SOALAN:
SELAMA ini saya tidak pernah membayar zakat. Jika dihitung, kira-kira 30 tahun saya langsung tidak membayar zakat, sama ada zakat pendapatan atau mana-mana zakat harta.
Hanya zakat fitrah sahajalah yang saya tunaikan. Saya hanya pernah memberikan terus sedekah dan zakat kepada golongan asnaf, kerana merasakan ia lebih memberi kepuasan secara individu.
Justeru, saya berzakat secara terus dengan kiraan saya sendiri dan tidak tetap. Saya yakin apa yang saya keluarkan masih belum setimpal dengan apa yang saya perolehi.
Saya pernah menerima teguran Allah, namun saya masih leka dengan kemewahan yang saya nikmati. Sehinggalah kini, perniagaan yang saya bina sejak tahun 2000 mula merudum.
Saya cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Namun keadaan masih sukar dan terkadang hampir putus asa kerana puas mencari dimana silapnya.
Saya hanya akur bahawa ini mungkin hukuman keatas sikap kealpaan saya selama ini. Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan saya insaf bahawa saya tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya.
Kini keadaan kewangan syarikat berada dalam dilema. Justeru, bagaimana harus saya mula menunaikan tanggung jawab zakat tersebut.
Bagaimana caranya hendak saya mula membayar zakat? Bila dan bagaimana saya hendak mula qada zakat yang tertunggak?
Saya amat berharap ustaz dapat memberi huraian penyelesaian atas kekusutan persoalan saya ini agar saya dapat melaksanakan perintah-Nya sebaik mungkin.
JAWAPAN:
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan pertunjuk-Nya dan membimbing kita menuju kejayaan. Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat.
Hakikatnya, bisikan ini datangnya daripada Allah SWT. Maka pesan saya, kuatkan tekad dan azam. Kemudian teruskan niat untuk mengqada zakat yang telah terabai itu.
Ingatlah, kala ini saya yakin pada diri saudara telah datangnya pelbagai bisikan daripada segenap penjuru agar saudara menimbang-nimbang kembali niat mahu melangsaikan hutang-piutang itu dengan Allah SWT.
Ini kerana, Allah SWT sudah menjelaskan bahawa inilah bisikan daripada iblis dan konco-konconya, firman Allah yang bermaksud: Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 268)
Kini, apa yang paling utama, semoga ada jalan penyelesaian terhadap dilema yang sedang membelenggu saudara.
Dalam hal ini, suka saya sebutkan, memang dalam aspek hukum wujud khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa dek kerana kelalaian seseorang.
Ada yang menyatakan, orang itu masih wajib berzakat dan ada yang menyatakan, sudah terlepas zakatnya kerana hartanya sudah binasa.
Namun saya sendiri menyetujui pandangan bahawa adalah wajib orang berkenaan menggantikannya apabila sudah ada harta kembali.
Inilah yang tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat.
Bahkan, pihak pemerintah Islam sebenarnya berhak mengenakan tindakan takzir kepada pengingkar zakat, termasuklah bagi mereka yang melengah-lengahkannya.
Maka, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang baharu insaf atau tersedar atas kesilapan, adalah seperti berikut:
l Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga.
l Jika dia mampu, maka diqada secara tunai. Jika tidak mampu, qadalah secara berdikit-dikit
l Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kealpaannya
l Menjaga agar tidak teralpa lagi dalam zakatnya pada setiap tahun
Dalam kes saudara, saya dapat membayangkan sedikit-sebanyak kekangan yang ada. Namun, percayalah, ambillah gesaan Allah SWT: Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya). (ali-'Imran: 159)
Harta milik Allah
Ingatlah, harta dan diri kita ini milik Allah SWT. Apabila kita cuba mendekatkan diri kepada Allah, sudah pasti Allah membukakan pintu-pintu keberkatan ke atas kita.
Ingatlah pesan Allah: Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (al-A'raf: 96)
Ingat juga, jika kita merasa bimbang menjadi fakir kerana berzakat, maka Allah boleh menambahkan kebimbangan dalam hati, menambahkan beban atas diri sehingga kita merasa sempit kanan dan kiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya (jangan bakhil dan jangan pemboros, nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal. (al-Israk: 29)
Bahkan nabi turut berpesan, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya. (riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
Akhirnya, mari kita lihat janji Allah ini: Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu (sebagai) penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah (golongan) yang tetap menang (beroleh kejayaan). (al-Maidah: 55-56)
Dan juga firman-Nya: Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang nyata. (Hud: 6).
Kesimpulannya, tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, insya-Allah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Allah SWT Maha Berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya.
Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, insya-Allah. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment