Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SALAM Syawal Mubarak diucapkan kepada para pembaca budiman. Semoga kedatangan Syawal ini disambut dengan semangat dan kefahaman yang betul.
Hakikatnya, Syawal juga adalah bulan ibadah dan bukannya bulan keraian dan pestaan dalam erti kata yang sempit. Ini jelas daripada pensyariatan puasa sunat khususnya puasa enam hari padanya serta kedudukannya sebagai sebahagian daripada bulan-bulan ibadah haji.
Maka wajarlah kebaikan yang kita peroleh sepanjang Ramadan daripada pertambahan amalan dan terpeliharanya tingkah laku kita teruskan dan pertahankan pada bulan ini dan bulan-bulan mendatang.
Sesungguhnya kita semua adalah hamba Allah SWT yang mana kegembiraan dan keseronokan sebenar adalah apabila kita berada di atas landasan ibadah dan khidmat yang tulus ke hadrat-Nya.
Kita menyambung perbahasan kita tentang isu-isu berkaitan keutamaan dan kemuliaan Rasulullah SAW. Antaranya, sebahagian ulama menyebut dalam perbicaraan tentang keistimewaan Nabi Muhammad SAW, bahawa malam maulid (kelahiran) Nabi SAW adalah lebih mulia daripada malam al-Qadr (Lailah al-Qadr).
Dakwaan ini mungkin jarang didengari dan boleh mengundang pandangan yang serong terhadap pembuatnya yang mungkin mencalar hubungan sesama Islam.
Maka suka kami sebutkan di sini bahawa maksud 'malam' di sini, adalah malam berlakunya kelahiran Nabi Muhammad SAW yang sebenar. Malam itu telah berlalu ratusan tahun lamanya dan ia telah terjadi sebelum diketahui atau lahirnya Lailah al-Qadr tanpa syak.
Jadi, yang dimaksudkan dengan malam maulid itu, bukanlah malam peringatan kelahiran Nabi SAW yang sering berulang-ulang pada setiap tahun yang berbetulan dengan tarikh malam maulid yang sebenar.
Apa yang pasti, mengingkari atau mengakuinya masalah malam tersebut tidak akan menimbulkan bahaya atau kemudaratan kerana ia bukanlah berkaitan dengan asas-asas akidah.
Sejumlah ulama telah cuba membahas masalah cabangan itu. Bahkan ada antara mereka yang telah menulis risalah khusus tentangnya. Namun, ia tidak sepatutnya dibesar-besarkan masalah ini di luar kadar yang sepatutnya.
Kesimpulannya, kami berkeyakinan bahawa perbandingan yang dimaksudkan oleh sebahagian ulama itu adalah di antara dua malam tersebut adalah antara malam kelahiran Nabi SAW yang sebenar dengan malam al-Qadr.
Sesungguhnya, malam berlakunya peristiwa kelahiran Nabi SAW yang sebenarnya, yang dibahaskan tentang kelebihan dan perbandingannya itu, telah berlalu, berakhir dan tidak wujud lagi pada hari ini.
Adapun Lailah al Qadr masih wujud dan berlaku berulang kali saban tahun. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua 'ahli' malam tersebut pada setiap tahun.
Justeru, Lailah al-Qadr adalah malam yang paling afdal dan mulia, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al Quran) ini pada malam (Lailah) al Qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailah al Qadr itu? Lailah al Qadr lebih baik daripada seribu bulan (al-Qadr: 1-3).
No comments:
Post a Comment