Like Blog Ini...

Saturday, July 18, 2009

Memberi zakat kepada orang kaya

SOALAN

Adakah orang kaya layak menerima zakat? Saya keliru memandangkan ada anak-anak jiran yang ibu dan bapa mereka memiliki pendapatan yang besar; namun masih diberikan bantuan zakat?

JAWAPAN

Di dalam perbahasan mengenai agihan zakat, ulama fikah misalnya Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, bahawa orang-orang kaya memang ditegah daripada mendapat agihan zakat.

Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW kepada Muaz bin Jabal r.a, iaitu: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka. (riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah, jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin dan diberikan kepada orang kaya.

Sekiranya diambil daripada asnaf yang lain, misalnya daripada asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.

Sehubungan dengan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Selangor, setiap orang Islam berhak mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin, misalnya dalam kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf-asnaf lain yang sesuai; bukan atas sifat kemiskinannya. Wallahua'lam.

No comments: