Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI
TELAH menjadi kewajipan sebagai warga Malaysia untuk memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara ini. Di sinilah kita lahir, berlindung dan tempat kita gembleng tenaga mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.
Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya dalam surah Saba' ayat 15 yang bermaksud: Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.
Biarpun ayat di atas ditujukan khusus berkaitan kisah Ratu Balqis dan kaum Saba' di negeri Yaman di mana mereka mencapai tahap ketamadunan hidup yang tinggi, tetapi Allah SWT menurunkan ujian ke atas mereka.
Segala nikmat tadi dirampas dengan mendatangkan bencana banjir besar sehingga menenggelamkan harta benda, rumah, kampung halaman dan mengorbankan banyak nyawa. Ini kerana keengganan mereka untuk mentaati Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku." (riwayat al- Bukhari)
Sesungguhnya kemakmuran sesebuah negara berkait rapat dengan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara dan pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi.
Pemerintah yang bertanggungjawab dan adil sangat diperlukan bagi memimpin rakyat.
Rakyat tiada kuasa untuk ingkar atau keluar daripada garisan taat setia kepada mereka.
Jika terdapat segelintir yang menentang, maka mereka harus didisiplinkan menurut prinsip Islam.
Begitu juga halnya dengan pemimpin, selagi mereka berpegang dengan tali Allah, rakyat wajib menunjukkan taat setia dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka.
Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi menyatakan: "Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya."
Orang yang terkeluar dari sempadan taat akan tersingkir daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminan-Nya.
Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi.
Justeru, marilah kita memikul tanggungjawab mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia antara yang dipimpin dengan pemimpin.
Islam sentiasa menuntut umatnya agar bersifat kasih kepada pemimpin dan negara kerana ia sebahagian daripada cabang keimanan.
Rasulullah SAW mendidik umatnya supaya sentiasa bercakap benar, tidak menyeleweng daripada kebenaran dan fakta, berlaku adil dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji seperti amanah serta tidak mengenepikan tanggungjawab dan fitrah kehidupan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (an-Nisa': 58)
Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang.
Marilah kita sama-sama menyusuri sirah Rasulullah SAW. Baginda terkenal sebagai seorang negarawan yang sangat sayang dan setia kepada tanah airnya. Sudah pasti perbuatan ini adalah satu sunnah.
Rasulullah SAW sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasihnya sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabda: "Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Mekah atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cintailah keamanan yang wujud di negara ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Kesetiaan rakyat kepada pemerintah merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam.
Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat.
Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai serta menjadi payung mahupun pelindung kepada Islam dan umatnya.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
l PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam lepasan UKM dan kini bertugas di SK Sultan Ibrahim (4) Pasir Mas, Kelantan.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130910/ba_03/Cintakan-negara-obor-keimanan#ixzz2f4ZBKe1j
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment