Berjimak ketika haid
SOALAN: Apakah berdosa apabila saya menolak kehendak suami yang mengajak bersamanya (berjimak) sedangkan selepas itu didapati haid saya masih belum betul-betul kering?
– Nurshuhada Samsi, Alor Gajah, Melaka.
JAWAPAN: Tidak halal bagi seseorang itu melakukan persetubuhan selepas kedatangan haid melainkan sesudah dia bersuci dan mandi hadas, dan selepas mandi hadas (dan bersuci) itu, barulah larangan tersebut terangkat kembali. Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Maka jangan kamu hampiri mereka sehingga mereka bersuci (mandi hadas) dan bila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka sebagaimana yang disuruh Allah. Allah suka orang yang bertaubat dan bersuci, wanita (isteri) kamu itu ladang kamu maka datangilah ladang (kebun) kamu itu sekehendak (hati) kamu. (Surah al-Baqarah ayat 222-223).
Tetapi sekiranya terlanjur juga semasa dalam pantang tersebut kerana sesuatu kesilapan seperti hitungan dan perkiraan yang salah maka kata ulama digalakkan melakukan sedekah satu dinar atau satu cupak (makanan) kepada fakir miskin untuk satu kesalahan yang telah berlaku sebagai kafarahnya. Demikianlah pendapat kebanyakan ulama. Wallahualam.
Tersangka waktu habis
SOALAN: Saya solat qada dengan niat hendak mengqada solat yang disangka terkeluar waktunya kerana hari itu mendung dan gelap. Tetapi apabila selesai solat, ternyata waktunya masih ada. Apakah solat saya itu dikira sah atau sebaliknya?
– Abdul Kalam Hasbullah, Kuala Trengganu.
JAWAPAN: Kata ulama, solat anda tersebut dikira sah dan tidak perlu diulangi lagi, kerana niat anda yang tersilap itu tidak dikira. Kata mereka lagi tambahan pula lafaz tunai (adaan) dan qada tersebut kedua-duanya bermaksud menunaikan kewajipan solat itu sahaja, satu dalam waktu dan satu lagi menunaikan yang sudah luput waktunya. Jadi keadaan sebenar waktunya belum luput, sebab itu solat tersebut boleh dikira sudah selesai dan tertunai.
Pendapat ini adalah mendapat kesepakatan ulama tanpa bantahan. Demikian juga sebaliknya kata Imam Syafie ra, beliau pernah mengatakan: “Sekiranya seorang itu solat pada hari mendung dengan niat adaan (tunai kerana sangkaannya masih dalam waktunya tetapi ternyata solatnya itu jatuh di luar waktunya) dikira memadai solat tersebut dan tidak perlu diulangi lagi.”
Para ulama berhujah kerana niat qada itu bukan syarat bagi sah solat. Demikian kata Ashab dalam masalah ini. Malahan kata Imam Rafie ra. menurut yang lebih asah (kaul lebih kuat) niat qada dan adaan itu keduanya bukan menjadi syarat sebab sah sebarang solat dengan niat salah satu dari keduanya adaan atau qada. Tetapi tidak dibolehkan sesiapa sengaja mempermainkan dengan solatnya sendiri. Oleh itu solat mereka yang sengaja mempermain-mainkan dengan solatnya itu sepatutnya dikira tidak sah kerana permainan tersebut. Ini jelas tanpa sebarang khilaf lagi. Wallahualam.
Syurga di bawah siapa?
SOALAN: Kalau semasa kita belum berkahwin, hubungan dengan ibu sangat kuat sehingga ada sebuah hadis menyebut bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Persoalannya di sini apabila saya sudah berkahwin, ada orang berkata syurga itu pula terletak di bawah kaki suami. Saya keliru tentang hal ini.
– Ruslinda Rusli, Kuala Langat, Selangor.
JAWAPAN: Seorang anak gadis semasa kecil dan remajanya iaitu sebelum mendirikan rumah tangga berada dalam kawalan dan didikan mereka (ibu bapa). Sebab itu anak gadis perlu menumpahkan kasih sayang dan taat setia kepada ibu bapanya dengan melayan mereka secara yang baik dan tidak dibenarkan menderhakai keduanya. Kerana keredaan Allah terhenti atas keredaan keduanya. Sedangkan setelah dia berkahwin dan mendirikan rumah tangga, maka kawalan dan perbelanjaan nafkahnya berada di tangan suaminya. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: Kaum lelaki (suami) itu berkuasa (pengawal) yang membela dan mempertahankan kaum wanita (para isteri mereka) dengan apa kelebihan yang dikurniakan Allah kepada mereka (lelaki) atas setengah (kaum wanita) yang lain dan dengan nafkah yang mereka belanjakan dari harta mereka, maka wanita yang solehah itu ialah yang taat kepada Allah (dan suaminya). (Maksud surah an-Nisaa ayat 34).
Justeru itu para suami dibenarkan bertindak mengikut garis panduan yang diarahkan agama untuk mengatasi perbuatan nusyuz (derhaka) dari isterinya, dan bila mereka dapat menumpukan taat setia dan memenuhi tanggungjawabnya kepada kamu, maka janganlah kamu sengaja untuk menyusahkan mereka pula. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment