Like Blog Ini...

Thursday, March 22, 2012

Kolaborasi 110 negara di UIAM

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SERING kali kita mempunyai pelbagai persepsi mengenai orang lain! Lebih mempercayai apa yang kita dengar tanpa perlu diusul periksa, menjadikan persepsi itu lebih berbau negatif.

Lalu kita sering menghitamkan yang putih dan yang hitam bertambah hitam.

Ini tentunya menyalahi ajaran Islam yang berkehendakkan seluruh umatnya supaya melihat hikmah di sebalik kejadian mengapa Allah menciptakan manusia di muka bumi ini dengan pelbagai jenis bangsa, suku kaum dan warna kulit.

Firman Allah yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujurat: 13)

"Kerana itu saya minta supaya jangan antara kita ada pelbagai prasangka (buruk) mengenai bangsa kerana masing-masing pasti ada kekurangan dan kelebihan sehinggalah kita saling mengenali. Maka tentulah yang buruk itu sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka," kata warga Nigeria, Afrika Barat, Mashood Ajibola Abdulraheem, 38 tahun.

Mashood merupakan Pelajar Tahun 2 Ijazah Kedoktoran Pengajian Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Kuala Lumpur.

Dia tidak menafikan pelbagai tanggapan buruk diberikan mengenai kehadiran atau lebih tepat kebanjiran warga Afrika yang dikatakan begitu 'menguasai' pemandangan di negara ini.

"Tetapi rata-rata sebenarnya seperti di UIAM Gombak ini sahaja, terdapat lebih daripada 100 pelajar dari Nigeria dan tentulah niat kami semua semata-mata untuk menimba ilmu, tidak lebih daripada itu.

"Begitu juga yang di luar dari UIAM, kebanyakan mereka adalah pelajar yang melanjutkan pelajaran ke negara ini dan mungkin akibat tanpa pengawasan yang cukup, menyebabkan ada yang terjebak dalam jenayah. Namun saya yakin tidak ramai. Di samping tidak semestinya setiap yang kulit hitam dari Afrika itu adalah dari Nigeria!," katanya dalam bahasa Melayu yang agak fasih.

Beliau sendiri sebenarnya pernah mengalami kejadian yang tidak diingini apabila diaju dengan sebilah pisau oleh seorang pemandu teksi tempatan akibat salah faham.

"Tetapi semua itu menjadi asam garam sebagai anak perantau. Lagipun saya sangat beruntung kerana mempunyai keluarga angkat, pasangan suami isteri, Nuruddin dan Norain yang banyak membantu sepanjang saya berada di negara ini. Mereka begitu mengambil berat mengenai saya," katanya yang berasal dari Ilorin ibu negeri Kwara, Nigeria.

Mashood ditemui ketika berlangsungnya Minggu Ummah (Ummatic Week) 2012, program tahunan atau tradisi buat kali ke 15, yang diadakan di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) UIAM, kampus Gombak, baru-baru ini.

Bertemakan, Hand in hand we unite the ummah adalah satu minggu yang penuh dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik terutamanya persembahan kebudayaan, pameran, forum, syarahan, gerai jualan, larian ummah dan sebagainya lagi, yang telah menarik penyertaan pelajar dari 110 buah negara asing yang menuntut di UIAM.

Maka tentu sahaja ia merupakan satu acara yang penuh dengan warna-warni bersulamkan alunan muzik dan lagu pelbagai rentak dan bunyi dan yang paling menarik tentulah, berhimpunnya pelbagai keunikan dan perbezaan budaya daripada pelbagai bangsa termasuk menerusi busana-busana tradisi yang bangga dipakai oleh setiap mereka.

Sementara bagi pelajar Kejuruteraan yang berasal dari negara terbesar di benua Afrika, Algeria, Abdeslam Belhadj, 21 tahun memilih Malaysia untuk menyambung pengajian tinggi.

"Atas dasar saya ingin mengenali dan menjadi salah seorang warga satu perhimpunan terbesar pelbagai bangsa maka saya memilih Malaysia bagi meluaskan lagi minda dan pengalaman, mengeratkan lagi ukhuwah dan bersatu atas nama satu ummah, umat Islam," katanya.

Beliau sebenarnya sebelum ini bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke negara Arab, terutamanya Arab Saudi namun tentunya suasana di sana tidak seperti di UIAM yang baginya lebih memenuhi cita rasa apabila terdapat pelbagai bangsa di dunia ini boleh ditemui.

"Tidak dinafikan Arab Saudi juga mengandungi pelbagai bangsa, apa sahaja bangsa boleh dilihat di sana tetapi terhad dalam soal ibadat dan dunia perniagaan tetapi dalam konteks pendidikan pengajian tinggi, saya rasa UIAM adalah yang terbaik," katanya.

Tentulah beliau sendiri berusaha untuk mempromosikan Algeria ke mata dunia walaupun skopnya adalah di UIAM Gombak sahaja.

Sama ada dengan pengenalan yang cukup mudah, bekas pemain bola sepak antarabangsa, Zinadine Zidane yang berasal dari Algeria namun Abdeslam lebih suka untuk menceritakan mengenai sejarah perjuangan rakyat negaranya yang sanggup berkorban sehingga menelan lebih dari sejuta nyawa semata-mata untuk membebaskan mereka daripada cengkaman penjajahan Perancis.

"Bila saya bercerita begitu, saya berharap siapa yang mendengar akan mengambil pengajaran supaya kita bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kemerdekaan negara dari sebarang pencerobohan asing.

"Terlalu perit dan mahal, harga yang perlu dibayar bagi mendapatkan kemerdekaan dan saya harap kita semua akan mengambil pengajaran," katanya yang bercita-cita untuk mencipta nama dalam dunia kejuruteraan bagi menurut jejak langkah Zinadine Zidane yang mengangkat nama Algeria ke mata dunia.

Bagi anak gadis berasal dari Istanbul, Turki, Sumeyye Hacer Uzun, 21 tahun, dia ingin melanjutkan pelajaran tinggi dalam suasana yang kondusif atau lebih tepat beliau bebas untuk memakai tudung berbanding di negara asalnya sendiri.

Walaupun sudah ada kelonggaran bagi membolehkan pelajar-pelajar perempuan di Turki untuk menutup aurat, sekali gus bertudung tetapi Sumeyye bimbang kelonggaran tersebut akan bersifat sementara.

"Saya tidak mahu belajar dalam keadaan tertekan akibat peraturan-peraturan yang tidak tetap seperti itu, jadi saya memilih Malaysia dan tentunya di sini tidak ada sesiapa yang boleh menghalang saya daripada menutup aurat," katanya.

Di UIAM Gombak, Sumeyye sangat gembira melalui hari-hari pelajarnya walaupun komuniti berbangsa Turki tidak ramai di universiti ini, iaitu seramai 35 orang sahaja.

"Begitupun saya berpeluang berkenalan dengan ramai bangsa lain dan yang lebih mengujakan atas nama Islam tetapi ia menyatukan kami dan rasanya tidak ada apa yang membezakan, apatah lagi soal darjat mahupun berbeza bahasa tetapi UIAM benar-benar satu universiti antarabangsa yang menyatukan semua perbezaan tersebut," katanya.

Terkadang Sumeyye merungut kerana di negara ini beliau kesejukan kerana hujan lebat.

"Ini kerana tidak boleh lawan keindahan suasana di Turki lebih-lebih lagi apabila Istanbul mula diliputi salji putih tebal di sana-sini," ujarnya sambil tersenyum.

Minggu Ummah dirasmikan oleh Rektor UIAM, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin mendapat sokongan dan tajaan daripada kedutaan negara para pelajar antarabangsa.

Ia turut bermatlamat menjadi jambatan utama yang menghubungkan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

Para pelajar tempatan akan lebih terbuka pandangan dan minda mereka apabila didedahkan dengan pelbagai segmen menarik sepanjang minggu ini berlangsung.

Sama ada merasakan sendiri keenakan aiskrim Turki sehinggalah terpukau dengan persembahan seni dan kebudayaan dari pelbagai negara, semua ini menyedarkan pelajar tempatan bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti antarabangsa dan perlu bersatu demi matlamat dan tujuan cita-cita yang satu, iaitu demi agama.

Diharapkan acara yang menjadi tradisi di UIAM ini akan dibuka kepada warga luar kampus, agar dari satu detik berkenalan dengan bangsa asing namun ia umpama pintu gerbang yang membuka kepada cintakan perpaduan dan kesatuan ummah. Islam yang berpecah bukan menjadi ajaran agama tersebut!

No comments: