Cinta pada manusia, dia akan mati,
Cinta pada Allah, itulah yang akan kekal abadi... Wahai saudaraku yang tercinta, Malaikat Jibrail a.s. pernah berpesan pada Nabi Muhammad s.a.w. "Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati, dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya. Dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki, kerana engkau pasti akan dibalas mengikut amal perbuatanmu..." Seorang ulama pernah berkata, "Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk di dunia ini, lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya. Aku melihat pula bahawa ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihi itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahaja, dan ada pula yang sentiasa menemaninya sehingga ke dalam kubur. Manakala yang lainnya akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama dengan kekasihnya di dalam kubur. Lalu aku terfikir, dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa sebaik-baik kekasih ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnya ke dalam kubur dan menjadi penghibur dan teman setia. Dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk berbuat demikian selain daripada amalan yang salih, maka aku terus menjadikan amalan salih ini sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi kuburku, dan menghiburkan hatiku. Dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian..." Sebagai insan biasa, pasti kita tidak dapat lari daripada perasaan cinta. Namun jangan sampai terleka dengan cinta dan tanggungjawab yang lebih utama. Cintailah sesiapa sahaja kerana Allah, kerana cinta yang diredhai Allah, pasti membawa kita kepada kejayaan di dunia dan di akhirat...
No comments:
Post a Comment