Oleh NORAINI ABD. RAZAK
Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi sudah termaktub di dalam Perlembagaan dan elemen berkaitannya termasuk masjid tidak wajar dipersoalkan.
PERKARA 3 (1) Perlembagaan Persekutuan sangat jelas. Tidak ada makna tersembunyi. Juga tidak ada sebarang keraguan mengenai maksud yang ingin disampaikan.
Sejak digubal, peruntukan tersebut tidak pernah dipinda. Kedudukannya sangat utama. Perihal yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan itu diletakkan di Bahagian 1 Perlembagaan.
Ia dibaca selepas Perkara 1 mengenai nama Malaysia dan negeri-negeri lain dan Perkara 2 yang menyentuh tentang kemasukan wilayah-wilayah baru dalam Persekutuan. Sementara Perkara 4 menyebut tentang undang-undang utama Persekutuan.
Susun atur Perlembagaan sedemikian rupa cukup jelas untuk menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Bagaimanapun menyedari kerencaman kaum yang menghuni negara ini, ada klausa sebelum frasa “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan” dinoktahkan. Frasa tersebut diletak sendi “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di manamana bahagian Persekutuan”.
Biarpun telah melalui proses pindaan lebih 40 kali sejak digubal pada tahun 1956, Perkara 3 itu tidak pernah disentuh.
Kedudukan serta keistimewaannya kekal. Semestinya kerana ia selaras dengan kedudukan penduduk majoriti di negara ini iaitu Melayu dan beragama Islam.
Namun selepas 52 tahun merdeka, cubaan menjentik kedudukan Islam sebagai agama rasmi dimulakan.
Cubaan pertama secara terang-terangan itu semestinya kesinambungan daripada usaha mempertikaikan kedudukan istimewa bumiputera yang secara khususnya dipanggil ketuanan Melayu.
Perihal Islam dan Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Maka usaha tanpa jemu itu sebenarnya tidak lain tidak bukan bertujuan memperlekehkan semangat Perlembagaan itu sendiri.
Gambaran itu sangat jelas. Apa tujuan Ahli Parlimen Taiping yang mewakili parti DAP itu membangkitkan isu tersebut jika bukan kerana “kesucian” Perlembagaan itu tidak mendapat tempat di hati beliau.
Tidakkah terlintas di benaknya sebelum mengedarkan maklumat itu kepada media, bahawa isu tersebut sangat jelas kaitannya dengan Perlembagaan?
Dan isi kandungan Perlembagaan telah memuktamadkan kedudukan istimewa Islam itu sendiri sebagai agama rasmi yang semestinya mendapat pelbagai keistimewaan termasuk peruntukan besar bagi pembinaan masjid di seluruh negara.
Apa sebenarnya matlamat Nga Kor Ming? Mengeluarkan kenyataan provokasi seperti itu dalam keadaan perpaduan kaum di negara ini setipis kulit bawang terang-terangan menyemarakkan api kebencian di kalangan rakyat negara ini.
Apatah lagi apabila kenyataan tersebut mengaitkan kaum-kaum lain sebagai pembayar cukai yang kononnya mesti mendapat hak sama rata dalam semua perkara termasuk bagi pembinaan rumah ibadat.
Tidakkah Kor Ming melihat rumah-rumah ibadat kaum-kaum lain yang berselerak di negara ini dengan kedudukannya amat strategik. Malaysia negara Islam yang dikunjungi penganut agama lain apabila tiba musim perayaan seperti Thaipusam.
Ada penganut agama Hindu dari luar Malaysia datang ke Batu Caves bagi menyempurnakan ibadat mereka.
Tokong-tokong pula terletak di tengah bandar. Apabila tiba acara keagamaan, pembakaran colok dibuat secara terbuka tanpa ada hadnya.
Kebebasan itu bertepatan dengan kehendak Perlembagaan yang membenarkan agama-agama lain diamalkan di negara ini dengan syarat ia berjalan secara harmoni.
Justeru apabila Kor Ming menuduh penganut agama lain dianaktirikan oleh kerajaan kerana tidak mendapat peruntukan sebanyak yang disediakan untuk membina masjid, sudah tentu ada suasana tidak harmoni di situ.
Kor Ming terlupa bahawa mana-mana negara sekali pun telah menetapkan dalam Perlembagaan apa agama rasmi mereka. Penetapan itu akan disusuli dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati oleh rakyat yang menganut agama rasmi itu.
Contoh paling dekat adalah Thailand. Adakah umat Islam di negara jiran itu yang juga merupakan pembayar cukai mendapat peruntukan yang sama seperti penganut agama Buddha dalam hal pembinaan masjid? Atau pun umat Islam di situ terpaksa bermandikan keringat, menumpahkan darah untuk membina masjid untuk dijadikan tempat ibadat? Adakah umat Islam di negara itu mempunyai kebebasan sebagaimana kaum-kaum lain di negara ini menyempurnakan kehendak agama masing-masing tanpa ada batas dan sempadannya?
Tidakkah Kor Ming melihat bagaimana rakyat beragama Islam di negara jiran menjadi pelarian lantaran ‘begitu istimewanya’ dan ‘sama ratanya’ kedudukan mereka dengan rakyat yang agama rasminya termaktub dalam Perlembagaan?
Bagaimana pula dengan negara-negara lain yang tinggi amalan demokrasinya? Adakah umat Islam di situ mempunyai kebebasan tanpa rasa hormat seperti Kor Ming menuntut sesuatu yang bukan hak serta milik mereka?
Jadi apa sebenarnya kewajaran atau alasan paling munasabah untuk Kor Ming membangkitkan persoalan yang bertentangan semangat Perlembagaan itu? Sedangkan Perlembagaan sebenarnya tidak mengizinkan satu sen pun untuk agama-agama lain.
Namun atas semangat menghormati kaum-kaum lain, maka kerajaan tidak kedekut menyediakan peruntukan dan balasannya muncul orang seperti Kor Ming yang pasti cuba menyampaikan maksud tersirat di sebalik tersuratnya kenyataan beliau Selasa lalu.
Sangat jelas satu demi satu peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan dijadikan alat oleh pembangkang untuk menyemai benih kebencian di antara penduduk beragama Islam dengan penganut bukan Islam.
Usaha yang dimulakan dengan menabur benih kebencian bersandarkan kepada ketuanan Melayu kini mula menampakkan cambahnya.
Usaha tersebut kini dibajai dan disirami dengan dakwaan bahawa penganut agama lain dianaktirikan – dakwaan yang sama sekali tidak sepatutnya timbul selepas termeterainya persetujuan semua kaum untuk dinaungi oleh pemerintah beragama Islam, 52 tahun lalu.
Lebih membimbangkan gagasan 1Malaysia yang begitu luhur matlamatnya cuba diselewengkan untuk menghalalkan tuntutan kesamarataan sehingga mengetepikan buku Perlembagaan yang kini semakin ‘lusuh dan luntur’ semangatnya di mata rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.
Usaha-usaha seperti yang diterajui Kor Ming tidak boleh dibiarkan sedemikian rupa. Kesannya amat parah.
Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara bernama Malaysia mesti dipelihara supaya kelak ia tidak dijadikan ‘alasan’ perpecahan kaum dan keruntuhan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment