BANI Israel yang hidup di bawah pemerintahan Firaun sedar dan tahu membezakan antara sesat dan benar. Mereka juga mula percaya akan rasul Allah iaitu Nabi Musa yang datang memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka.
Mereka tidak lagi mentaati Firaun sebaliknya mula mendekatkan diri kepada Nabi Musa. Firaun telah kekurangan pengaruhnya.
Firaun mahu mengalahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dengan cara pembunuhan. Nabi Musa telah merancang bersama pengikut-pengikutnya akan keluar dari Mesir pada suatu malam yang telah ditetapkan.
Apabila tiba malam tersebut, berkumpullah Nabi Musa dan kaum Bani Israel di sebuah tempat. Mereka berangkat bersama-sama meninggalkan Mesir menuju ke tanah suci Palestin.
Mereka berangkat dengan berhati-hati kerana tentera Firaun telah bersiap sedia untuk menghalangi keberangkatan mereka. Mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering sehingga mereka tiba di pinggir laut yang luas.
Mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menyeberangi laut yang luas itu. Mereka takut dan masing-masing melihat maut sedang menghampiri.
Firaun dan tenteranya semakin hampir. Firaun akan memusnahkan Nabi Musa bersama pengikutnya. Sesungguhnya mereka tidak mampu melawan Firaun dan tenteranya.
Pengikut-pengikut Nabi Musa mulai marah dan geram terhadap Nabi Musa. Mereka mula mencela Nabi Musa dan berasa kesal kerana mengikutnya.
Tiba-tiba terdengarlah teriakan daripada pengikut Nabi Musa: “Firaun sudah berada di belakang kita. Dia mahu menangkap dan membunuh kita. “Ke mana harus kita pergi? Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya?”
“Tidak, Firaun tidak akan berjaya mengejar kita, sesungguhnya Tuhanku bersamaku dan Dia akan membimbingku. Tak usahlah kamu semua khuatir, perjalanan kita ini telah diperintahkan oleh Allah kepadaku. Dialah yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita daripada dikejar oleh Firaun yang zalim itu, Allah sentiasa membimbingku,” kata Nabi Musa kepada pengikutnya.
Pada saat yang genting itulah, tiba-tiba Allah mewahyukan kepada Nabi Musa: “Wahai Musa, pukullah tongkatmu itu ke laut.”
Dengan segera Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkatnya. Tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas lorong yang luas. Di pinggir jalan itu pula berdiri tembok air yang tebal. Tembok itu tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru.
Mereka segera berlari dengan cepat melalui jalan yang terbentang luas. Akhirnya mereka sampai di seberang dengan selamat.
Inilah mukjizat Allah SWT yang sangat besar diberikan kepada Nabi Musa.
No comments:
Post a Comment