SOALAN: Madu saya selalu berusaha untuk memisahkan kami dan sering menghalang suami menemui saya. Pernah dia keluar rumah, meninggalkan anak-anak, tidak diketahui ke mana pergi menyebabkan suami saya cuti beberapa hari kerana menjaga anak-anak yang masih kecil.
Suami saya begitu sabar atas kelakuan madu saya tetapi madu saya mengambil kesempatan. Saya begitu terseksa, tetapi tidak mahu berpisah dengannya, memikirkan anak dan kandungan saya, lagipun umur saya sudah lebih 30 tahun. Saya tidak reda terhadap tingkah-laku suami yang saya anggap terlalu mengalah dan terlalu memberi muka kepada madu saya.
– Isteri Kedua, BM
Jawapan: Apabila seseorang perempuan itu telah menjadi isteri kepada seorang lelaki, tidak kira dimadu atau tidak, dia mesti berusaha untuk mentaati Allah, taat kepada suami, berusaha memperoleh keredaannya seberapa boleh, kerana suami adalah syurga baginya dan dalam masa yang sama suami juga boleh menjadi neraka baginya: Rasulullah ada bersabda yang bermaksud mana-mana perempuan (isteri) mati, pada hal suaminya meredainya, dia akan masuk syurga.
Dalam hadis lain dijelaskan apabila seorang perempuan itu menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan dan mentaati suami, maka dia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu syurga menurut kehendaknya.
Mengenai ketaatan isteri yang wajib dilakukan terhadap suaminya, Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Burung-burung di udara dan ikan paus dalam air, juga malaikat di langit, matahari juga bulan memohon keampunan bagi perempuan yang taat setia kepada suaminya, selagi isteri tadi dalam keredaan suaminya.
Mana-mana perempuan yang mengingkari suaminya, maka ke atasnya laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya, manakala perempuan yang kelihatan masam muka pada pandangan suaminya, maka dia, adalah dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia menggembirakan dan memohon keredaannya. Begitu juga perempuan yang keluar dari rumah tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya sehingga dia balik.
Tanggungjawab dan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh isteri terhadap suami adalah jelas di mana ketaatan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah, begitu juga dengan apa yang mesti dilakukan oleh suami. Andainya seorang isteri itu diperintahkan agar mentaati suami dan mencari keredaannya, suami juga diperintahkan agar belas dan bertimbang rasa kepada isteri, berlemah lembut juga bersabar terhadap perilaku isteri. Dalam masa yang sama suami wajib menyempurnakan atau menunaikan hak isteri seperti memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, perbelanjaan anak-anak dan sebagainya seperti dijelaskan dalam firman Allah dalam surah an-Nisa: 19.
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa baginda Rasulullah menjelaskan; Sebaik-baik kamu (suami) ialah mereka yang berbuat baik kepada keluarganya. - Hadis riwayat Ibn Majah.
Menurut satu riwayat oleh at-Turmuzi, seperti yang tersebut dalam kitab al-Iman, baginda ada bersabda yang bermaksud sebaik-baik kamu, ialah orang yang lebih berlemah lembut terhadap keluarganya. Rasulullah sangat berlemah lembut terhadap isteri-isteri baginda.
Perbuatan isteri menghalang suami berjumpa madunya adalah salah, di luar ketaatan Allah dan Rasulnya. Seorang perempuan apabila telah menjadi isteri bagi seorang lelaki, tidak kira sama ada dia isteri pertama atau kedua, mempunyai hak yang sama. Dia berhak menerima nafkah diri, pakaian, tempat tinggal, giliran dan sebagainya. Ini ketentuan Allah yang wajib dilaksanakan suami.
Memberi giliran isteri adalah tanggungjawab suami. Tidak ada alasan yang boleh mengecuali atau mengabaikan, kecuali dalam keadaan tertentu, ataupun dengan keredaan isteri yang sepatutnya menerima hak tadi. Itulah di antara sifat adil, yang mesti dimiliki oleh lelaki yang kahwin madu. Ketentuan ini adalah ketentuan Allah, manakala tanggungjawab tadi terletak di pundak suami.
Apabila seorang isteri menghalang suami untuk memberi giliran kepada isteri lain, dengan cara keluar rumah meninggalkan anak-anak dan mencabut road-tax kereta, ini bererti si isteri menghalang suami melaksanakan tanggungjawabnya. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa si isteri tidak taatkan perintah yang ditetapkan Allah SWT.
Dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda Rasulullah telah diperlihatkan keadaan neraka dan mendapati kebanyakan penghuninya adalah wanita. Rasulullah menyatakan hal demikian berlaku kerana mereka sedikit ketaatannya kepada Allah, rasulnya, juga kepada suami di samping banyak berhias, yang disebut sebagai at-tabarruj di mana apabila keluar rumah, mereka berpakaian paling cantik, berhias dan memperelok diri, lalu keluar, menyebabkan timbul fitnah akibat perbuatannya. Biarpun dia sendiri mungkin selamat atau terpelihara daripada fitnah, tetapi orang lain tidak selamat.
Perbuatan isteri keluar rumah tanpa izin dan kerelaan suami dengan meninggalkan anak-anak bertujuan supaya suami tidak boleh keluar rumah kerana terpaksa menjaga anak-anak dan dalam masa yang sama tidak boleh ke rumah madunya juga merupakan perbuatan mengingkari perintah Allah dan ketaatan terhadap suami, apatah lagi ia dilakukan dengan sengaja untuk menghalang suami melaksanakan kewajipannya.
Baginda ada menyatakan empat golongan wanita yang akan masuk syurga dan empat yang lain dalam neraka. Empat golongan yang masuk syurga ialah perempuan yang menjauhkan diri daripada perbuatan haram, taatkan Allah dan suaminya, banyak anak tetap sabar, memadai dengan hidup sederhana bersama suami dan ada rasa malu.
Ketika suaminya tiada, dia memelihara kehormatan diri dan hartanya dengan penuh kesabaran dan ketika suaminya ada dia menjaga lidahnya. Perempuan kematian suaminya pada hal dia mempunyai anak kecil, lalu dia menyediakan diri berbakti untuk anak-anak, memeliharanya, tidak berkahwin lagi takut kehilangan mereka.
Adapun empat golongan perempuan yang akan menjadi penghuni neraka ialah, pertama, mereka yang lancang atau jahat lidahnya terhadap suami. Tidak memelihara diri ketika suaminya tiada, tetapi ketika suaminya ada, dia menyakitinya dengan lidahnya.
Kedua ialah perempuan yang membebankan suaminya dengan beban yang tidak upaya dilakukan oleh suami. Ketiga ialah perempuan yang tidak menutup auratnya daripada lelaki dan keluar rumah dalam keadaan berhias, manakala golongan keempat ialah perempuan yang tidak mengambil berat, kecuali makan, minum dan tidur, tidak minat sembahyang, juga tidak taatkan Allah, rasulnya juga tidak taatkan suami. Wanita seperti ini, andainya keluar dari rumah tanpa izin suami, mereka adalah dalam keadaan tercela, dan akan menjadi penghuni neraka kecuali ia bertaubat.
Lemah lembut
Puan mengakui bahawa suami seorang yang baik, lemah lembut dan bertimbang rasa, biarpun puan berkahwin dengannya tanpa pengetahuan yang dia beristeri dan punyai tiga anak.
Berkemungkinan apa yang berlaku ke atas puan termasuk tidak mendapat giliran berpunca daripada angkara madu puan, bukan atas kerelaan yang disengajakan oleh suami. Masalah yang timbul lebih memihak, berpunca daripada madu puan. Walaupun tanggungjawab untuk melakukan giliran dengan adil adalah daripada suami. Kerana itu, masalah yang timbul tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas suami, apatah lagi memandangkan tindak-tanduk madu puan yang berusaha terus menerus untuk memisahkan perkahwinan puan.
Masalah yang dihadapi puan bukan sesuatu yang nadir bagi mereka yang berpoligami. Keadaan seperti ini memerlukan banyak masa untuk mengatasinya, bergantung kepada sikap dan cara berfikir isteri yang sedia ada, namun yang memainkan peranan sebenar tetap suami, kerana dia adalah ketua rumah tangga yang sepatutnya bijaksana mengatasi atau menyelesaikan masalah. Mungkin itulah salah satu harga yang mesti dibayar oleh mereka yang berkahwin lebih daripada seorang isteri.
Puan tidak salah kerana tidak reda kelakuan suami, kerana itu hak puan yang wajib dilaksanakan olehnya, namun, berdasarkan sikap madu puan, puan perlu bersabar.
Seorang telah datang untuk menemui Saidina Umar r.a kerana hendak mengadu tentang tingkah-laku isterinya, lalu dia berdiri di hadapan pintu rumah beliau, menunggunya keluar. Ketika itu dia mendengar isteri Umar sedang meleter bercakap panjang. Pada hal Umar diam sahaja, tidak melawan cakap, lalu lelaki tadi beredar. Dia terfikir, “kalaulah begini keadaan Umar, seorang lelaki yang tegas dan keras dan seorang amirul ‘l-Mukminin, bagaimana pula hal aku?”
Umar keluar dan melihat lelaki tadi sedang membelakangkan pintu rumahnya beredar pergi, lalu ia memanggilnya, bertanyakan apa hajatnya. Lelaki itu menjawab, “ya amiru ‘l-mukminin, saya datang hendak mengadu tingkah-laku isteri saya dan menunggu tuan. Saya mendengar kata-kata isteri tuan, lalu saya hendak beredar pergi. Kalaulah keadaan seperti ini berlaku kepada tuan, kenapa pula saya tidak boleh bersabar!”
Umar menjawab, “saudara! sesungguhnya saya telah membebankan ke atasnya tanggungjawab saya. Dia memasak makanan untuk saya, membuat roti, membasuh pakaian, menyusu anak untuk saya, pada hal semuanya itu bukan sesuatu yang wajib dilakukan olehnya. Kerananya hati saya tenang, selamat daripada benda haram. Sepatutnya tugas itu saya lakukan!”
Mendengarkan kata-kata itu, lelaki itu berkata “ya amirul Mukminin, isteri saya pun sama macam itu,” Sayyidina Umar berkata: “Bersabarlah. Ia tak lama!”
Hidup berumahtangga, lebih-lebih lagi bagi yang beristeri lebih dari satu selalunya menghadapi pelbagai masalah. Allah menjadikan cemburu itu sifat semula jadi manusia, lebih-lebih lagi wanita. Rasa cemburu sering menyebabkan manusia seumpama membelakangkan hukum-hukum Allah, lebih- lebih lagi mereka yang kurang memahaminya.
Kemungkinan apa yang berlaku adalah cubaan Allah. Apabila Allah menurunkan cubaan, Allah memberi kekuatan iman kepada puan, iaitu sabar, lalu akhirnya Allah meletakkan puan pada maqam yang tinggi di akhirat kelak.
Puan sering merintih, menangis, merayu dan mendayu pada Ilahi. Sesungguhnya, malaikat Jabril itu ditugaskan untuk menunaikan hajat manusia. Apabila seorang kafir itu meminta, Allah memerintahkan Jibril menunaikan permintaannya, kerana Allah tidak mahu mendengar keluhan dan kemahuannya, Dan apabila seorang yang beriman itu memohon, merintih, Allah memerintahkan malaikat Jibril menahan daripada menunaikan permintaannya, kerana Allah terlalu rindu mendengar suaranya.
Besar kemungkinan bahawa rintihan, doa dan tadaruk puan itu suara-suara yang Allah rindu mendengarnya dan Allah akan mengatasi masalah puan akhirnya seperti termaktub di loh mahfuz. Allah yang memberi cubaan, penyakit dan sebagainya dan hanya Allah jua yang mengatasinya.
No comments:
Post a Comment