Like Blog Ini...

Friday, December 24, 2010

Multaqa Huffaz DQ

DARUL Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan Multaqa Huffaz 2010 pada 16 Disember lalu di Auditorium Al-Shafie, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.

Multaqa yang menghimpunkan para lepasan tahfiz al-Quran itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abd. Halid Sintol.

Turut hadir, Pengarah Darul Quran, Paimuzi Yahya, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad, Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man serta para pengetua Maahad Tahfiz al-Quran negeri dan swasta.

Multaqa yang julung kali diadakan ini disertai oleh lebih 200 orang yang terdiri daripada lepasan tahfiz daripada pelbagai institusi tahfiz seluruh negara.

Jamil Khir dalam ucapan perasmiannya menekankan tentang kepentingan penyatuan di antara penghafal al-Quran di negara ini bagi memperkasa dan mempertingkatkan profesionalisme para huffaz.

Katanya, telah tiba masanya untuk mewujudkan suatu hubungan yang kukuh di kalangan para huffaz al-Quran, seterusnya memberi sumbangan besar dalam membentuk generasi al-Quran pada masa hadapan.

"Multaqa ini adalah salah satu program selepas tertubuhnya Dewan Huffaz Kebangsaan, Jun lalu di mana ia bakal berperanan mengangkat martabat penghafaz al-Quran di kalangan masyarakat," katanya.

Penubuhan DQ bermula pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia.

Hasrat itu dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran Musabaqah Al-Quran yang diadakan sejak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar, Sheikh Mahmud Syaltut, di perasmian Masjid Negara tersebut.

Multaqa kali ini turut membentangkan kertas kerja bertajuk I'jazul Quran oleh Othman Hamzah, dan Peranan Huffaz Sebagai Ulama Masa Depan oleh Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera, Kapten Dr. Azmil Hashim.

No comments: