Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Tindakan ganas seperti ini tidak akan membantu umat Islam di selatan Thailand sebaliknya akan membawa kesengsaraan dan kerana itu ia perlu dihentikan segera menerusi rundingan damai. – AFP
“SETIA kepada negara.” – Walaupun ia hanyalah tiga perkataan yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia amat bererti bagi penduduk di selatan Thailand.
Ia kerana hanya dengan semangat setia kepada negara sahaja mereka mampu menjayakan segala perancangan kerajaan bagi mengembalikan keamanan kepada wilayah tersebut.
Apa yang menarik, pesanan Perdana Menteri itu tidak hanya berakhir selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di Bangkok pada Selasa lalu. Malah ketika mengadakan lawatan ke Narawathiwat, Najib mengucapkan pepatah yang lebih menyentuh hati penduduk selatan Thailand.
Ketika menyampaikan ucapan semasa melakukan lawatan bersama Abhisit ke Institut Islam Attakiah, Najib menarik perhatian hadirin apabila berkata: “Jadilah pendokong yang kuat kepada falsafah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”
Najib amat memahami, setiap apa yang beliau katakan dalam lawatan itu akan diperhati dan dinilai oleh penduduk Islam. Justeru beliau mahu mereka memahami betapa pentingnya mereka menyokong usaha mendamaikan semula bumi di selatan Thailand itu.
Bagi Perdana Menteri, mesej keamanan harus disampaikan dan sekali gus menunjukkan betapa seriusnya Malaysia dalam usaha membantu Thailand mengamankan wilayah berkenaan.
Sememangnya Malaysia memahami dan mengerti bahawa konflik di selatan adalah masalah dalaman Thailand. Dan Malaysia sama sekali tidak akan campur tangan tetapi Kuala Lumpur tidak mahu berpeluk tubuh sahaja.
Sebab itulah Najib menegaskan, biarpun Malaysia tidak mahu campur tangan, namun beliau mahu ia diselesaikan dengan pendekatan Thailand sendiri tanpa memandang ringan konflik yang terjadi kerana ia boleh membawa kepada isu keselamatan negara.
Sememangnya Malaysia mempunyai banyak cara yang boleh dilakukan bagi membantu Thailand kerana jika konflik berlanjutan yang akan turut menerima tempias ialah Malaysia sebagai negara jiran. Ia ibarat jiran yang tidak akan tidur lena kalau jiran sebelah rumah asyik bergaduh.
Sebab itulah Najib dengan penuh diplomasi mahu konflik di selatan Thailand diselesaikan, mungkin tidak dalam waktu yang singkat tetapi bak kata Najib, harus ada cahaya di hujung terowong.
Namun begitu sama ada usaha membawa keamanan akan berjaya atau tidak ia bergantung sepenuhnya kepada pemimpin dan penduduk Islam di wilayah berkenaan.
Mereka harus memikirkan dengan serius betapa Malaysia sebagai sebuah negara Islam sanggup bersama kerajaan Thailand berusaha mewujudkan keamanan.
Dalam memperkatakan perkara ini, sudah tiba masanya kerajaan Thailand benar-benar mengenal pasti dengan siapa yang harus mereka berunding.
Pada masa ini adalah jelas, mereka boleh dikatakan masih meraba-raba mencari siapa sebenar puak pemisah dan siapa ketua mereka. Kalau benar mereka ketika ini sudah berunding dan berhubung dengan kumpulan atau pemimpin yang betul sudah tentulah tiada kejadian keganasan berlaku.
Ia termasuklah kejadian serangan bom yang berlaku di Narathiwat pada Isnin dan di Yala pada Selasa.
Selain itu, bagi pihak “puak pemisah” pula, jika benar mereka adalah kumpulan yang betul dan bersedia berunding dengan kerajaan bagi membawa keamanan, sudah pasti tiada kata-kata seperti: “Kami akan buat kenduri besar-besaran”.
Ia kononnya dilafazkan oleh seorang pemimpin yang mendakwa mempunyai pengaruh dengan puak pemisah. Dalam istilah puak pemisah, ‘kenduri’ tersebut adalah serangan bom.
Sebab itulah, kerajaan Thailand atau mungkin juga pihak di Malaysia tidak harus mempercayai mana-mana individu yang mendakwa berada dalam barisan kepimpinan puak pemisah tetapi mereka sendiri berada di luar negara dan tidak pernah pulang ke tanah air sendiri.
Oleh itu bagaimana mereka boleh mengetahui situasi sebenar di selatan Thailand.
Jadi, adalah wajar jika tumpuan rundingan ialah dengan kumpulan yang betul dan bukannya dengan individu yang pada hakikatnya ibarat “tin kosong”.
Penulis memperkatakan perkara ini, kerana ia berkaitan dengan apa yang Najib lafazkan iaitu setia kepada negara dan betapa penting keamanan diwujudkan kembali di wilayah yang bergolak itu.
Jika keganasan berterusan sudah pastilah kesungguhan Malaysia membantu kerajaan Thailand dalam membawa keamanan hanya sia-sia.
Keamanan tidak akan berjaya diwujudkan kerana penulis difahamkan majoriti yang mengaku pemimpin puak pemisah ini hakikatnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Malah ada antara mereka tidak pun dikenali oleh masyarakat selatan dan hanya berada di luar negara sepanjang masa termasuk di Eropah.
Oleh itu mencari kelompok yang tepat untuk berunding akan menjadi kunci utama kepada usaha mewujudkan keamanan. Kalau mahu diambil contoh lihat sahaja kejayaan Indonesia berdamai dengan Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Kemampuan kerajaan negara itu memilih kumpulan yang betul untuk berunding berjaya merealisasikan impian memulihkan Aceh daripada konflik yang sudah berlanjutan berpuluh-puluh tahun.
Hakikatnya, Malaysia hanya boleh merancang bagi membantu Thailand dalam usaha membantu masyarakat Islam negara itu dari segi membangunkan modal insan dan ekonomi sahaja serta menyelesaikan masalah perdagangan manusia dan isu memiliki dua kad pengenalan.
Tetapi untuk campur tangan bagi berunding dengan puak pemisah, adalah masalah dalaman Thailand. Justeru kalau benarlah hendak mewujudkan keamanan maka berundinglah dengan pihak yang betul.
Malaysia di bawah kepimpinan Najib benar-benar serius hendak melihat wilayah selatan kembali aman sebab itulah Najib bersedia melakukan lawatan bersejarah ke wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, sedikit cabaran kepada Malaysia selepas ini ialah bagi merancang program-program bagi membantu masyarakat selatan Thailand selaras dengan persefahaman yang dicapai antara kedua-dua negara.
Jika sebelum ini, semua urusan berkenaan diuruskan oleh Task Force 2010 (Malaysia) tetapi selepas ini ia akan terserah kepada agensi-agensi yang selama ini dikatakan begitu bersemangat untuk mengambil alih tugas itu.
Mereka harus memahami bahawa berdasarkan kepada persefahaman antara Najib dan Abhisit, Malaysia perlu menunjukkan kesungguhan dalam soal tersebut.
Mungkin selama ini mereka menganggap ia perkara mudah tetapi apa yang perlu difahami sensitiviti hubungan dua hala amat penting dipelihara.
Maka dalam apa juga tindakan dan langkah yang dilakukan ia haruslah mengelakkan sebarang persepsi bahawa kita ingin mencampuri urusan dalaman negara tersebut
Apa pun keadaannya, lawatan Najib boleh dianggap pencetus kepada usaha yang lebih serius dan terperinci bagi memulihkan keamanan di selatan Thailand.
Semoga lawatan Najib akan memberi pemahaman yang jelas kepada puak-puak yang masih mahu meneruskan perjuangan sia-sia mereka bahawa mengangkat senjata dan meletupkan bom bukanlah cara terbaik bagi membantu masyarakat Islam di selatan Thailand menikmati kebebasan, keamanan dan kemakmuran, sebaliknya hanya membawa penderitaan berterusan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment