SAMBUTAN Ramadan sudah menutup tirainya. Kini menyusul Syawal dalam memberi kemeriahan setelah sebulan berpuasa. Sempena bulan Ramadan al-mubarak lalu, pelbagai pihak mengambil kesempatan untuk membuat kerja-kerja amal bagi mengejar keberkatan serta memeriahkan lagi sambutannya.
Mereka yang kurang bernasib baik sering menjadi tumpuan badan-badan korporat untuk membuat sumbangan. Kebiasaannya rumah anak yatim menjadi tumpuan menghulurkan sumbangan dengan pelbagai program berbuka puasa.
Namun, di celah-celah kemeriahan sambutan Ramadan, masih ada insan terpinggir yang jarang diberi perhatian. Mereka yang tinggal jauh di kawasan pendalaman, sememangnya nasib mereka jauh berbeza.
Bagi mereka, Ramadan sama seperti hari-hari biasa. Bezanya, cuma ada kelebihan dan ganjaran tertentu dalam melaksanakan ibadah harian kerana ada segelintirnya, lapar dan dahaga itu adalah rutin kehidupan mereka.
Melihat kepada realiti kehidupan ini, Islamic Relief Malaysia (IRM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berfungsi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukannya tampil dalam menghulurkan bantuan.
Bantuan IRM bersifat lebih menyeluruh melalui kempen Bantulah Mereka Berbuka Puasa. Sumbangan disasarkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Mereka ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang upaya (OKU).
Ini merupakan program tahunan IRM yang melibatkan penjelajahan ke seluruh Malaysia bagi menghulurkan bantuan berupa pek makanan.
Menurut Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah, melalui kempen itu orang ramai boleh menyumbang RM50 bagi satu pek makanan.
Ia mengandungi keperluan harian seperti beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, sardin, kurma dan sebagainya.
Satu pek makanan ini adalah untuk satu keluarga dan ia diharapkan akan dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu sepanjang Ramadan.
Dengan adanya program seumpama ini, nikmat kemeriahan Ramadan itu dapat dikongsi bersama dengan golongan yang kurang berkemampuan.
No comments:
Post a Comment