Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Setiap amalan kita akan dihitung di hadapan Allah di akhirat kelak.
Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT menerangkan bahawa manusia itu akan kembali kepada Tuhannya lalu bertemu dengan-Nya dan terus dihisab, yang berkemungkinan dia akan dihisab dengan hisab yang ringan, jika dia melakukan amalan soleh dan dia dihisab dengan hisab yang sukar lagi berat, jika dia melakukan perbuatan yang maksiat.
"Seterusnya, Dia bersumpah dengan ayat-ayat-Nya yang berada di cakerawala yang jelas lagi terang, yang menjadi petunjuk bahawa kebangkitan itu pasti berlaku.
"Tidak mustahil bahawa manusia akan mengalami huru-hara yang dahsyat sehingga selesai penghisaban mereka. Setiap orang akan ditempatkan di syurga atau neraka yang telah disediakan untuk mereka".
Firman Allah SWT: Maka Aku bersumpah, Demi mega.
Ibn Kathir berkata: "iaitu ufuk yang berwarna merah sama ada sebelum terbit matahari atau selepas terbenamnya". Inilah yang dikatakan oleh Mujahid.
Firman Allah SWT: Dan malam serta segala yang dihimpunkannya.
Ikrimah berkata: "Suatu kegelapan apabila malam telah tiba dan segala sesuatu pergi ke tempatnya".
Firman Allah SWT: Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama.
Ibn Abbas berkata: "Jika telah berkumpul dan menempati posisi yang sama".
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).
Ada banyak tafsiran berkenaan dengan dengan ayat ini. Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada asy-sya'bi beliau mengatakan: "Engkau akan naik, hai Muhammad, Langit demi langit".
Demikian itu diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud, Masruq dan Abu 'Aliyah.
Firman Allah SWT: maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman? Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
Ibn Kathir berkata: "Dan mengapa pula ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat dan firman-firman Allah, yang ia tidak lain adalah al-Quran ini, tidak mahu bersujud untuk memberikan pengagungan dan penghormatan."
Firman Allah SWT: (Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang yang kafir, semata-mata mendustakannya. Sesungguhnya dalil-dalil yang mewajibkan mereka beriman sudah jelas. Namun mereka tetap mengingkari dan mendustakannya.
Perkara itu disebabkan ada perasaan iri hati mereka terhadap kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW atau kerana kebimbangan mereka akan hilangnya kekuasaan untuk memegang jabatan agama serta kepimpinan yang diwarisi dan ada kalanya kerana keengganan mereka meninggalkan kepercayaan palsu dan tingkah laku tercela yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka.
Firman Allah SWT: Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.
Hamka berkata: "Namun Allah mengetahui apa yang mereka pendam di hati. Oleh Sebab itu ke mana saja pun gerak geri mereka akan diperhatikan Allah sehingga mereka tidak dapat lari."
Firman Allah SWT: Maka khabarkanlah kepada mereka Dengan azab Yang tidak terperi sakitnya.
Syed Qutub berkata: "Alangkah dahsyatnya berita gembira itu, iaitu berita gembira yang sama sekali tidak menggembirakan dan sekali gus itu juga diterangkan untung nasib yang menunggu orang-orang mukmin yang tidak mendustakan ajaran Allah dan bersedia dengan amalan yang soleh untuk masa depan mereka.
"Penerangan ini diberikan dalam bentuk pengecualian dari untung nasib orang-orang kafir yang mendustakan kebenaran".
Firman Allah SWT: tetapi orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.
Ibnu Abbas berkata: "Yakni tidak dikurangi". Sedangkan Mujahid dan al-Dahhak mengatakan: "iaitu tidak dihitung."
Ibnu Kathir berkata: "Dan golongan antara kedua pendapat itu bahawa pahala itu tiada putus-putusnya".
Sheikh al-Maraghi berkata: "surah ini mengandungi dua kesimpulan, iaitu:
1. Manusia akan memperolehi hasil daripada amalannya pada hari kiamat kelak. Mereka akan menerima buku catatan malan dengan tangan kanan atau dengan tangan kiri dengan cara membelakangi.
2. Manusia di dunia akan menempuhi satu keadaan kepada satu keadaan yang lain.
Sama ada mereka akan menempuhi keadaan yang mengandungi kenikmatan yang kekal abadi atau menempuhi keadaan yang mengandungi seksa yang pedih.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang mendapat rahmat dan syurganya di hari akhirat kelak. Amin.
No comments:
Post a Comment