Oleh NURUL IZZAR SIDEK
ISU akidah adalah perkara pokok bagi remaja Islam. Di tengah-tengah simpang siur aliran pemikiran yang pelbagai, landasan akidah adalah amat penting bagi remaja. Akidah diambil daripada akar kata aqa'id iaitu tautan atau ikatan diri terhadap Allah.
Akidah tauhid memberi landasan ikatan kepada Allah yang satu. Terdapat banyak aliran ideologi yang berkembang dalam hidup manusia sejak dahulu sehingga kini. Terdapat juga pemikiran falsafah dan silang budaya yang terkait dengan isu akidah.
Fahaman liberal dan pluralis umpamanya mempunyai kesan langsung kepada isu akidah.
Usaha-usaha agama lain terutama Kristian melakukan pemurtadan adalah sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.
Akidah bukan sekadar pernyataan mengesakan Allah dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Sebaliknya, yang amat penting adalah pemahaman dan aplikasi terhadap Allah yang satu dalam keyakinan, kata-kata, amalan dan juga manifestasi ilmu.
Para remaja tidak sahaja menjadi penganut Islam berasaskan warisan keturunan tetapi hendaklah memahami ilmu tentang akidah tauhid, mengukuhkan ibadah, memahami jalur syariah dan fikah di samping memiliki akhlak yang mulia.
Asas ini sangat penting bagi remaja kerana keyakinan tanpa pemahaman boleh membawa jiwa remaja kepada kekosongan. Keyakinan tanpa didukung oleh ilmu tidak akan memberi kekuatan, memahami hakikat kewujudan dan kaitan dengan penciptaan.
Memahami Islam bukan sekadar memahami hal-hal yang nyata dan tampak, tetapi ia terhubung dengan faktor-faktor ghaibiyat. Di sini pentingnya para remaja memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk kepada yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib.
Sekiranya para remaja diberi fahaman Islam dan tauhid secara ilmu, ia bakal memantapkan lagi keyakinan remaja terhadap perkara tauhid.
Berlakunya kelonggaran dan ketidakfahaman remaja terhadap isu akidah ini adalah akibat daripada kekosongan ilmu dan kelompangan keyakinan yang menyebabkan anutan terhadap agama menjadi tidak teguh dan kukuh.
Keteguhan dan kekukuhan akidah bersumberkan pemahaman yang jelas terhadap pencipta dan juga pemahaman yang nyata terhadap kaitan wahyu Allah dengan penciptaan-Nya sebagai contoh.
Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang faktor ghaibiyat yang terhubung dengan faktor yang nyata supaya keyakinan kita terhadap wujudnya Allah dan kaitannya dengan alam ini menjadi teguh.
Dalam surah Al-Alaq, Allah menyebutkan khalaqal insanamin alaq... membawa makna bahawa kejadian manusia itu bermula daripada seketul darah beku.
Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah menyatakan bahawa punca kejadian manusia adalah daripada sari pati tanah. Apakah kaitannya sari pati tanah dengan pokok-pokok dan buah-buahan yang menyumbang terhadap kejadian air mani?
Ia adalah sesuatu yang saintifik. Apabila kromosom X dan kromosom Y bertemu, ia menghasilkan zigot. Ia disebut dalam bahasa al-Quran sebagai nutfah.
Apabila proses pembenihan itu subur menghasilkan susuk dan bentuk, Allah tiupkan roh ke dalam embrio tersebut. Ia menghasilkan manusia dalam rahim yang mempunyai kekuatan. Roh walaupun tidak nampak, tetapi bagi yang hidup merasakan ia ada.
Al-Quran menyebutkan roh itu adalah milik Allah dan yang diketahui oleh manusia hanyalah sedikit sekali. Adanya roh (yang ghaib) menyebabkan akal berfikir, hati merasa dan daya melakukan amal. Tanpa roh, seluruh jasad dan potensi yang ada pada manusia akan kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Asas berfikir seperti ini boleh menanamkan landasan akidah yang teguh di kalangan remaja. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan. Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib.
Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.
Kelemahan akidah remaja, kelonggaran pemahaman ilmu, kealpaan melakukan reflektif terhadap kekuatan tamadun silam menyebabkan para remaja mudah terpengaruh dengan fahaman popular Barat yang menyesatkan.
Apabila kekaguman terhadap Barat sifatnya melampaui, pemahaman secara ritual dan berkala terhadap Islam tidak boleh menyebabkan para remaja memiliki kekentalan akidah tauhid.
Keadaan seperti ini mendedahkan remaja kepada kerosakan akhlak, kemuflisan ilmu Islami dan akhirnya mudah terjebak kepada fahaman hedonisme (berpoya-poya), melupakan agama, terjebak dengan ajaran sesat dan juga boleh menjadi murtad.
Ilmu dan amal
Oleh itu, amat penting para remaja Islam memahami agamanya secara ilmu dan amal. Kadangkala para remaja memiliki kekuatan rohani yang tinggi, tetapi lemah dalam amal Islamnya. Islam sebagai sistem kepercayaan perlu diperlihatkan dengan kekuatan amal.
Keindahan Islam sejak dahulu zaman tamadunnya hingga kini terlihat daripada pekerti dan amal manusia. Ini yang menyebabkan orang lain tertarik dengan Islam bukan sahaja kerana kebenaran yang terdapat dalam al-Quran dan agama ini, tetapi keindahan peribadi pemeluknya memiliki daya tarik yang tinggi.
Cabaran yang mendatangi zaman ini memerlukan remaja untuk sentiasa mencari jalan mempertingkatkan ilmu dan pemantapan iman di samping keupayaan diri untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
Pelbagai pergolakan serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat ada kalanya menguji tahap ketahanan diri. Tanpa asas serta pemahaman yang betul terhadap akidah tauhid, remaja boleh terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama.
Justeru, para remaja harus bertitik tolak dengan pemahaman akidah yang mantap atas dokongan ilmu yang benar dan akhirnya bakal mampu menjadi agen perubahan terhadap kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.
Menjadi pengagum kepada kemajuan Barat adalah tidak salah sekiranya remaja sendiri berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam dan manusia.
Di Barat sendiri, krisis agama menjadi suatu yang meruncing. Fahaman liberal, pluralis serta fahaman tidak beragama juga menjadi pegangan hidup masyarakat Barat.
Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding.
Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan perubahan yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islam.
Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.
Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.
Remaja sewajarnya reflektif terhadap puncak kepemimpinan Islam tatkala Tamadun Andalusia berkembang di Sepanyol, di mana orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam yang berasaskan kepada akidah tauhid.
Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun. Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri.
Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.
Justeru, para remaja dalam berfikir tidak harus berfikir secara ringan dan mudah terhadap Islam. Sebaliknya, pemikiran Islam harus ditunjangi dengan kefahaman ilmu Islami dan tamadunnya.
No comments:
Post a Comment