Like Blog Ini...

Saturday, July 18, 2009

Perintah jangan berpecah belah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah telah menerangkan pada ayat terdahulu keengganan sebahagian ahli Kitab dan berterusan mereka dalam kejahatan dan menyekat mereka jalan hidayat untuk sampai ke dalam hati mereka.

"Di samping itu, cabaran mereka terhadap kebenaran dan pengikutnya. Dan keengganan mereka untuk bukti yang sabit yang tidak boleh dinafikan kemudian mereka melampaui batas tersebut dan menentang orang yang beriman. Lantas ia meniupkan roh perpecahan dan kembali kepada zaman jahiliah.

"Pada ayat ini Allah menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah SWT".

Ayat ke-102:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Sebab Nuzul.

Ikrimah berkata, ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi SAW mendamaikan mereka.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir meriwayatkan daripada Anas r.a katanya: "Seorang hamba tidak bertaqwa kepada Allah dengan sebenarnya sehingga lidahnya dipelihara daripada maksiat".

ii. Ibn Jauzi berkata: "Perkataan takwa yang sebenarnya mempunyai tiga pendapat:

lDitaati tanpa diderhaka, diingati tanpa dilupa dan disyukuri tanpa dikufuri. Inilah pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan, Ikrimah, Qatadah dan Muqatil.

lBerjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya tanpa merasa takut kepada celaan dan berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri, ibubapa dan anak-anak mereka. Inilah pendapat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas RA.

lIa bertakwa apa yang menjadi hak ke atas kamu. Inilah pendapat al-Zajjaj.

iii. Ibn Mas'ud berkata, pengertian takwa kepada Allah SWT ialah taat kepada-Nya, tidak menderhakai-Nya, mensyukuri-Nya, tidak mengingkari-Nya, mengingat-Nya serta tidak melupakan-Nya.

iv. Ibn Abbas r.a berkata, pengertian takwa adalah berjihad pada jalan Allah SWT dengan jihad yang sungguh-sungguh dan tidak mudah terpengaruh apabila dicela oleh seseorang ketika melaksanakan agama Allah.

Menegakkan keadilan semata-mata kerana Allah SWT termasuk terhadap diri sendiri, bapa dan ibunya.

v. Ibn Abbas r.a pula menafsirkannya begini: "Hendaklah Tuhan itu ditaati, jangan diderhakai, disyukuri jangan dikufuri dan diingati jangan dilupai".

vi. Mujahid menafsirkannya: "Hendaklah kamu berjuang pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya, jangan melakukan sesuatu pada jalan Allah yang menjadi celaan orang, dan berlakulah adil pada jalan Allah walaupun terhadap diri sendiri, terhadap ibubapa dan anak-anak kamu".

Ayat ke-103

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, tali Allah mempunyai enam pendapat:

lKitab Allah iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas'ud, Qatadah, al-Dhahaq

lJemaah. Inilah pendapat al-Sya'bi daripada Ibn Mas'ud.

lAgama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.

l Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, 'Ata', Qatadah dan Abu 'Abid.

l Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-'Aliah.

l Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.

Berkenaan dengan jangan kamu berpecah belah ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:

lDaripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan Qatadah.

lDaripada Rasulullah SAW.

ii. Al-Syauqani berkata, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.

iii. Al-Maraghi berkata, perselisihan yang terjadi antara manusia ada dua jenis:

l Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia.

Hawa nafsu

Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad SAW) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu…(Hud: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama.

Contohnya dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap merbahaya.

Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.

iv. Al-Sonhadji berkata: "Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, yakni jangan berselisih di antara kamu sesama Islam kelak membawa ke jalan yang sebaliknya iaitu jalan yang ditegah oleh Allah".

Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing memandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini.

Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata, perintah mengingat nikmat-Nya merupakan alasan atau dalil yang mengharuskan mereka bersatu padu, berpegang teguh dengan tuntutan Ilahi.

Ini bertepatan dengan al-Quran yang kebiasaannya apabila memerintahkan sesuatu atau melarangnya akan disertakan dalil dan alasan atau sekurang-kurangnya menyuruh manusia berfikir. Ini bersangkutan dengan bab akidah, fikah dan lain-lain.

Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah Allah. Amin.

No comments: