Like Blog Ini...

Sunday, March 11, 2012

Ikhlaskan ibadah kepada Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: "Penjelasan yang berikut merupakan cerita penjelasan jin dan mungkin firman Allah SWT dari awal lagi yang menerangkan sujud atau tempat sujud iaitu masjid hanya untuk-Nya sahaja."

Di sanalah ditegakkan tauhid yang bersih dan di sanalah lenyapnya bayang (kebesaran dunia). Seluruh suasana dan perhambaan di sana hanya untuk Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah. (al-Jin: 18)

Maksud perkataan masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah ada empat pendapat:

* Iaitu solat kerana Allah seperti pendapat Ibnu Syajarah.

* Segala anggota yang digunakan untuk sujud kerana Allah SWT seperti pendapat al-Rabi'.

* Semua masjid merupakan rumah Allah untuk didirikan solat seperti pendapat Ibnu Abbas.

* Setiap tempat yang dilakukan solat kerana ia untuk sujud. Justeru, dinamakan masjid.

Ibnu Kathir berkata: "Dahulu, jika orang Yahudi dan Nasrani memasuki gereja dan biara mereka, lalu menyekutukan Allah SWT. Lantas Dia memerintahkan nabi-Nya agar mereka mengesakan-Nya."

Sufian meriwayatkan daripada Khusaif daripada Ikrimah: "Ayat berkenaan turun dengan seluruh masjid."

Sa'id bin Jubair mengatakan ayat ini berkenaan dengan anggota sujud, iaitu semuanya milik Allah SWT sehingga tidak boleh menggunakannya untuk bersujud kepada selain-Nya.

Menurut Qatadah, orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan kuil, mereka mempersekutukan Allah SWT dengan sembahan mereka yang lain. Menerusi ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikhlaskan ibadah kepada Allah SWT semata-mata setiap kali kita memasuki masjid.

Al-Hasan berkata: "Masjid-masjid yang dimaksudkan di sini ialah setiap tempat yang menjadi tempat sujud di seluruh bumi, sama ada tempat itu disediakan untuk sujud atau tidak, sebab seluruh bumi adalah masjid bagi umat ini."

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya. (al-Jin: 19)

Al-Hasan dan Qatadah berkata: "Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah agar menyeru manusia kepada Allah SWT (yang bertentangan dengan orang musyrik dalam bentuk peribadatan mereka kepada berhala-berhala), lalu orang kafir pun bekerjasama dan tolong-menolong untuk memusuhi Nabi Muhammad SAW secara berkumpul atau berpuak-puak."

Muqatil berkata: "Sesungguhnya orang kafir Mekah mengatakan kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya kamu telah membawa urusan yang besar dan kamu juga telah memusuhi semua manusia, maka kembalilah kamu daripada yang demikian ini."

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya. Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) suatu kemanfaatan. (al-Jin: 20-21)

Ibnu al-Jauzi berkata: "Orang-orang kafir Mekah berkata kepada Nabi SAW sesungguhnya apa yang kamu bawa adalah amat besar kesannya yang tidak pernah didengar sebelumnya. Justeru, kembalilah kepada asal. Lantas turun ayat ini."

Al-Mawardi dalam menafsirkan tidak memiliki mudarat dengan tiga pendapat;

* Azab yang tiada kenikmatan.

* Kematian yang tiada kehidupan.

* Kesesakan yang tiada petunjuk

Al-Maraghi berkata: "Di sini terdapat ancaman besar kepada mereka dan perintah bertawakal kepada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang mampu memberi balas kebaikan dan keburukan terhadap perbuatan mereka."

Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa Baginda tidak meninggalkan tugas menyampaikan risalah (tabligh) sekalipun mereka bekerjasama untuk memusuhinya.

Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mampu melindungi aku daripada-Nya, jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah SWT menjelaskan perihal orang yang menderhaka Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorang pun dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya. Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya. (al-Jin: 22-24)

Berkenaan dengan sebagai penyampai daripada Allah dan risalah-Nya ada tiga pendapat;

* Aku tidak memiliki kemudaratan dan petunjuk kecuali menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat al-Kalbi.

* Tiada seseorang yang dapat menyelamatkanku daripada Allah jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Inilah pendapat Muqatil.

* Tatkala jin berbai'ah kepada Rasulullah pada malam tersebut yang jumlah mereka melebihi 70,000 dan selesai bai'ah ketika hampir menyingsing fajar. Inilah pendapat Makhul.

Sayid Qutub berkata: "Ini satu amaran dan ancaman terbuka kepada orang-orang yang sampai dakwahnya kepada mereka tetapi menentang dan tidak mengikutinya walaupun diberitahu kepadanya bebanan yang akan ditanggung."

Andainya kaum musyrikin berbangga dengan kekuatan dan bilangan yang ramai dibandingkan dengan kekuatan Nabi SAW dan yang bersama dengan Baginda, maka di akhirat mereka ini akan diseksa dan diazab bagi menjelaskan yang mereka sememangnya sangat lemah dan puak yang telah tewas.

Hamka berkata: "Oleh itu telah dijelaskan oleh Nabi SAW kewajipan dia menghukum bukan mencaci dan memaki hamun. Kewajipan padanya ada dua; Pertama, menyampaikan dan kedua, melaksanakan misi dan visi dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang mulia."

Ia semuanya terdapat dalam risalah yang dibawa olehnya dan sifat tersebut merangkumi sidiq, amanah, tabligh, fatanah. Apabila semuanya diaplikasikan, maka mustahil untuk Baginda menjadi pendusta.

Mereka menganggap orang yang beriman lemah dan menghinanya sehingga mereka melihat pelbagai azab yang diancam kepada mereka. Kemudian akan jelas bagi mereka siapakah sebenarnya orang yang lemah itu? Sama ada orang yang beriman mengesakan Allah SWT atau orang musyrik yang tidak mempunyai penolong dan pelindung?

Kesimpulannya, orang musyrik itu tidak mempunyai penolong. Jumlah mereka lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera-tentera Allah SWT.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengikatkan hubungan hablun mina Allah dan hablun mina an-Nas.

No comments: