Like Blog Ini...

Thursday, September 1, 2011

Permaidani dunia Islam

SELAIN dikenali mengikut nama tempat dan juga dinasti seperti permaidani Konya dan permaidani Mamluk, permaidani dunia Islam turut dikenali dengan bentuk rekaan motif hiasan utama.

Permaidani motif haiwan dipercayai mula direka pada akhir abad ke-14 Masihi sehingga awal abad ke-15 Masihi. Ia dipercayai dihasilkan di Tabriz dengan menggunakan motif hiasan haiwan seperti naga dan burung besar.

Seperti permaidani lain, ia juga mempunyai simpulan benang simetri dan saiz keseluruhan permaidani adalah kecil berbanding yang lain iaitu kira-kira satu hingga 1.5 meter.

Dari segi warna, ia menggunakan pelbagai warna yang terang bagi memperagakan motif haiwan yang digunakan.

Permaidani jenis ini yang pertama ditemui dan masih dalam keadaan yang baik ialah pada tahun 1886 di salah sebuah gereja di Itali. Beberapa bidang lagi ditemui pada abad yang seterusnya di beberapa buah tempat seperti di Sweeden dan Tibet.

Salah satu permaidani ini berada dalam koleksi Muzium Metropolitan. Motif haiwan tidak digunakan dalam masyarakat Islam, oleh itu ia dihasilkan semata-mata untuk tujuan eksport ataupun atas tempahan masyarakat bukan Islam yang tinggal di sekitar kerajaan Islam.

Satu lagi jenis hiasan permaidani yang juga dihasilkan di Iran dikenali sebagai permaidani motif pasu. Ia menggunakan motif pasu sebagai motif utama. Motif pasu utama ini terletak di bahagian tengah permaidani. Selain pasu motif hiasan permaidani ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pertama, motif gulungan sulur pokok anggur yang berwarna putih gading, yang kedua, dahan pokok yang keluar dari pasu yang berwarna biru atau merah dan yang ketiga, kuntuman bunga bersaiz kecil dan besar serta daun pada dahan pokok tersebut.

Permaidani ini dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Abas I yang memerintah Dinasti Safavid Iran pada tahun 1571 -1629.

Salah satu kaum nomad yang tinggal di Iran dan mempunyai kemahiran menghasilkan permaidani benang bulu ialah kaum Qashqai. Mereka tinggal di kawasan barat daya Iran.

Permaidani yang dihasilkan kebanyakannya di jual di bandar-bandar besar Iran seperti di Shiraz dan Fars. Permaidani tertua yang dihasilkan oleh kaum ini yang dapat dikesan berusia dari abad ke-17 Masihi.

Selain permaidani, penenun permaidani di Iran juga menghasilkan satu lagi jenis hamparan yang dikenali sebagai 'kelim'. Antara pusat pengeluaran kelim pada abad ke 16 ialah Kashan dan Yazd. Kelim adalah hamparan yang lebih nipis dan ringan berbanding permaidani yang diperbuat daripada benang bulu.

Perusahaan permaidani di India juga banyak mengambil teknik dan reka bentuk daripada Iran. Perusahaan permaidani di India dikatakan telah bermula pada abad ke-14 Masihi sebelum pemerintahan Dinasti Mughal pada abad ke-16 Masihi.

Ini boleh dilihat daripada lukisan mini yang dihasilkan di mana kebanyakan lukisan yang melibatkan golongan diraja mesti mempunyai hamparan berwarna terang dan di hiasi dengan motif flora dan arabesque.

Permaidani bukan sahaja digunakan di dalam rumah kediaman ataupun istana malah ia turut di bawa bersama untuk aktiviti luar seperti memburu, misi ketenteraan dan juga perjalanan.

Ia dibentangkan sebagai alas di atas tanah di dalam khemah terutamanya bagi golongan diraja dan golongan bangsawan. Permaidani yang berkualiti juga dilihat sebagai salah satu barangan mewah yang dimiliki oleh golongan berada.

Permaidani mempunyai pelbagai saiz dan bentuk. Selain dijadikan hiasan rumah kediaman ataupun ruang yang luas, terdapat permaidani yang dijadikan sebagai sejadah atau tikar sembahyang bagi umat Islam.

Permaidani yang dijadikan tikar sembahyang mempunyai motif yang paling minimum tetapi penggunaan warna masih lagi terang dan menarik.

No comments: