Like Blog Ini...

Sunday, November 2, 2008

Sihir merebut jawatan

Dua kali saya menemani seorang teman yang hendak bertanding ketua dalam pemilihan sayap bahagian. Rambutnya digunting sedikit. Dicadangkan supaya mesyuarat diadakan di satu tempat berhampiran dengan air. Untuk menundukkan pengundi, dahinya hendaklah ditenung, bukan pada mata. Setelah diberi beberapa petua dan tangkal untuk menundukkan lawan, jari-jari disusun rapat bersalaman, bersama` pelicin’ yang juga tebal di dalamnya.


Saya terasa bersalah dan insaf dengan amalan oleh sebahagian manusia Islam yang terang-terang menggunakan amalan sihir untuk merebut sesuatu jawatan politik.

Apakah punca sebenarnya, kemelut seperti ini terus menerus berlaku? Sebagai pengiring, saya diminta menabur kemenyan yang telah dihancurkan di laluan mesyuarat, juga di hadapan pengundi yang diperangkap di hotel yang ditempah khas sebelum persidangan diadakan keesokan hari. Saya bertaubat dan tidak lagi melakukannya.

Bagaimana ini boleh berlaku, padahal saya kadang-kadang melihat teman saya ini sembahyang di masjid. – Hamba Keliru,KL


Jawapan: Saya menjawab persoalan ini semata-mata berdasarkan kenyataan yang saudara kemukakan. Saya anggap, pengalaman saudara itu sesuatu yang benar dan mahukan jawapan yang pasti lagi tepat.

Faktor utama menyebabkan seseorang itu terlibat dengan amalan sihir ialah kerana ia tidak menyedari bahawa sihir itu salah satu dosa besar, yang membinasakan, merosakkan diri orang yang berkenaan, orang lain, juga masyarakat.

Merosakkan iman seseorang yang akhirnya menentukan seseorang itu akan dimasukkan dalam neraka jahanam atau di syurga. Sihir boleh menyebabkan syirik. Dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah swt.

Seseorang itu mungkin tahu sihir itu dosa besar, tetapi ia tidak menyedari natijah buruk akibatnya. Semuanya diketepikan, asalkan cita-citanya berhasil, contohnya dicalonkan menjadi ketua, calon atau pengundi rasa belas kepadanya, tidak berupaya berfikir waras, calon gerun atau tunduk kepadanya, seumpama terpukau.

Keadaan ini boleh berlaku akibat daripada sihir, yang dilakukan melalui perantaraan individu tertentu, contohnya individu yang saudara pergi dua kali di pinggir ibu kota di tengah malam, di mana rambut calon diambil sebahagian daripadanya.

Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin atau jin-jin yang boleh menyebabkan pengundi tunduk, seumpama mamai, menurut sahaja apa yang disuruh oleh bakal calon tadi. Disuruh ikrar, ikrar, disuruh sumpah, bersumpah, apatah lagi disogokkan dengan wang, makan malam, sarapan pagi, baju kurung dan seumpamanya.

Inilah di antara contoh di mana manusia, dalam usaha untuk mendapat kuasa undi menggunakan “khidmat” jin atau jin-jin, yang berkemungkinan terdiri daripada iblis dan syaitan.

Allah memberi amaran bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata lagi jelas. Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh. Calon seperti ini secara tidak langsung menjadikan syaitan itu temannya, di mana ia meminta tolong kepadanya. Dalam surah An-Nisa: 38 Allah menjelaskan bahawa sesiapa yang menjadikan syaitan itu temannya, maka syaitan itu adalah sejahat-jahat teman.

Dalam surah al-Jinn:6, pula dijelaskan memang terdapat manusia yang meminta pertolongan atau perlindungan kepada jin atau jin-jin, maka jin-jin itu akan menambah bagi orang yang berkenaan itu dosa dan kesalahan.

Mungkin orang berkenaan tahu tentang dosa-dosa dan balasan Allah akibat perbuatannya. Dalam masalah ini, kita kena ingat bahawa seseorang itu bertanggungjawab terhadap kewajipan yang berkaitan dengan Allah, berkaitan hak manusia, juga hak-hak yang berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia. Semuanya mesti dilaksanakan.

Mengenai hak yang berkaitan dengan hak manusia, sekiranya seseorang itu bertaubat dan ia ada tanggungjawab dengan manusia, hak tersebut mesti disempurnakan, seperti hutang yang berkaitan dengan harta, maruah, kezaliman dan sebagainya. Diselesaikan atau dipohon halalkan ataupun dipohon kemaafan. Kerana itu apabila amalan sihir itu melibatkan kezaliman terhadap diri manusia, orang yang berkenaan hendaklah memohon maaf kepada individu yang terlibat, juga mohon keampunan kepada Allah kerana ia telah melakukan dosa besar yang dilarang dalam Islam.

Diinsafi

Perlu disedarkan dan diinsafi bahawa orang yang melakukan sihir ialah mereka yang melakukan sesuatu tindakan dengan menggunakan iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan jin-jin. Mereka bertindak supaya orang lain terpukau, rasa gerun kepadanya, rasa takut, rasa sayang, mengikut telunjuknya, menyakiti orang lain menyebabkan orang menderita. Suami isteri bergaduh akhirnya bercerai. Larikan anak dara orang dalam keadaan terpukau. Mangsa sihir boleh menjadi hilang akal, gila, melolong dan lain-lain perbuatan histeria

Perlu disedar, diinsafi bahawa orang yang melakukan perbuatan sihir, melalui perantaraan orang lain yang ditemani di tengah malam, sama ada di pinggiran gunung atau pinggiran ibu kota seperti yang saudara temani, sebenarnya orang yang terlibat tidak tahu apa itu sebenarnya sihir.

Mainan sihir iaitu mainan menggunakan iblis dan syaitan itu tidak ubah seumpama melepaskan anjing liar, untuk menyerang mangsanya, orang-orang tertentu, musuh yang menjadi seteru, rakan kongsi atau lawan politik untuk merebut ketua bahagian ataupun ketua cawangan.

Anjing yang dilepaskan itu anjing liar, yang dia tidak kenali dan tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh anjing itu. Sama ada menerkam mangsa, membaham bahagian tengkok, kepala, seluruh badan dan sebagainya, menyebabkan mangsa menderita, mungkin mati akibat ragutan geraham anjing liar tadi.

Begitu juga tamsilnya kepada orang yang terlibat dengan sihir, menemui orang-orang tertentu untuk menyakiti lawannya. Makhluk ini akan menyerang orang yang berkenaan dan tidak diketahui apa kesudahan terjadi kepada manusia. Sekali makhluk ini menyerang, ia akan terus menyerang. Mangsa akan selamat sekiranya pertahanan dirinya kuat, hasil daripada bertakarub kepada Allah dan perlindungan Allah hasil daripada tadaruk dan takwa kepada Allah.

Serangan anjing adalah serangan fizikal. Serangan iblis dan syaitan ialah pada roh atau jiwa mangsa. Kerana itu mangsa sihir melibatkan gangguan roh, menyebabkan seseorang itu resah gelisah, sedih, suka, ketawa, meracau tanpa dapat mengawal diri. Tidak boleh tidur malam, sentiasa ada rasa was-was, syak wasangka dan sebagainya.

Pada satu tahap tertentu, serangan makhluk ini tertumpu pada bahagian otak, menyebabkan mangsa bertindak atau berkelakuan ketidaknormalan otak, serangan pada hati menyebabkan mangsa was-was, rasa hendak bunuh diri, rasa kecewa hidup dan sebagainya, tanpa ada alasan atau sebab yang jelas.

Mangsa sihir juga menyebabkan seseorang itu seumpama terpukau, tunduk mengeluarkan wang di dompet, emas di pergelangan tangan juga mengeluarkan wang melalui mesin atau ‘arahan’ orang yang melakukan sihir. Banyak terjadi mangsa sihir terpukau, ikut turut kepada pelakunya, iaitu dirogol dan sebagainya.

Perlu difahami orang yang melakukan perbuatan sihir yang diistilahkan sebagai “sihir”, tidak akan melakukan sembahyang seperti saudara jelaskan. Sekiranya ia melakukan sembahyang, seperti yang saudara lihat, sembahyang adalah tidak diterima Allah. Mesti difahami bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Bererti bahawa orang yang sembahyang tidak akan melakukan perbuatan sihir, kerana sihir itu adalah sebesar-besar kemungkaran dan kejahatan. Sembahyang mencegah pelakunya, iaitu orang yang melakukan sembahyang itu daripada melakukan kejahatan. Bererti biarpun orang yang melakukan perbuatan sihir itu sembahyang, dia sebenarnya tidak sembahyang dalam erti kata sebenar.

Tidak sembahyang di sini bererti bahawa sembahyang yang dilakukan itu tidak sah iaitu terbatal, ataupun sembahyang yang dilakukan itu sah, tetapi tidak diterima oleh Allah. Apabila sembahyang yang dilakukan itu tidak diterima Allah, maka sembahyang tersebut tidak boleh mencegah tuannya, iaitu orang yang melakukan sembahyang itu daripada melakukan perbuatan jahat dan kemungkaran. diperjelaskan bahawa sihir adalah sejahat-jahat kemungkaran dan kejahatan.

Selain daripada faktor yang dijelaskan, orang yang melibatkan amalan sihir adalah mereka yang tunduk kepada kehendak nafsu. Dosa sihir selain tidak difahami, tidak disedari atau disedari, tetapi matlamat kemenangan yang diperoleh itu dirasakan lebih utama, atau lebih besar manfaatnya berbanding dengan dosa-dosa dan kezaliman terhadap amalan sihir yang tidak seberapa difahami atau dimaklumi.

Membinasakan umat

Cukuplah dengan rasuah yang membinasakan umat, membinasakan negara, masyarakat juga individu. Kebinasaan atau kaum atau parti politik itu akan terserlah apabila amalan rasuah itu digabung dengan sihir. Allah melaknat orang yang menerima rasuah, pemberi rasuah, juga runner yang menjadi pengantara.

Orang yang seperti ini, iaitu yang terlibat dengan rasuah juga amalan sihir apabila menjadi pemimpin akan meneruskan amalan tersebut. Orang seperti ini besar kemungkinan boleh berjaya, kerana manusia lebih rakus dengan wang, glamour dan kesenangan zahiriah.

Walaupun perlu diingat, bahawa apabila Allah melaknat seseorang, terutamanya mereka yang terlibat dengan rasuah juga amalan sihir, bererti Allah tidak meredai hidup mereka. Allah tidak berkati hidup mereka, kaya, disaluti emas berlian bergemerlapan, tetapi mereka tidak akan memperoleh ketenangan pada diri, juga keluarga. Tidak ada sesuatu yang lebih nikmat hidup dalam dunia ini selain daripada ketenangan.

No comments: