islam bersatu padu atas landasan akidah.

"Seperti yang berlaku di beberapa negara Islam apabila masing-masing mengamalkan budaya perkauman (asabiah) yang mementingkan diri sendiri dan tidak membantu semasa akidah yang berhadapan bencana alam atau peperangan.

"Perkara itu yang membimbangkan agama Islam sekarang tatkala masing-masing mengejar kemewahan dunia tetapi meninggalkan akhirat," katanya.

Berbalik kepada situasi di negara ini, jelas Fauzi Mustafa walaupun umat Islam hidup dalam keadaan aman dan sejahtera bersama pelbagai agama, kaum dan etnik, tetapi mereka perlu kepada fitrah asal iaitu kembali kepada agama.

Fauzi menjelaskan, gaya hidup umat Islam negara ini telah diselami dengan budaya-budaya luar sehinggakan mereka meninggalkan suruhan dan melakukan larangan Allah. Budaya rasuah, menghasut dan memporak peranda kini sering dikaitkan dengan umat Islam sedangkan dakyah itu bukan ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

"Pokok pangkalnya kita mesti kembali kepada ajaran agama, jika kita hendak maju dan sejahtera, ikutilah segala pengajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

"Saya kadang-kadang terfikir mengapa zionis menyerang penduduk Palestin tidak pula negara-negara Islam lain. Jawapannya adalah umat Islam Palestin mempunyai semangat jihad tinggi untuk mempertahankan agama berbanding negara Islam lain yang dilanda penyakit al-Wahn," jelas beliau.

Umat Islam perlu maju

UMAT Islam kini tidak menyedari bahawa segala cabang ilmu yang dikuasai oleh barat sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Kedua-dua panduan dan rujukan utama umat Islam sering kali dijadikan bahan rujukan penjajah dan akhirnya mereka mengakui bahawa kemajuan sains dan teknologi dilakukan oleh mereka.

Oleh itu kekurangan umat Islam untuk terlibat dalam pelbagai bidang profesional amat dikesali sedangkan tuntutan tersebut merupakan satu fardu kifayah.

Jelas Fauzi kini sudah tiba masanya khususnya azam baru 2013 untuk berubah dengan menggalakkan para generasi muda Islam untuk terlibat bidang yang diterokai oleh barat.

"Wahyu pertama diturunkan Allah ialah Surah al-Alaq dengan menyuruh umatnya membaca yang antara lain bermaksud suruhan menuntut ilmu untuk menuju kejayaan di dunia dan akhirat.

"Jika umat Islam maju, tiada siapa yang boleh mengecam dan menindas kita. Dahulu ketika sirah Rasullullah, baginda memimpin umat Islam ketika itu dengan menggunakan segala kepakaran setiap penduduk sehingga Islam diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat," kata Fauzi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130104/ba_07/Bahana-al-wahn-dalam-hati#ixzz2Hwv6PNXL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kesalahan tajwid dalam solat

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
- KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

DALAM satu program agama, seorang penceramah telah mengeluar satu hukum berkaitan masalah membaca tidak cukup harakat pada mad lazim kalimi muthaqqal dalam solat iaitu pada kalimah terakhir surah al-Fatihah. Beliau menyatakan hukumnya tidak sah solatnya. Penulis dihubungi rakan untuk meminta penjelasan status hukum tersebut.

Kekeliruan sebegini telah lama tersebar di kalangan masyarakat dan ini bukan kali pertama penulis mendengarnya. Bagi yang mendalami ilmu tajwid dan peminatnya mereka selalu mengetengahkan isu ini dalam membawa hujah kepentingan ilmu tajwid.

Bagi penulis, secara asasnya ketentuan sah atau batal solat seseorang adalah di bawah ilmu fiqh dan yang perlu menjelaskannya ialah mereka yang mahir dalam bab fiqh. Manakala guru Quran yang merupakan golongan terbaik sebagaimana hadis Rasulullah SAW bertindak sebagai pengajar dan penunjuk kepada bacaan yang tepat.

Ilmu tajwid berperanan menjaga al-Quran dari sudut ketulenan membaca al-Quran dan mewarisinya daripada generasi terdahulu dengan sebutan yang tepat. Penekanan guru al-Quran kepada pelajarnya tentang bab makhraj huruf, sifat huruf, hukum nun sakinah dan lain-lain adalah untuk meneruskan ketulenan bacaan al-Quran.

Jika semua hukum tajwid ini tidak dijaga sudah tentu generasi hari ini dan sesudahnya tidak dapat menikmati bacaan al-Quran yang tepat.

Cuba bayangkan jika semua huruf dibaca mengikut sesuka hati sahaja, maka bunyi bacaan al-Quran akan menjadi kedaerahan.

Ali Ibnu Abi Talib ra. menerangkan maksud kalimah tartila dalam surah al-Muzzammil ayat 4 ialah perelok sebutan huruf dan mengetahui waqaf. Atas dasar inilah al-Quran terus ditalaqqi daripada guru yang mahir dalam makhraj huruf, sifatnya dan segala hukum tajwid.

Menariknya dalam ilmu tajwid ini, di samping ulama menerangkan tentang makhraj huruf, sifatnya, hukum mad, waqaf dan sebagainya yang menunjuk kepada bacaan yang tepat, ulama juga menjelaskan kategori kesalahan. Kesalahan tajwid telah dibahagikan kepada dua iaitu; lahn Jali dan lahn Khafi.

Lahn Jali bermaksud kesalahan yang berlaku pada kalimah yang mencacatkan uruf bacaan, sama ada merosakkan makna atau tidak. Merosakkan makna seperti bertukar baris di atas (fathah) kepada baris di bawah (kasrah) atau hadapan (dhammah) di kalimah an'amta. Tidak merosakkan makna seperti membariskan huruf yang sukun seperti lam yalid. Dal di hujung kalimah dibariskan dengan fathah. Dinamakan jali kerana kesalahan ini begitu jelas dan boleh dikesan oleh ulama dan juga orang awam. Syeikh Makki Nasr menyatakan kesalahan sebegini adalah haram secara ijmak.

Lahn khafi atau kesalahan tersembunyi ialah kecacatan yang berlaku pada lafaz al-Quran yang tidak merosakkan makna. Al-Sakhawi menyatakan seperti tidak menyempurnakan sebutan huruf, sama ada terkurang sifat huruf atau terlebih sifat huruf.

Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari pula menyatakan lahn khafi ialah kesalahan yang berkaitan tidak sempurna sebutan huruf dan ia tidak dapat dikesan oleh orang awam kecuali mereka yang mahir dalam bidang ini. Ini seumpama tidak sempurna menyebut ghunnah atau dengung pada Idgham, Iqlab atau Ikhfa. Begitu juga menyebut dengan melebihkan tarqiq atau nipis pada huruf yang sepatutnya ditarqiqkan atau lebih tafkhim atau tebal pada huruf yang sepatutnya ditafkhimkan.

Kesan lahn khafi ialah menghilangkan kecantikan bacaan al-Quran namun begitu kebanyakan ulama menyatakan hukumnya ialah makruh dan tidak berdosa bagi mereka yang tidak mengetahuinya atau disebut sebagai wajib sinaei.

Seorang tokoh Quran yang masyhur Syeikh Mahmud Khalil al-Husari dalam bukunya, Ahkam Qiraat al-Quran mengulas panjang tentang hukum Lahn Khafi dengan menyebut pendapat yang mengharamkan lahn khafi.

Namun beliau menyatakan pandangannya dengan mengambil kira semua sudut dengan menyebut contoh kesalahan lahn khafi seperti ghunnah dibaca dengan kurang dua harakat atau lebih, mad lazim dibaca dengan lima harakat atau dibaca lebih enam harakat.

Beliau menyebut satu persatu kesalahan lahn khafi dan akhirnya beliau menutup dengan berkata semua kesalahan tersebut tidak haram atau makruh tetapi dipanggil sebagai khilaf awla, afdal dan akmal.

Kesimpulannya, mendalami ilmu tajwid amat penting dan hukum-hakam tajwid memainkan peranan dalam menjaga ketulenan bacaan al-Quran.

Guru Quran amat perlu menekankan pengajian hukum tajwid namun perlu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum berkaitan fiqh. Ilmu fiqh amat luas dan pendapat ulama dalam sesuatu hukum biasanya mempunyai pelbagai pendapat.

Jika ada ulama menyatakan batal dalam sesuatu hukum akan ada ulama yang menyatakan sah, begitulah sebaliknya.

Dalam isu tidak cukup harakat mad lazim atau terlebih bacaannya, amat baik jika dipegang pendapat Syeikh Khalil al-Husari yang berkata tidak haram tetapi khilaf awla. Wallah'alam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130109/ba_03/Kesalahan-tajwid-dalam-solat#ixzz2HwuB3SNE
© Utusan Melayu (M) Bhd