SAYA ada terbaca dalam satu majalah mengenai kisah seorang lelaki yang telah terbatal tawaf umrah, tidak membayar dam lalu dia pulang ke Malaysia dan menikahkan anaknya.
Artikel itu menyatakan pernikahan itu tidak sah kerana lelaki tersebut masih dalam ihram walaupun telah pulang ke tanah air. Benarkah demikian?
Jawapan:
Menurut Imam Syafie seorang yang sedang ihram tidak dibolehkan untuk mengadakan nikah, menikahkan mahu pun meminang.
Ada pun beliau dalam menetapkan hukum pernikahan pada waktu ihram ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Usman bin Affan, yang berbunyi: "Seorang yang sedang ihram tidak boleh nikah, menikahkan mahupun meminang."
Pendapat Imam Syafie di atas didukung oleh Imam Nawawi yang memaparkan bahawa larangan nikah ketika ihram adalah haram dan nikahnya tidak sah.
Syarat agar wali atau yang dinikahi itu tidak berihram, melainkan mazhab Hanafi mengharuskan berlakunya nikah kahwin ketika dalam ihram.
Mengikut pandangan jumhur bahawa tidak sah perkahwinan (pernikahan) seseorang itu selagi dalam keadaan ihram, sama ada ihram haji mahupun ihram umrah.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW riwayat Usman bin Affan yang bermaksud: Orang yang ihram (sedang mengerjakan haji atau umrah) tidak boleh mengahwinkan, tidak boleh dikahwinkan dan tidak boleh meminang. (riwayat Muslim, no; 1409)
Dalam hadis yang lain menyebut tidak meminang untuk dirinya dan untuk orang lain. Ini kerana ibadah haji adalah ibadah yang memutuskan segala aktiviti manusia semata-mata tumpu kepada ibadah.
Adapun nikah adalah laluan mengadakan hubungan suami isteri sedangkan sepanjang seseorang dalam ihram ditegah mengadakan hubungan kelamin. Mengikut mazhab al-Malikiyyah (mazhab Maliki), jika pernikahan itu berlaku maka hendaklah pernikahan itu difasakhkan (dibatalkan) oleh kadi.
Adapun, mazhab al-Hanafiyyah berpendapat ihram atau tidak, sah pernikahan seseorang yang sedang dalam ihram begitu juga harus menikahkan orang lain. Sama ada yang berihram itu bakal suami, bakal isteri mahupun wali yang menikahkannya.
Ini berdasarkan dalil oleh al-Bukhari dan Muslim, sesungguhnya diriwayatkan oleh Rawad bin Abbas bahawa nabi SAW bernikah dengan Maimunah binti al-Harith sedang baginda dalam ihram.
Ibnu Numair menambah: Aku menceritakan hal itu kepada Zuhri, lalu ia berkata: Yazid bin Asham mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau menikahinya dalam keadaan halal, iaitu setelah bertahallul. (riwayat Muslim no: 1410)
Pandangan yang rajih (kuat) adalah pandangan jumhur, iaitu tidak sah pernikahan seseorang yang sedang dalam ihram. Ini kerana terdapat hadis lain menyebut Maimunah dinikahi Nabi SAW ketika tidak dalam ihram.
Hal ini diberitahu sendiri oleh Maimunah isteri nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahinya (Maimunah) sedang baginda telah keluar dari ihram. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulannya menikahkan, menikahi atau menjadi wali ketika berihram dikira tidak sah. (lihat al-Fiqh al-Islamiy wa adillatuhu, Dr. Wahbah al-Zuhailiy, jld:7, hlm: 69-70)
Adakah benar seseorang itu masih di dalam ihram (ibadah umrah ziarah) walaupun telah pulang ke Malaysia? Sekiranya dia telah bertahallul, bagaimana pula jika tidak tahu telah terbatal dan tidak tahu kerana jahil?
Tidak tahu bukanlah alasan melepaskan diri daripada tanggungjawab syarak. Semua kita wajib belajar ilmu yang berkaitan dengan syariat.
Contohnya, bila hendak solat kita seharusnya menuntut ilmu berkaitan solat, termasuk syarat-syarat sah solat, rukun-rukun solat serta segala bacaan yang berkaitan dengannya.
Begitu juga ibadat haji dan umrah, sebelum pergi seharusnya ilmu berkaitan haji dan umrah dipelajari sebanyak yang mungkin. Namun dalam keadaan seseorang itu benar-benar jahil maka dia seharusnya bertaubat atas kejahilannya dan mengulangi ibadatnya.
Seseorang yang menunaikan umrah sedangkan dia jahil mengenainya hendaklah mengulangi umrahnya apabila telah cukup belanja. Perkara yang kurang pasti dalam soalan ini apakah yang dilakukan oleh orang itu sehingga tawafnya terbatal?
Jika perkara ini berlaku tanpa ilmu yang cukup saya fikir Allah SWT Maha Mengetahui dan sedia menerima taubat hambanya.
Seperkara lagi yang perlu kita ketahui, agama Allah SWT tidak menzalimi penganutnya, malah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya manusia dapat laksanakan ibadat dengan penuh kepatuhan bukan dengan penuh paksaan tanpa ilmu pengetahuan
Jika telah bertahallul sebelum kembali ke tanah air maka dia dikira telah keluar daripada ihram. Lalu kembali ke tanah air dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah sempurnakan ibadah umrah maka atas dasar itu telah menikahkan anaknya.
Nikah yang dilakukan itu sah mengikut perhitungan si ayah yang yakin umrahnya selesai. Melainkan si ayah sedar umrahnya tidak selesai lalu menikahkan anaknya, ketika itu jelas bahawa nikah itu tidak sah.
Pendapat yang lain mengatakan apabila seseorang itu kembali ke tanah air masing-masing dia dikira tidak lagi berada dalam ihram, biarpun ibadah umrah atau hajinya tidak sempurna. Ihramnya terbatal dengan sendiri atas perbuatannya. Maka hendaklah dia mengqada umrahnya pada tahun yang berikut kerana membatalkan umrahnya berserta dam. Selagi tidak mengqada umrah atau hajinya dia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment