Penolakan terhadap hadis
SOALAN: Adakah selain al-Quran itu boleh dijadikan hujah (dalil) dan adakah hadis itu wahyu Allah? Kawan saya memberitahu, apa yang didapati dari al- Quran itulah yang boleh diterima kerana ianya yang terpelihara dan benar?
– Abd Rahman Yunus, Putrajaya.
JAWAPAN: Memang benar selain al-Quran, hadis Rasulullah SAW semuanya adalah hujah dan boleh diterima. Ini dijelaskan dalam al-Quran yang mana Baginda tidak bercakap sesuka hati melainkan melalui wahyu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah dia bercakap selain wahyu yang diwahyukan kepadanya” (Surah al-Najm ayat 3-4).
Begitu juga segala perbuatannya juga melalui wahyu. Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Aku tidak ikuti selain apa yang diwahyukan kepadaku sahaja” (Surah Yunus ayat 15).
Malah al-Quran pernah menegaskan dengan jelas dalam ayat yang bermaksud: “Apa yang dibawa oleh Rasulullah itu maka ambillah dan apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah (Surah al-Haysr ayat 7).
Jadi penolakan terhadap hadis itu hanya boleh diterima sekiranya melalui jalannya (riwayat) sahaja, kerana hadis yang mutawatir lagi sahih itu tidak harus ditolak dan boleh menjejaskan iman seseorang. Ini kerana hadis sahih selaras dengan al-Quran. Sebab itu menjadi kewajipan kita untuk beramal dan menerima hadis, kadang kala disebut pada istilah Quran tibyanan (penjelasan) kadang kala disebut pandangan yang diperlihatkan. Tidak syak lagi, sunah adalah asas agama yang kedua selepas al-Quran.
Justeru inilah kata ulama, setiap hadis yang bertentangan dengan al-Quran akan gugur dengan sendirinya seperti hadis yang dikatakan ada pada kitab sahih dan lainnya.
Sebagai contoh hadis daripada Abu Hurairah ra. Katanya: Rasulullah SAW menarik tanganku dan menceritakan bahawa Allah ‘azza wa jalla menjadikan bumi ini pada hari Sabtu dan menciptakan Adam a‘aihi ssalam pada hari Jumaat selepas Asar. Sekalipun hadis tersebut dalam sahih Muslim tetapi ditinggalkan para perawi dan huffaznya, kerana ianya menyalahi apa yang jelas dari al-Quran yang menyatakan Allah menjadikan semua itu (langit bumi dan barang antara keduanya) dalam tempoh enam hari bukan tujuh hari seperti yang di ceritakan. Mereka berkata: Hadis itu diambil Abu Hurairah dari K’aabul Ahbar dan tak mungkin dari perkataan Rasulullah SAW. Besar kemungkinan ianya termasuk cerita israiliyat. Wallahualam.
Qada sembahyang sunat
SOALAN: Solat sunat duha dan solat sunat fajar amat dituntut sehingga ada seketika nabi menuntut sahabat yang meninggalkannya supaya mengqada solat itu. Apakah kelebihan kedua-dua solat sunat ini?
– Yusof Ibrahim, Gua Musang, Kelantan.
JAWAPAN: Ini membuktikan bahawa solat tersebut dan sunat lainnya mempunyai kelebihan tertentu. Ini kerana solat fardu itu dapat disempurnakan dengan ibadat yang sunat dari jenisnya. Sebab itu dalam satu hadis qudsi, Allah berfirman bermaksud “Sentiasa hambaku mendampingi diri (bertaqarrub) kepada-Ku dengan melakukan ibadat nawafil (yang sunat), untuk menambah ibadatnya kepada Allah, kerana ibadat yang wajib itu sudah ditetapkan dan tidak boleh ditokok tambah lagi tetapi ibadat sunat itulah yang boleh ditambah mengikut kemampuan hamba tadi, melainkan terdapat larangan tertentu dari syariat itu sendiri,’’. Dan bila amalan sunat sudah menjadi wirid dan amalan harian, maka eloklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal dan kurang di mana-mana digalakkan seseorang itu menyempurnakan bilangannya dan sebagainya. Peristiwa ini pernah berlaku kepada Abdullah bin Amrul.as ra. yang tidak berterusan berjaga malam, lalu sabdanya alangkah baiknya kiranya Abdullah dapat melakukan solat malamnya secara berterusan semoga Allah membantu kita semua untuk bertaqarrub kepada-Nya dengan beribadat (sunat) pada malam hari dan siangnya. Wallahualam.
Wanita kurang agama?
SOALAN: Saya sering mendengar hadis yang menyebut wanita adalah makhluk yang kurang akal dan agama, sehingga dijadikan asas lelaki mencemuh wanita. Boleh tuan jelaskan maksud hadis ini?
– Mat Top Deraman, Ulu Kinta,Perak.
JAWAPAN: Maksud sebenar hadis tersebut, adalah secara umum dan ghalib. Hakikat ini tidaklah menolak kesempurnaan wanita dalam satu-satu hal tertentu. Contohnya para wanita yang terkenal sempurna dan tinggi ilmu dan akalnya (seperti para isteri Rasulullah dan lain-lain) dan ada juga wanita yang bijak dan berkuasa (seperti Balqis dan lain-lain) lebih-lebih lagi akhir-akhir ini. Sebab itu Allah berfirman bermaksud: Allah SWT tidak mensia-siakan pahala amalan (dari lelaki dan wanita) yang melakukan amalan yang baik (Al-Kafi - 30).
Di samping firman-Nya yang lain bermaksud “Kaum lelaki itu berkuasa (sebagai pelindung) untuk kaum wanita oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki ) membelanjakan sebahagian dari harta mereka” (Maksud surah An-Nisaa ayat 34).
Begitu juga jika dilihat dalam persoalan penyaksian, yang mana seorang lelaki sama dengan dua wanita dalam isu tersebut (penyaksian) dan dalam soal ibadat juga mereka (wanita) dikira ketinggalan dari kaum lelaki kerana kejadiannya sendiri yang ditentukan Allah. Sebagaimana yang diketahui, para nabi dan Rasul terdiri daripada lelaki sahaja. Suatu hakikat yang diakui bahawa Nabi kita (lelaki) adalah makhluk yang paling mulia dan agung tanpa tandingan.Wallahualam
No comments:
Post a Comment