Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Beruntunglah mereka yang berjaya melalui tarbiah Ramadan yang baru lalu dengan sebaik-baiknya. Ia sama ada mendirikan solat fardu atau tarawih berjemaah atau pun ibadat-ibadat sunat yang lain.
Malah, Rasulullah SAW bersabda, barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, mudah-mudahan Allah ampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari)
Sebagai manusia yang lemah dan sentiasa mengharapkan belas ihsan Allah, maka tiada khabar yang lebih menggembirakan selain mendapat pengampunan Allah. Seterusnya memasuki syurga yang dipenuhi pelbagai kenikmatan dan kelazatan.
Untuk itu, Masjid An-Nur di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor turut membuka peluang kepada umat Islam melipatgandakan ibadat dalam bulan yang penuh barakah itu.
Kemuncak acara adalah majlis khatam al-Quran dan meraikan anak-anak yatim kariah masjid berkenaan yang diadakan baru-baru ini.
Majlis khatam diadakan selepas selesai solat tarawih. Ia diketuai oleh Imam III, Saedin Husni dengan disertai oleh lebih 20 ahli tadarus.
Selepas itu, diadakan majlis penyerahan sumbangan RM300 kepada wakil surau-surau di bawah kariah Masjid An-Nur.
Majlis diceriakan lagi dengan sumbangan kepada 13 anak yatim yang masing-masing menerima duit raya RM150. Wang tersebut adalah hasil sumbangan para jemaah sepanjang Ramadan.
Sumbangan disampaikan oleh Nazir masjid, Harun Abd. Rahman.
Selain solat fardu dan tarawih berjemaah, pelbagai aktiviti dan ibadat sunat diadakan.
Antaranya, peluang beriktikaf dan melaksanakan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan.
Qiamullail dimulakan dengan solat tahajud, tasbih, hajat dan taubat. Ia sengaja diadakan secara berjemaah agar para jemaah dapat melatih diri menunaikannya dan mendirikannya pada bulan-bulan lain selepas Ramadan.
Majlis berbuka puasa turut diadakan setiap hari selain aktiviti memasak dua periuk bubur lambuk yang diadakan dua kali sepanjang Ramadan.
Setiausaha masjid, Mohd. Idris Abd. Salam berkata, bilangan jemaah yang menyertai solat tarawih tahun ini juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, alhamdulillah tahun ini bilangan jemaah masih ramai iaitu kira-kira 400 orang walaupun pada hari-hari terakhir Ramadan.
"Pada awal Ramadan bilangan jemaah mencecah 1,000 orang dan kita tidak ada masalah menampung lebih ramai jemaah.
"Sebabnya, selepas pengubahsuaian Jun lalu, masjid kita boleh menampung kira-kira 1,500 jemaah dalam satu-satu masa," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Majlis solat tarawih turut diselang-selikan dengan tazkirah oleh penceramah jemputan antaranya Anzaruddin Ahmad dari Universiti Putra Malaysia dan Konsultan Syariah Telaga Biru Sdn. Bhd., Zahazan Mohamed.
No comments:
Post a Comment