Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
SABAN hari kita membaca di akhbar-akhbar berkaitan pertelingkahan antara orang Islam di serata dunia. Malah senario yang sama juga berlaku di Malaysia.
Umat Islam sudah tidak lagi menjadi model kepada umat-umat lain di dalam sikap berkasih sayang bertolak ansur dan saling faham-memahami antara satu sama lain.
Adakah perpaduan di dalam Islam ini hanyalah retorik semata-mata dan tidak mempunyai justifikasi di dalam agama?
Ironinya perpecahan sesama orang Islam sudah seolah-olah menjadi norma di dalam kehidupan orang Islam sedangkan agama Islam begitu menitikberatkan perpaduan di kalangan orang Islam.
Fenomena ini sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan agama Islam langsung kerana Islam tidak menganjurkan umatnya berpecah.
Perseteruan atau perselisihan faham di dalam isu-isu tertentu mungkin sudah menjadi lumrah namun Islam telah menyediakan jalan penyelesaiannya.
Ia sebagaimana terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: ...kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (al-Nisa': 59)
Umat Islam yang membentuk seperlima dari jumlah penduduk dunia dipertautkan hati mereka dengan tautan akidah yang sama.
Amin Al Jarumi di dalam bukunya Bicara Ad Din Mutiara Kehidupan Beragama menjelaskan terdapat empat elemen penting yang perlu diberi penekanan bagi penyatuan umat Islam seluruh dunia iaitu:
- Akidah tunggal yang sempurna.
- Syariat Islam yang dikuatkuasakan.
- Persaudaraan berdasarkan keimanan dan keislaman.
- Cita-cita bersama.
Menurut Amin Al Jarumi, berbanding orang bukan Islam yang bersatu atas dasar materialisme umat Islam perlu bersatu di bawah akidah yang sama dan sempurna.
Keseluruhan sistem ibadat, muamalat, munakahat, jenayah dan hukuman perlulah berpaksikan kepada akidah yang sempurna ini. Malah menguatkuasakan syariat Islam yang sama akan dapat mengelakkan umat Islam meniru orang lain dalam menjalani kehidupan umat Islam.
Syariat Islam tersebut mencakupi pelbagai sistem yang anjal boleh disesuaikan dalam apa juga keadaan dan masa.
Ia sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. (al-Maidah: 3)
Sementara itu, ukhuwah di kalangan umat Islam berteraskan keimanan dan keislaman adalah amat dipentingkan. Hal yang demikian boleh difahami melalui hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad yang bermaksud: Bandingan orang mukmin dalam hubungan baik mereka rahmat merahmati mereka, sayang menyayangi mereka seperti sebuah jasad apabila suatu anggota daripadanya sakit maka semua anggota lain terpaksa berjaga malam dan terasa demam. (riwayat Muslim)
Masyarakat Islam juga mesti mempunyai cita-cita yang sama iaitu mengembalikan hak orang Islam mengamalkan agama mereka termasuklah di negara luar seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara Islam.
Keempat-empat elemen di atas adalah resipi kepada perpaduan umat Islam di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Namun begitu umat Islam sering dilihat berbalah antara satu sama lain kerana masing-masing mengatakan merekalah yang benar dan pihak yang satu lagi itulah yang salah.
Seharusnya piawaian yang disediakan oleh al-Quran iaitu berbalik kepada kitab Allah dan sunnah rasul-Nya jika berlaku perbalahan hendaklah menjadi parameter bagi menyelesaikan kemelut dan masalah antara umat Islam.
Kemusykilan yang lebih besar adalah apabila terdapat sesetengah umat Islam yang lebih mempercayai orang bukan Islam berbanding orang Islam atas pelbagai alasan.
Semua pihak yang berseteru di kalangan orang Islam seharusnya menginsafi diri dan mengelak menuding jari kepada orang lain sahaja dan terlalu ego serta mendabik dada merekalah yang lebih baik daripada orang Islam yang lain.
Tuntutan perpaduan di dalam Islam dapat direalisasikan melalui kerjasama antara yang kuat dan yang lemah, orang kaya dengan orang miskin, berkongsi kegembiraan dan kesusahan, bertukar-tukar ucapan tahniah serta menyebarkan salam. Malah perdamaian atau sulh juga amat dianjurkan oleh Islam.
No comments:
Post a Comment