Like Blog Ini...

Friday, September 17, 2010

Keutamaan zakat pendapatan

SOALAN:

Ada pihak yang mempertikaikan, bahawa zakat pendapatan tidak wujud pada zaman nabi dan ia tidak patut dilaksanakan. Namun dalam konteks semasa, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan keseluruhan zakat harta.

Maka, bolehkah dijelaskan relevannya zakat pendapatan ini dalam konteks keperluan semasa?

JAWAPAN:

Benar, zakat pendapatan hanya wujud selepas kewafatan nabi. Namun aspek teknikal zakat sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selari dengan konsep pengembangan harta zakat (an-nama').

Harta pendapatan yang dimaksudkan merangkumi gaji, upah, bayaran profesional, royalti dan honorarium dan sebagainya. Kesemua ini termasuk ke dalam kategori harta mustafad, iaitu harta yang diperolehi melalui hasil pekerjaan.

Sebahagian ulama turut menyatakan harta yang bukan diperolehi melalui jalan pekerjaan seperti hadiah, hibah, pusaka, graduiti persaraan, wasiat, pencen, bayaran saguhati sebagai harta mustafad.

Adapun, harta yang diperolehi melalui jalan penyewaan dan pajakan, misalnya hasil sewaan rumah, pajakan tanah dan termasuklah sewaan permit, dikategorikan sebagai harta mustaghallat dan ia dimasukkan juga sebagai harta mustafad dan ia wajib dizakatkan.

Ulama bersetuju bahawa zakat harta pendapatan perlu ditunaikan demi kemaslahatan umat Islam. Hal ini memandangkan gaji atau upah daripada pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu mampu menjadikannya kaya.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menggunakan hujah daripada al-Quran untuk mewajibkan zakat harta pendapatan. Misalnya firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi. (al-Baqarah: 267)

Walaupun ayat ini tidak dianggap dalil khusus kepada perintah mengeluarkan zakat pendapatan, para ulama bersetuju bahawa ayat ini menjadi dalil kepada pelaksanaan zakat harta pendapatan dan harta-harta lain.

Hal ini selari dengan perintah Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bekerja supaya dapat menunaikan zakat. Sabda baginda: "Setiap Muslim wajib bersedekah". Sahabat bertanya, "Jika tidak dapat?" Nabi menjawab: "Bekerjalah dengan tangannya yang berguna bagi dirinya dan ia dapat bersedekah." (Riwayat Abu Musa)

Menurut sebahagian ulama, zakat pendapatan sudah diamalkan sejak zaman para sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang mana beliau memerintahkan tenteranya mengisytiharkan harta pada setiap akhir tahun.

Sesiapa yang mempunyai lebihan harta hendaklah mengeluarkan zakat ke atas harta itu. Lebihan harta bermaksud harta yang sudah ditolak dengan keperluan wajib diri yang meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.

Walaupun demikian, ada juga ulama berpandangan zakat pendapatan wajib dikeluarkan tanpa menolak perbelanjaan asas. Hal ini dikiaskan kepada zakat hasil pertanian yang mana zakat dikeluarkan tanpa dibuat sebarang tolakan.

Oleh hal yang demikian, pusat-pusat zakat di negara ini memberi kebebasan kepada pengeluar zakat sama ada mahu membuat tolakan atau tidak ke atas jumlah pendapatan yang hendak dizakatkan.

Sesuai dengan keanjalan hukum fikah, penerimaan hukum zakat pendapatan ini sebenarnya memberikan natijah yang sangat besar kepada umat Islam.

Ia juga sesuai dengan konsep pengembangan harta (an-nama') sebagaimana yang digagaskan oleh Saidina Umar bin al-Khattab r.a. ribuan tahun silam.

Hal ini mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang meraikan keperluan dan perubahan zaman. Oleh itu, wajarlah umat Islam menghayati dan menerima zakat pendapatan ini sebagai kewajipan baharu yang tidak patut dikesampingkan, demi meraih keberkatan dalam pendapatan dan keberkatan dalam segenap aspek kehidupan. Wallahu a'lam.

No comments: