Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Serangan berani mati haram

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MAT Islam yang marah meluahkan rasa marah kepada semua orang termasuk masyarakat Islam lain. Mereka letupkan diri sendiri untuk membalas dendam dan membunuh namun tidak banyak musuh Islam yang menjadi mangsa melainkan masyarakat mereka sendiri.

''Selepas kehilangan nyawa tidak ada apa yang mereka peroleh dari semua perbuatan tersebut. Dan semua perbuatan tersebut sedikitpun tidak menghalang musuh umat Islam ini daripada terus menindas dan membunuh.''

Pandangan ini diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaputama pada Konvensyen Kedua Uniti Muslim anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari United Kingdom (UK), Yayasan Ramadhan di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Sememangnya teguran Dr.Mahathir itu tepat pada masanya memandangkan ketika ini umat Islam boleh dianggap menggunakan cara yang tidak sewajarnya membalas dendam.

Suatu ketika dahulu timbul perdebatan apakah serangan bom berani mati yang dilakukan oleh penduduk Islam bertepatan dengan ajaran Islam atau tidak. Sehingga ke hari ini perdebatan itu masih berterusan.

Tetapi baru-baru ini, di Lahore, Pakistan, para ulama dan ahli akademik Islam yang menghadiri satu seminar berkaitan peranan ulama dalam membanteras keganasan mencapai kata sepakat bahawa serangan bom berani mati adalah haram di sisi Islam.

Selain itu mereka juga, sependapat bahawa tindakan keganasan yang dilakukan oleh mana-mana individu atau pertubuhan Islam tidak boleh dikaitkan dengan Islam.

Seorang pembentang kertas kerja, Dr. Israr Ahmed berpendapat, serangan bom berani mati tidak seharusnya dikaitkan dengan suruhan agama, sebaliknya ia lebih kepada faktor sosial.

Ini kerana kata beliau ia berkaitan dengan tekanan, kemiskinan dan ekonomi.

Demikianlah antara pandangan yang dilontarkan sepanjang seminar berlangsung sehingga ia merumuskan bahawa serangan bom berani adalah haram di sisi Islam.

Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan, di manakah silapnya sehingga ada di kalangan umat Islam sanggup melakukan serangan berani mati?

Mungkin mereka menganggap tindakan itu dilihat jalan terbaik tetapi mereka yang berbuat demikian tidak harus lupa bahawa ia tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya apa yang berlaku semakin ramai nyawa umat Islam terkorban. Inilah yang terjadi di Iraq sekarang, apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja nyawa yang melayang akibat serangan bom berani mati.

Apa yang lebih mendukacitakan serangan itu bukannya dilakukan di kawasan tentera penceroboh sebaliknya di kawasan yang menjad tumpuan orang ramai. Kalaulah puak yang melakukan tindakan itu berhasrat untuk memberi isyarat atau menunjukkan kewujudan mereka, tetapi membunuh orang yang tidak berdosa apatah lagi orang Islam sendiri bukanlah sesuatu yang dibenarkan dalam ajaran Islam.

Dr. Yusuf Qardhawi berkata, pengeboman berani mati yang mensasarkan serangan ke atas kem-kem tentera musuh dianggap syahid seperti yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Palestin ke atas tentera Israel. Tetapi beliau menegaskan, pengeboman yang mensasarkan orang-orang awam sama ada kafir apatah lagi Islam adalah perbuatan yang dianggap membunuh dan ia bukanlah jihad.

Malah ketika berlaku peristiwa 9 September 2001 yang meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Yusof al-Qardhawi berkata, mereka yang melakukan serangan ini menurut Islam wajib menerima hukuman secara syarak. Tidak kira apa bangsanya, apa agamanya dan apa warga negaranya.

Sasaran

Beliau juga menyeru agar kaum Muslimin menderma darah mereka untuk menyelamatkan mangsa-mangsa serangan.

Katanya, menderma darah, harta dan bentuk-bentuk bantuan lain adalah sedekah. Mereka akan diberi pahala untuk sedekah ini.

Selanjutnya Syeikh al-Qardhawi menyatakan, "Apa yang berlaku ini, tidak mungkin sedikitpun, dilakukan oleh seorang Muslim yang waras fikirannya dan kuat agamanya. Syarak menafikan perbuatan berkenaan yang menjadikan orang awam sebagai sasarannya."

Sementara itu, seorang lagi ulama terkemuka, Sheikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani, berpendapat, adapun gambaran menyerang tentera musuh maka tidak dikatakan bunuh diri bahkan ini adalah jihad fi sabililla tetapi harus diperhatikan dengan teliti, iaitu perbuatan ini bukan sekadar masalah peribadi, tetapi harus dengan perintah ketua pasukan perang. Jika komandan pasukan merasa perlu dengan tindakan ini, dan merasakan bahawa kerugian yang ditimbulkan lebih sedikit berbanding keuntungan yang diperolehi, iaitu memusnahkan jumlah besar daripada pasukan musyrik dan kafir, maka pendapat dan arahan komandan pasukan ini wajib ditaati.

Bagaimanapun seorang lagi ulama terkenal, Sheikh Al-Alamah Al-Muhaddits Muhammad Nashiruddin Al-Albani menganggap tindakan melakukan serangan berani mati tidak selari dengan ajaran Islam. Beliau tidak mengiktiraf perbuatan itu walaupun sasarannya tentera musuh sekalipun.

''Jika seorang mujahid mengikhlaskan niat kepada Allah SWT semata-mata, maka tidak diragukan lagi bahawa dia akan diberi pahala yang layak sesuai dengan niatnya, tetapi aksi serangan bom bunuh diri ini bukanlah jihad yang diperintahkan Allah SWT. Kerana jihad harus dipersiapkan,'' katanya.

Beliau memetik firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang bermaksud;

''Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggupi dan kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kalian menggetarkan musuh Allah dan musuh kalian.

Selain itu para ulama juga sependapat bahawa adalah sesuatu yang haram jika serangan bom dilakukan ke atas orang Islam dan orang awam biarpun mereka kafir.

Kenyataan itu merujuk kepada apa yang berlaku di Asia Barat, Indonesia dan selatan Thailand yang acap kali digegarkan dengan serangan bom.

Allah swt mengancam siapa saja yang membunuh jiwa seorang mukmin dengan ancaman yang sangat keras. Ini disandarkan dengan dalil dari al-quran,

Firman Allah dalam surah An-nisa ayat 93 bermaksud; ''Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah jahannam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.''

Oleh itu adalah lebih baik jika umat Islam memikirkan strategi lain dalam usaha menyelesaikan sesuatu konflik. Mereka tidak harus terburu-buru melakukan serangan bom berani mati kerana adalah jelas semua itu hanya memburukkan lagi imej Islam.

No comments: