Like Blog Ini...

Friday, September 17, 2010

Pengalaman Ramadan di Stockholm

Oleh Jufitri Joha

Stockholm adalah ibu kota Sweden. Ia seolah-olah terapung-apung di pertemuan dua Laut Baltik dan Tasik Malaren. Panorama indah dan iklim sejuk membuatkan Stockholm sebuah bandar yang amat menarik untuk diterokai dan amat selesa dihuni.

Sweden adalah sebahagian daripada negara Scandinavia.

Namun begitu apa yang menarik adalah satu penemuan ketika berbincang dengan Setiausaha Agung Severiges Unga Muslimer (SUM) atau Angkatan Belia Muslim Sweden, Omar Mustafa.

Kata beliau, Kerajaan Sweden menganugerahkan geran bantuan kewangan tahunan kepada SUM bagi menguruskan pentadbiran persatuan dan menjalankan aktiviti harian.

Saya kurang pasti berapa jumlah sebenar bantuan dalam mata wang Swedish Krona. Namun, difahamkan bantuan kewangan tersebut membolehkan SUM mengagihkan kepada semua cawangannya di seluruh Sweden.

Tepat pukul 1.15 petang 1 September, saya terpacak menunggu seseorang di depan Sveriges Riksdag atau Bangunan Parlimen Sweden. Pukul 1.25 petang muncul orang yang ditunggu-tunggu iaitu Ahli Parlimen Muslim Sweden, Mehmet Kaplan.

"Saya mohon maaf atas kelewatan kerana sekarang saya sedang sibuk berkempen untuk pilihan raya umum Sweden pada 19 September," sapa Mehmet selepas memberi salam perkenalan kepada saya.

Mehmet yang berketurunan Turki ialah Ahli Parlimen mewakili kawasan Stockholm. Beliau merupakan ahli Green Party yang membentuk blok pakatan pembangkang yang amat kuat dan dinamik bersama Parti Social Democratic Party dan Left Party.

Menurut Mehmet, di Parlimen Sweden mempunyai lima Ahli Parlimen Muslim daripada 349 jumlah keseluruhan kerusi Ahli Parlimennya.

Mehmet yang kelihatan kepenatan kerana sibuk berkempen, masih sempat menjadi hos saya selama sehari sambil berseloroh bahawa beliau mempunyai peluang bergelar Menteri Kabinet kerana blok kerjasama pembangkang berpeluang cerah untuk menang majoriti kerusi di Parlimen.

Di tengah-tengah kehangatan berkempen pilihan raya umum Sweden, saya dibawa melawat bangunan Parlimen dan juga Pejabat Green Party yang terletak di bahagian bawah dalam kompleks Parlimen.

Lawatan ini membangkitkan semangat untuk mengkaji lebih lanjut tentang peranan Green Party. Ia mempunyai gerakan global dan massa di seluruh dunia termasuk di negara sejauh Fiji di kawasan Oceania-Pasifik.

Teringat saya kepada laporan Finnish Institute for International Affair yang mengesyorkan Kesatuan Eropah harus mendekati Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai rakan yang amat berpotensi untuk berdialog dan engagement terutamanya dalam memasarkan idea demokrasi kepada dunia Islam.

Sebagai Exco ABIM yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal antarabangsa, peluang keemasan ini saya gunakan dengan sebaiknya untuk berkenalan dan bertukar kad bisnes dengan pimpinan Green Party dan Left Party daripada blok pembangkang dan juga Christian Democrats daripada blok Kerajaan.

Mehmet seterusnya membawa saya menyelami kehidupan sebahagian umat Islam di Sweden yang berjumlah kira-kira 500,000 daripada 9 juta keseluruhan penduduk Sweden.

Mereka ini kebanyakannya menghuni di tiga bandar utama di Sweden merangkumi Stockholm di bahagian Timur, Gothenburg di bahagian Barat dan Malmo di bahagian Selatan.

Sebahagian besar umat Islam di sini berketurunan Turki, Somalia, Iraq dan Bosnia. Apa yang mengkagumkan saya, negara yang terkenal dengan status negara kebajikan itu pernah pada sekitar 2007 dan 2008 membawa masuk 100,000 orang Iraq yang mendapat suaka politik untuk menetap di Sweden.

Lantas timbul pertanyaan ke dalam benak saya, bagaimana sebuah negara sekular boleh bermurah hati menerima mereka yang kurang bernasib baik yang majoritinya umat Islam sedangkan negara umat Islam tidak banyak yang sudi berbuat demikian? Persoalan kritis ini harus kita fikirkan bersama.

Kesungguhan Mehmet menjadi hos saya sehingga beliau sanggup membatalkan sebahagian program beliau membuatkan saya rasa amat dihormati dan diraikan sebagai seorang saudara Muslim.

Ini menggambarkan keperibadian beliau yang baik dan merendah diri. Tambah menggembirakan saya lagi ialah Mehmet merupakan ahli jawatankuasa European Muslim Network (EMU) yang dipengerusikan oleh Profesor Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam yang beraliran sederhana dan progresif dalam memperjuangkan Islam dan nasib umatnya.

Keramahan Mehmet membawa saya seterusnya ke Pejabat Severiges Unga Muslimer (SUM) atau Angkatan Belia Muslim Sweden.

Di situ saya sempat berkenalan dan berbincang tentang kerjasama strategik antara ABIM dan SUM dalam membina rangkaian belia Muslim global serta menjalankan aktiviti kerjasama.

Sebelah malamnya saya berkesempatan menemui Imam Masjid Aysha, Sheikh Mohamad Muslim. Masjid Aysha merupakan Masjid tertua di Stockholm.

Seterusnya saya menghadiri iftar (berbuka puasa) anjuran Swedish Muslims for Peace and Justice (SMPJ). Dalam iftar ini turut dihadiri oleh golongan bukan Islam merangkumi pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, aktivis masyarakat, pimpinan agama dan pertubuhan bukan kerajaan.

SMPJ berjaya menyelitkan penerangan tentang Ramadan dan bagi saya mesej tentang Islam telah berjaya disampaikan secara baik oleh SMPJ kepada golongan bukan Islam yang mempunyai peranan yang strategik dan pelbagai.

Paling kurang mereka memahami Islam adalah agama yang amat indah dan dipenuhi oleh amalan yang amat unik serta menyihatkan. SMPJ dipimpin oleh seorang anak muda Malaysia dinamik bernama Yasri Khan yang berjaya menyatukan kepelbagaian etnik umat Islam di bawah satu payung perjuangan.

Ramadan terindah saya di 10 hari terakhir di Stockholm diakhiri dengan iktikaf dan ibadah di Masjid Utama Stockholm yang bakal menjadi saksi bahawa saya telah melaksanakan tugasan saya menyambungkan silaturahim sesama umat di antara umat Islam Malaysia dan Sweden.

No comments: