Like Blog Ini...

Tuesday, August 30, 2011

Aidilfitri dan perpaduan ummah

Oleh DR. MASHITAH IBRAHIM

HARI ini, 1 Syawal 1432 Hijrah adalah hari kemenangan bagi umat Islam sesudah Ramadan yang penuh barakah kita lalui dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Umat Islam di Malaysia merayakan Aidilfitri pada 30 Ogos 2011 yang jatuh pada hari Selasa.

Hari Raya Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri.

Bersandarkan aspek sejarah, ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat Madinah merayakan dua Hari Raya yang mereka warisi sejak zaman jahiliah lagi.

Perayaan tersebut adalah Nairus dan Nahrajan iaitu hari besar yang berasal dari zaman Parsi Kuno. Perayaan ini dirayakan dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, meminum minuman yang memabukkan serta hidangan juadah yang mewah serta pelbagai.

Justeru, sebagai seorang pemimpin, Rasulullah SAW melihat jauh ke hadapan dan sentiasa mengambil kira faktor psikologi yang subur di kalangan masyarakat ketika itu. Atas dasar itulah, baginda mengubah sambutan perayaan itu supaya memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadi ibadah.

Baginda Rasulullah menetapkan dua jenis hari besar yang perlu dirayakan oleh umat Islam iaitu seperti yang dijelaskan oleh hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menukar kedua Hari Raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidil Adha dan Aidilfitri". (riwayat Abu Daud dan an-Nasai)

Nikmat perundangan Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.

Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah SWT dan berjanji untuk mentaati perintahnya.

Mari kita lihat lebih jauh lagi apakah nilai-nilai yang dapat dipetik daripada peristiwa Aidilfitri ini? Unsur pertama adalah mewujudkan hubungan antara Khalik sebagai pencipta dengan makhluk sebagai objek.

Unsur kedua pula adalah berlegar sekitar hubungan habluminnas atau kasih sayang sesama makhluk.

Unsur pertama dilakukan dengan menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah, mengagungkan asma-Nya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid iaitu Allahu akbar, la ilaha illallah, wa lillahil hamd yang bermaksud Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah yang berhak menerima puji-pujian.

Kemudian, diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Unsur kedua terlaksana pada saat menjelang Hari Raya Aidilfitri iaitu dengan menunjukkan simpati kepada kaum yang lemah dan melarat dengan membayar zakat fitrah untuk fakir miskin.

Dalam pada itu umat Islam dituntut mengeratkan hubungan sesama manusia dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Gabungan kedua-dua unsur yang terbit daripada hikmah Aidilfitri itulah yang memberikan jaminan menghindarkan umat manusia daripada kehinaan, kehancuran dan perpecahan.

Kunjung-mengunjung

Dalam tradisi kunjung-mengunjung, umat Islam saling mendoakan mudah-mudahan Allah akan menerima segala amal mereka, terutama ibadah puasa yang baru saja selesai dilaksanakan.

Semoga mereka dikurniakan Allah darjat insan muttaqin yang merupakan kesan dan nilai utama daripada ibadah puasa yang dilakukan.

Insan muttaqin adalah satu darjat yang tertinggi dalam kehidupan manusia yang beragama Islam. Insan yang bermakam di darjat ini adalah seorang yang memiliki watak dan sikap takwa.

Sifat takwa itu tidak ubah seperti mutiara yang bersinar-sinar yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya dan sentiasa menjauhkan diri daripada larangan-Nya.

Sebenarnya perkataan takwa itu mencakupi seluruh kehidupan di alam maya ini. Antara sifat-sifat orang yang bertakwa (insan muttaqin) adalah pemurah dalam segala keadaan, baik waktu kaya mahupun ketika miskin, bersikap sabar dan tenang menghadapi masalah, pemaaf dan bukan bersifat pendendam, sentiasa berbuat kebajikan, sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.

Pergi ke kawasan lapang menunaikan solat Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Orang perempuan, kanak-kanak dan kaum wanita yang uzur akibat haid dan nifas, juga disarankan menghadiri solat Aidilfitri.

Persoalan pokoknya, bagaimanakah cara-cara merayakan hari besar ini yang merupakan sunah nabi?

Kemuncak merayakan Aidilfitri adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai satu cara melahirkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan kemenangan kepada umat Islam selama berpuasa melawan hawa nafsu.

Jika dilihat dari sudut hukum ubudiyyah, menunaikan solat Aidilfitri hanyalah sunat muakkad, satu sunat yang sangat dituntut.

Lebih-lebih lagi menurut pandangan Islam, Rasulullah telah menganjurkan supaya umat Islam dapat menunaikannya kerana uzur syarie. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memanfaatkan khutbah Hari Raya yang dibacakan oleh khatib.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: "Bagaimana kalau kita tidak mempunyai pakaian untuk pergi ke tempat solat Aidilfitri itu?" Rasulullah menjawab: Orang yang mempunyai dua persalinan pakaian hendaklah meminjamkan kepada saudaranya".

Menurut ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan Taqaballahu minna wa minkum yang bermaksud "mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan".

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan Minal aidin wal faizin yang bererti "mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar".

Diceritakan bahawa mengucapkan Minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat di zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.

Dalam satu riwayat, para sahabat Rasulullah bertemu sesama mereka pada Hari Raya Aidilfitri mereka akan mengucapkan "Mudah-mudahan Allah menerima amal kami dan amal kamu. Taqabballahu minna wa minkum". (riwayat Ahmad).

No comments: