Like Blog Ini...

Friday, November 21, 2008

Mencari haji mabrur

SOALAN:
BAGAIMANA cara yang terbaik untuk mendapatkan haji yang mabrur? Selain menjadi rukun dan syarat secara betul apa lagi perlu diberi perhatian untuk mendapatkan haji yang mabrur? 

Kebanyakan ulama ada membincangkan perkara ini, namun di antara karya yang boleh dirujuk dan banyak membantu ialah karya Imam al-Ghazali. Mencari haji yang mabrur melalui tertib kesopanan dan amalan-amalan kebatinan yang dinukilkan oleh Imam alGhazali r.a. adalah suatu yang cukup membatu dan menarik.

JAWAPAN:

Tatatertib kesopanan yang khas dalam ibadat haji ada tujuh perkara:

lHendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah SWT sahaja dan kerana membesarkan syiarnya. Orang yang membuat haji untuk orang lain maka hendaklah dia berniat untuk dirinya menziarahi bait al-Haram dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan fardu haji yang wajib ke atasnya. Bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual amalan akhirat. Bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk mencapai tujuan agama, iaitu dapat berhaji dan berziarah sekali gus.

lMeluaskan persediaan dalam makan minum dan murah hati dalam budi dan membelanjakan harta dengan bersedekah, tidak terlalu lokek ataupun terlalu boros. Tetapi bersederhana sahaja menurut cara orang yang yang merancang perbelanjaannya. Membelanjakan wang dalam makan minum kerana tujuan haji adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah Azza Wa Jalla, tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibn Umar pernah berkata: " tanda-tanda orang bermurah hati ialah memewahkan makan minum dalam perjalanannya.”

lMeninggalkan rafas, fusuq dan jidal, iaitu dengan nas al-Quran al-Karim, firman Allah yang bermaksud: “ (Masa untuk mengerjakan ibadah ) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya ( dengan niat mengerjakan ) ibadah haji itu pada bulan-bulan yang tersebut, maka tidak boleh mencampuri isteri (bersetubuh) dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar ketika melakukan ibadah haji…” (al-Baqarah: 197 ). Rafas ialah: mencampuri isterinya (jimak), serta perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan syahwat. Fusuq ialah: perbuatan keji atau maksiat, melakukan sesuatu yang membuat seseorang terkeluar daripada mentaati Allah SWT. Jidal ialah bertengkar dan berbantah-bantah, atau suatu perselisihan yang boleh membawa kepada hasad dan benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang luhur. Janganlah dia terlalu membangkang sangat teman-teman seperjalanan ataupun tukang-tukang kenderaan dan sahabat yang lain. Bahkan sebaik-baiknya ialah dia berlemah lembut kepada mereka dan bersifat rendah diri kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu. Hendaklah berbudi pekerti tinggi, dan berbudi pekerti yang tinggi bukanlah hanya dengan menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain sahaja, bahkan sanggup bersabar dan menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti dirinya.

lHendaklah orang yang menunaikan ibadat haji ini meninggalkan pakaian orang yang boros dan takbur, jangan sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan menunjuk-nunjuk diri, nescaya ia akan terkira dalam golongan orang takbur, dan terkeluar pula daripada kumpulan orang yang soleh. Ini kerana suasa dan lautan manusia serta debu akan menjadikan serba sedikit kelihatan tidak bersih. Tidak bersih tidak bermakna bernajis. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf Baytullah yang tua sejarahnya itu.” ( al-Hajj: 29) Ibn kathir dalam tafsirnya menukilkan pandangan Ali bin Abi Talhah dan Ibn Abbas, kedua mereka menjelaskan: " ayat ini bermaksud menanggalkan pakaian ihram, mencukur rambut, memakai pakaian biasa dan memotong kuku.” Pandangan yang sama diriwayatkan oleh Atha’ dan Mujahid.( Ibn kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Faiha’, Dimasyq, 1414H-1994M, jld:3, hlm:293)

lHendaklah dia menaruh belas ihsan terhadap binatang, dan jangan membebankan nya dengan barang yang terlalu berat sehingga tidak tertahan dia menanggung, dan jangan juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah dia turun sekali sekala dari belakangnya untuk menunjukkan timbang rasa terhadap binatang itu.

lHendaklah dia mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat korban, meskipun tidak wajib atasnya. Manakala ketika berkorban hendaklah mencari sembelihan yang gemuk dan berharga. Kerana berkorban ini bermaksud menyucikan lagi jiwa seseorang sebagai tanda taqarrub dan takwa seseorang itu kepada Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “daging dan darah binatang korban atau hadiah itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu…” ( al-Hajj:37 ).

lHendaklah segala yang dibelanjakan itu dari jiwa yang suci murni, sama ada merupakan perbelanjaan mahupun korban, dan dia reda dengan segala kerugian dan kecelakaan pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kerugian yang diterimanya dan dan kesusahan yang dialaminya pasti akan mendapat pahala, ini kerana tiada sesuatu apa pun yang hilang di sisi Allah SWT.

Begitulah tujuh perkara yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali dalam karyanya yang berjudul Mau‘izatul Mukminin Min Ihya’ Ulumuddin. Semua ketujuh-tujuh yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali ialah suatu yang realistik dan futuristik. Pada realiti semasanya dan akan datang perkara-perkara ini akan berulang. Maka adalah diharapkan agar nasihat ini dapat dijadikan panduan dalam mendamba haji yang mabrur.

No comments: