Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN DAN AHMAD TERMIZI MOHAMED
WALAUPUN kebanyakan kita telah kembali kepada rutin kerja pada minggu ini, namun kehangatan Aidilfitri masih lagi belum pudar. Suasana Syawal masih boleh dirasai kerana masyarakat Islam di Malaysia terus merayakannya selama sebulan berbanding di negara lain yang hanya meraikannya pada satu Syawal sahaja.
Budaya kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi masih berterusan. Biskut raya, kuih-muih dan kerepek masih lagi terhidang di atas meja untuk santapan tetamu yang hadir.
Masyarakat di bandar-bandar serta ibu kota, jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta berlumba-lumba menganjurkan rumah terbuka sehingga terpaksa diaturkan jadual agar tidak berlaku pertembungan.
Pada hujung minggu pula, jalan raya akan sesak kerana masyarakat berpusu-pusu ke rumah sanak-saudara dan rakan-taulan yang juga mengadakan rumah terbuka.
Sebenarnya, konsep rumah terbuka ini patut diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa.
Ia amat digalakkan oleh Islam kerana dapat menghubungkan silaturrahim dengan berkenal-kenalan dan juga menghulurkan duit raya sebagai hadiah atau sedekah.
Namun, budaya rumah terbuka perlu diseiringkan dengan etika dan adab yang selari dengan ajaran Islam.
Batasan dan sempadan agama perlu dijadikan keutamaan agar budaya yang baik ini tidak menjadi sia-sia.
Apabila agama dipinggirkan, rumah terbuka yang kita anjurkan tidak akan membawa apa-apa faedah, bahkan membawa keburukan kepada kehidupan bermasyarakat dalam Islam.
Antara perkara paling penting dalam menganjurkan rumah terbuka adalah dengan memperbetulkan niat. Pihak yang menganjurkan rumah terbuka perlu mempunyai niat yang murni iaitu untuk mengeratkan silaturrahim dan untuk menghubungkan kembali talian persaudaraan yang mungkin telah lama terhakis.
Ini kerana, terdapat segelintir masyarakat yang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Ada yang mengambil kesempatan untuk mempamerkan perabot-perabot baru dan pakaian-pakaian yang mewah untuk tatapan tetamu yang hadir.
Diri merasa megah dengan pujian dan kekaguman tetamu yang hadir. Tetamu juga perlu mengelakkan sikap suka membanding-bandingkan.
Terimalah seadanya apa yang disediakan oleh tuan rumah atau pihak yang menganjurkan. Sedarlah bahawa Allah SWT tidak menilai sesuatu perbuatan itu melainkan akan dilihat terlebih dahulu kepada niat di hati.
Justeru, niat yang ikhlas ini perlu dibulatkan dalam hati agar majlis yang kita anjurkan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Kedua, elak melakukan pembaziran dalam menganjurkan majlis rumah terbuka. Penyediaan juadah makanan perlu disesuaikan dengan jumlah tetamu yang dijemput. Jangan sampai berlebih-lebihan sehingga membazir.
Tidak perlu untuk kita malu dan segan kerana tidak mampu untuk menyediakan juadah seperti orang lain. Jangan sampai ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis rumah terbuka yang akhirnya mencipta hutang baru sedangkan hutang lapuk masih belum dilangsaikan. Berbelanjalah mengikut kemampuan masing-masing.
Seterusnya, pastikan majlis yang kita anjurkan tidak mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah seperti hidangan arak, tari-menari dan nyanyian yang melalaikan. Percampuran lelaki dan perempuan perlu ada batasannya.
Demikianlah beberapa adab dan etika dalam menganjurkan rumah terbuka. Namun, perlu difahami bahawa kita tidak perlu menunggu dan menanti jemputan ke rumah terbuka di musim perayaan.
Budaya ziarah-menziarahi perlu diperhebatkan walaupun bukan di rumah terbuka dan bukan di bulan Syawal. Menghubungkan silaturrahim tetap menjadi kewajipan kita bersama dan keperluan bagi menyatukan masyarakat Islam sejagat.
Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal... (al-Hujurat: 13)
No comments:
Post a Comment