Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syed Qutub berkata: "Surah ini dimulakan dengan menayangkan beberapa surah kiamat yang dijelaskan dengan luas dalam surah al-Takwir, surah al-Infitar dan surah al-Naba', tetapi gambaran kiamat yang ditayangkan di dalam surah ini mempunyai satu ciri khusus yang berlainan, iaitu ciri menyerah kepada Allah SWT, di mana langit dan bumi menyerah diri dengan penuh patuh dan khusyuk kepada Allah."
Imam Malik meriwayatkan dari Abdullah bin Yazid, dari Abu Salamah bahawa Abu Hurairah r.a pernah membaca dalam solat bersama mereka yang bermaksud: "Apabila langit terbelah lalu ia sujud."
Apabila selesai, Abu Hurairah memberitahu mereka bahawa Rasulullah SAW pernah bersujud kerana membacanya. Demikian yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Nasaei.
Firman Allah SWT: Apabila langit terbelah, serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.
Ibn Kathir berkata: "Iaitu pada hari kiamat di mana makhluk mendengar dan mematuhi serta mentaati perintah Tuhannya yang selayaknya dipatuhi."
Syed Qutub menambah: "Tetapi perkara baru yang dikemukakan di dalam surah ini ialah penyerahan diri langit kepada Tuhannya iaitu ia wajib menyerah diri menjunjung perintah Tuhannya dengan penuh ketaatan dan kepatuhan."
Firman Allah SWT: "Dan apabila bumi diratakan, serta mengeluarkan apa Yang di dalamnya, dan menjadi kosong, serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; - (maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa Yang telah dilakukannya)."
Ibn Kathir berkata, maksud bumi diratakan adalah dihamparkan, dibentangkan dan diluaskan. Mujahid, Said dan Qatadah berpendapat di mana bumi memuntahkan yang ada di dalamnya bermaksud mengeluarkan mayat-mayat yang ada dalam perutnya sehingga benar-benar kosong.
Ada tafsir menyebut termasuklah isi kandungan di dalam bumi seperti logam-logam, air-air dan rahsia-rahsia yang diketahui Allah.
Semua isi kandungan ini telah dikandung bumi abad demi abad sehingga sampailah hari kiamat, dan pada hari itulah bumi akan meluahkan semua isi kandungannya itu.
Firman Allah SWT: Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).
Ibn Kathir berkata: "Dia akan membalas atas perbuatan usahamu. Syed Qutub dalam salah satu tafsirannya menyebut: "Wahai insan yang dikurniakan dengan sifat-sifat kemanusiaan yang istimewa! Pilihlah untuk dirimu jalan yang layak dan sesuai dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah kepadamu! Pilihlah jalan yang memberi kerehatan kepadamu dari segala kepenatan semasa engkau menemui Allah kelak.
"Seruan ini menghubungkan dengan untung nasib yang akan diterima oleh orang-orang yang berpenat lelah dan bertungkus lumus di dunia apabila mereka sampai di penghujung jalan menemui Tuhan mereka".
Firman Allah SWT: Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dengan pengertian lain, seluruh amal perbuatannya tidak dihisab secara khusus, kerana barang siapa yang dihisabnya dilakukan seperti itu (mendalam), maka tidak diragukan lagi pasti dia akan binasa.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah R. Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang dihisab secara khusus, pasti dia akan diazab.
Lalu Aisyah R. Anha bertanya lagi: Bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah? Baginda bersabda: Bukan itu yang dihisab, tetapi yang demikian itu hanyalah amal perbuatan, kerana barang siapa yang dihisab secara mendalam, pasti dia akan di azab. (riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tarmizi dan an-Nasaei)
Firman Allah SWT: Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) Dengan sukacita. Qatadah, al-Dahhak berkata dalam keadaan senang, kerana merasa gembira atas apa yang diberikan Allah SWT kepadanya.
Firman Allah SWT: Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
Ibn Kathir berkata, cara penerimaannya iaitu dengan tangan kirinya dari arah belakang, di mana tangannya itu menghulur dan diberikan buku catatannya itu kepadanya.
Sheikh al-Maraghi berkata: "Sesetengah yang lain apabila diperlihatkan amalan perbuatannya yang telah lalu wajahnya bertukar menjadi muram, berusaha menjauhi dan membelakangi serta berharap agar tidak diperlihatkan kepadanya, diambil bukunya dengan catatan amalan itu dengan tangan kiri atau diambilnya dengan cara membelakanginya".
Pada ketika itu dia berseru: "Oh celaka sekali!" Atau dengan keluhan: "Wahai kebinasaan! Terimalah buku itu, kerana kami tidak ingin terus hidup, ia mengetahui hal itu adalah penyebab adanya seksaan yang lama dan pasti dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan merasakan kepanasan api neraka".
Firman Allah SWT: Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Ini kerana mereka melakukan maksiat di dunia dan lupa pembalasan akhirat.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)!
Sheikh al-Maraghi berkata: "Ayat ini berkata orang yang mengikut hawa nafsu syahwatnya dan kelazatan dunia, tidak termasuk dalam golongan orang yang mempunyai perkiraan tentang hari akhirat, keyakinan bahawa mereka akan dikembalikan semula kepada Tuhan untuk dihisab amalannya.
Bahkan mereka beranggapan kuat bahawa mereka tidak akan dihisab dan Allah SWT tidak menyalahi janji-Nya.
Firman Allah SWT: (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa melihat dan mengetahui keadaannya!
Hamka berkata: "Oleh sebab itu maka hati-hatilah melangkah dari sekarang, agar tenaga tidak habis percuma dan kelak kita akan bertemu dengan Tuhan kita dalam suasana yang menggembirakan hati. Sebab Tuhan sendiri pun inginkan agar kita menjadi orang baik (orang soleh)".
Semoga Allah menjadikan kita golongan yang mendapat catatan amalan dengan tangan kanan. Amin.
No comments:
Post a Comment