Oleh Amran Zakaria
HASIL kajian Pengagihan Zakat oleh Institusi Zakat di Malaysia yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia 2008 menunjukkan ramai pembayar zakat tidak berpuas hati dengan pengagihan zakat oleh institusi zakat di negara ini.
Pada zaman Rasulullah SAW, pengurusan zakat bermula daripada masjid di bandar Madinah yang menjadi tempat berkumpul umat Islam. Hari ini Pusat Pungutan Zakat (PPZ) menjadi institusi yang diamanahkan mengumpul hasil zakat secara profesional.
Untuk memastikan supaya tidak berlaku kes ‘terlepas pandang’ lebih banyak aktiviti turun padang dibuat secara berterusan dan sepanjang masa. Harapan pembayar zakat supaya golongan berhak mendapat bahagian mereka.
Jika pengagihan zakat dapat dijalankan secara berkesan tentu ia akan memberi kepuasan kepada masyarakat Islam terutama pembayar zakat. Justeru, mereka yang memikul amanah mesti melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
Daripada Saidina Ali, katanya ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW lalu muncul seorang daripada keluarga al-aliyah dan bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang ringan? Maka jawab Rasulullah SAW: Yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah syahadat dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah. Sembahyang baginya dan tiada zakat.” (Hadis riwayat al-Bazar at-Tabrani)
Ulama terkemuka, Prof Dr Yusuf Qardhawi dalam tulisannya bertajuk Masalah Kemiskinan: Konsep Islam dan Hukum Zakat yang mengulas persoalan kemiskinan menyarankan supaya isu kemiskinan ditangani dengan bijak dan jangan sampai membahayakan kehidupan manusia.
Beliau menolak pandangan golongan yang menyucikan kemiskinan, beranggapan kemiskinan bukan suatu keburukan perlu diatasi dan menjadi masalah mesti dihuraikan. Golongan ini menyifatkan kemiskinan kurniaan Allah kepada hamba dicintainya supaya hamba itu memberi perhatian kepada kehidupan di akhirat dengan membenci dunia.
Sahabat Nabi, Abu Dzar Al-Ghifary pernah berkata: “Aku hairan terhadap orang yang tidak ada makanan di rumahnya, bagaimana ia dapat menahan emosinya (dengan) tidak menyerang orang lain dengan pedang terhunus?”
Islam menyarankan dua pendekatan bagi menangani kemiskinan. Pertama, mengusahakan manusia keluar daripada kemiskinan dan kedua, mengingatkan manusia jangan keterlaluan bermewah hingga mengabaikan tanggungjawab membantu membanteras kemiskinan.
Sistem kemasyarakatan Islam yang berdiri atas prinsip persamaan darjat, kewajipan dan persaudaraan Islam sebagai tanggungjawab bersama diharapkan dapat menyucikan diri daripada kotoran dosa dengan mengikis sifat tangkai jering.
Islam menggalakkan orang kaya bersyukur dan orang miskin bersabar. Orang kaya yang bersyukur menggunakan hartanya pada usaha diperintahkan Allah, manakala orang miskin yang bersabar pula reda dengan kemiskinannya dan tidak melakukan perkara haram demi sesuap nasi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukan kemiskinan yang aku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya seperti umat dulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dulu kala juga sudah dihancurkan oleh sifat sedemikian.” (Hadis Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment