Like Blog Ini...

Sunday, November 2, 2008

panggilan haji tiba lagi

PANGGILAN haji tiba lagi! Kota suci Mekah mula menerima tetamu dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadat haji, rukun ke lima, Rukun Islam. Sejak beberapa hari lalu, Terminal Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah mula sibuk dengan penerbangan masuk pesawat yang membawa jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.

Selain menggunakan laluan udara, mereka juga datang menggunakan jalan darat dan laut seperti yang jelas digambarkan dalam al-Quran.

Firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 27 yang bermaksud: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. 

Bagi jemaah haji Malaysia, pengangkutan melalui laut yang mengambil masa berbulan untuk ke kota suci sudah lama ditinggalkan dan laluan udara menjadi pilihan. Penerbangan pertama dari Malaysia berlepas pada 30 Oktober lalu dan tahun ini, seramai 27,000 jemaah negara kita bertuah untuk menunaikan haji melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Mereka bertuah kerana terpilih antara puluhan ribu lagi yang terpaksa menunggu giliran menunaikan ibadah yang diwajibkan sekali seumur hidup itu bagi yang berkemampuan.

Biar dalam apa keadaan sekalipun, setiap orang Islam perlu mempunyai keazaman untuk menjejakkan kaki mereka ke tanah suci itu bagi menunaikan haji tetapi kuota yang terhad antara masalah yang menghalang mereka berbuat demikian.

Negara-negara atau wilayah yang sedang bergolak juga tidak ketinggalan menghantar jemaah haji termasuk dari Iraq, Afghanistan, wilayah Kashmir di India dan sebagainya.

Selain Jeddah, sesetengah pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdul Aziz di Madinah.

Antara yang terawal tiba di Jeddah ialah jemaah dari Pakistan, Maldives dan India termasuk dari Jammu Kashmir.

Di sesetengah negara, bakal jemaah terpaksa berhadapan dengan kos tambang yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak. Ada di antara bakal jemaah terpaksa membuat bayaran tambahan malahan sesetengah daripada mereka tidak ada pilihan terpaksa membatalkan hasrat tersebut. Tetapi di Malaysia, bakal jemaah haji juga bertuah kerana tidak mengalami kesan kenaikan kos yang ketara berikutan kesediaan TH menyerap kos kenaikan itu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, TH memperuntukkan lebih RM100 juta daripada keuntungan yang diraih tahun lepas untuk menanggung kos kenaikan tambang, penginapan dan makanan yang tidak dapat dielakkan.

"Kenaikan tambang serta kos penginapan semuanya ditanggung Tabung Haji tahun ini. Setiap jemaah diberikan perbelanjaan tambahan sebanyak RM2,600 untuk tahun ini sahaja," katanya baru-baru ini.

Kos

Kos yang terpaksa ditanggung oleh kebanyakan jemaah kali ini juga disebabkan kekurangan bilik penginapan yang berdekatan dengan Masjidil Haram disebabkan kerja-kerja pembesaran kawasan masjid.

Kos penyewaan juga meningkat setiap tahun iaitu tidak kurang 10 peratus dan sejak kebelakangan ini meningkat 200 peratus setahun. Keadaan ini juga mendorong TH mahu membina hotel sendiri bagi mengurangkan kos penyewaan. 

Maka tidak hairanlan pada kali ini, ada jemaah dari negara-negara tertentu yang biasanya dapat tinggal berhampiran Masjidil Haram terpaksa tinggal lebih jauh. Namun pihak berkuasa Arab Saudi telah mengambil langkah-langkah menyediakan lebih banyak kenderaan bagi memudahkan perjalanan jemaah.

Biar apa pun halangan dan cabaran, setiap jemaah haji perlu bersedia menghadapinya. Inilah cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi bagi menyahut panggilan Baitullah!

No comments: