''SAYA akan ke Mekah pada 26 November ini,''. Begitulah mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang sahabat, Md. Som Md. Salleh pada awal bulan ini. Terkejut juga penulis apabila menerima SMS itu kerana beliau tidak pernah membayangkan hasrat menunaikan haji tahun ini ketika kami sama-sama mengerjakan umrah pada bulan Mei lalu. Tidak seperti rakan-rakan lain yang sudah menyatakan hasrat seperti pasangan suami isteri, bekas pegawai tentera Zainal Abidin Husin dan Noor Aishah Ariffin yang sudah mendaftar dengan Tabung Haji. Insya-Allah mereka berharap akan ke sana pada 2010. Tetapi bagi Md. Som, keazaman untuk menunaikan haji itu tetap ada, cuma masanya belum pasti. Mungkin doanya sebelum meninggalkan Mekah sudah dimakbulkan. Ketika mahu melakukan tawaf selamat tinggal, rakan rombongan umrah kami, Haji Ismail Saad memberitahu rakan-rakan lain supaya berdoa di hadapan Kaabah memohon agar 'perpisahan' dengan Baitullah tidak mengambil masa yang lama. Maksudnya supaya kami secepat mungkin dapat sekali lagi menjejakkan kaki di- Mekah sama ada untuk haji atau umrah.
''Di sudut mana agaknya Md. Som berdoa,'' tanya Ismail apabila mendapat khabar itu.
Begitulah apabila sudah sampai masa dan ketikanya, berkat usaha dan doa, setiap insan Muslim akan berpeluang ke sana.
Md. Som walaupun baru mendaftar mendapat peluang itu setelah kekosongan berlaku pada saat akhir di sebuah syarikat pengendali haji. Md. Som sudah pun menunaikan umrah dan pastinya pengalaman itu sedikit sebanyak dapat membantu perjalanan ibadah haji yang lebih mencabar dengan jumlah umat Islam mungkin mencecah sehingga tiga juta orang.
Bagi jemaah Malaysia yang mendapat penerbangan pada minggu-minggu terakhir menjelang musim haji ini akan terus ke Mekah melalui lapangan terbang Jedah. Mereka yang mendapat penerbangan awal akan ke Madinah dan kini beransur-ansur memasuki kota Mekah.
Walaupun berkunjung ke Madinah bukanlah sesuatu yang diwajibkan, namun ia menjadi satu kemestian bagi jemaah umrah atau haji. Ini kerana di Madinah banyak kesan sejarah peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Piagam Madinah digubal di sini yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Ia mempunyai 47 fasal di mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam (Ansar dan Muhajirin) manakala 24 lagi berkaitan hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Di kota ini juga ada Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram yang di dalam kawasannya terletak makam Rasulullah SAW dan para sahabat iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar Al Khattab. Di dalam masjid ini juga terdapat Raudhah, tempat yang dianggap mulia dan berebut-rebut orang mahu menunaikan solat sunat di situ. Begitu juga mimbar tempat Rasulullah SAW berkhutbah.
Selain daripada itu, di Madinah juga letaknya tanah perkuburan Baqi, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan pelbagai lagi tempat bersejarah.
Pesat membangun
Di samping itu, kota yang semakin pesat membangun ini juga mempunyai banyak pusat membeli-belah bagi mereka yang mahu membawa pulang cenderamata kepada keluarga dan sahabat handai. Bagi yang berkesempatan, bolehlah berkunjung ke bazar kurma atau terus ke ladang kurma untuk membeli pelbagai jenis kurma yang segar. Begitu juga dengan pelbagai jenis kacang.
Biasanya, bagi jemaah haji Malaysia, mereka akan berada di Madinah selama sembilan hari. Tempoh itu cukup untuk menunaikan solat 40 waktu (solat Arbain) di Masjid Nabawi di samping melakukan ziarah.
Hotel penginapan yang berhampiran memudahkan jemaah berjalan kaki ke Masjid Nabawi dan pusat membeli-belah. Namun jangan pula tersesat atau terbabas ke tempat lain sehingga tercari-cari hotel penginapan. Bergeraklah secara berkumpulan lebih-lebih lagi pada musim haji.
Pengalaman menyertai pakej umrah bersama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. amat menyeronokkan walaupun tempoh berada di Madinah terlalu singkat.
Sebaik tiba di Madinah dari Mekah pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan (selepas kira-kira enam jam perjalanan dari Mekah) penulis serta lima rakan yang lain - Ismail, Md. Som, Zainal, Muhammad Suhaimi Sulong dan Hushin Ismail terus berjalan kaki ke Masjid Nabawi menunaikan solat Isyak serta menziarahi makam Rasululullah.
Sesudah itu dengan hasrat mahu meninjau kawasan masjid, kami berjalan-jalan sekitarnya tetapi setelah 'tawaf' masjid, jalan menuju hotel gagal ditemui disebabkan terpisah dengan satu kawasan berpagar yang sedang dibangunkan. Setelah penat berjalan, ditambah pula keadaan Zainal Abidin yang bertongkat kerana menghadapi masalah kakinya, akhirnya kami mengambil keputusan untuk mencari teksi. Tetapi teksi sebenar tidak kelihatan, mujurlah ada kenderaan pick-up yang melintas di situ. Pemandu seperti bertanya sama ada mahukan perkhidmatannya. Sebut saja nama hotel Hilton, maka pemandu itu mengajak kami menaiki kenderaan itu. Zainal Abidin duduk di hadapan bersama pemandu manakala penulis, Ismail dan Hushin di tempat duduk belakang. Suhaimi yang berbaju Melayu dan Md. Som berjubah bagaikan Pak Arab duduk di ruang terbuka kenderaan - menyedut udara malam Madinah. Entah ke mana kami dibawa kerana jika berjalan kaki antara hotel ke masjid tak sampai 10 minit tetapi dengan kenderaan itu, pelbagai jalan dan terowong kami lalui. Entahlah sama ada pemandu itu sengaja mengikut jalan jauh atau itulah laluan sebenar. Apa pun kami tetap sampai di hotel. Tambangnya 20 riyal!
Kenangan
Turut menjadi kenangan apabila seorang jemaah dari sebuah syarikat pelancongan Malaysia sesat. Rakan penulis, Ismail membawa lelaki yang sudah berumur itu ke hotel kami dan mengajaknya makan dan memeriksa butir peribadi. Beliau hanya membawa beg dan tanda nama tanpa nombor telefon syarikat pelancongan dan hotel. Yang ada cuma nombor telefon keluarga di Malaysia. Bagi mengelakkan kerisauan keluarganya, kami tidak mahu menghubungi nombor itu sebaliknya Ismail cuba menghubungi rakan-rakannya yang tahu mengenai agensi berkaitan di Kuala Lumpur. Mungkin kerana waktu itu awal pagi di Malaysia, lambat mendapat jawapan. Akhirnya Ismail dan penulis berkunjung dari satu hotel ke satu hotel berhampiran bertanya sama ada kumpulan jemaah dari agensi itu tinggal di hotel tersebut. Setelah tidak juga ketemu, Ismail serta lelaki itu akhirnya kembali ke kawasan Masjid Nabawi dengan harapan akan terserempak dengan kumpulan berkenaan yang mungkin sedang mencari rakan yang sesat itu. Alhamdulillah, usahanya berjaya.
Justeru adalah penting, jemaah menyimpan alamat hotel, atau nombor telefon pegawai agensi pelancongan berkenaan supaya mudah berurusan sekiranya tersesat di tengah lautan manusia.
Pengalaman lain apabila isteri Hushin mengalami batuk berterusan. Ubat di farmasi tidak memadai. Malam itu, penulis bersama Hushin memberanikan diri mencari hospital berhampiran. Mujurlah ada seorang mutawif yang mencari teksi menetapkan harganya 4 riyal dan memberitahu pemandu berkenaan hospital yang dimaksudkan. Tidak jauh dari hotel. Di hospital pula, timbul masalah komunikasi. Kebanyakannya hanya mampu berbahasa Arab. Dalam keadaan terdesak penulis menuju ke bilik kecemasan dan pastinya ada doktor yang mampu memberi panduan. Doktor yang sedang merawat pesakit kemudiannya menunjukkan arah ke klinik pesakit luar. Lega apabila menemui kaunter berkenaan yang penjaganya juga hanya mampu bertutur dalam bahasa Arab. Setelah mendapat nombor giliran, akhirnya dapat juga isteri Hushin menemui doktor Arab. Mujurlah ada jururawat dari Indonesia yang dapat menjelaskan penyakit yang dialami. Di kaunter ubat, pelbagai ubat diberi. Semuanya percuma kerana ada kad nama jemaah umrah. Ketika mahu pulang ke hotel, kereta sapu jadi pilihan. Tambangnya 6 riyal. Mungkin, eloklah kita ketahui beberapa perkataan Arab bagi memudahkan urusan walaupun ketika membeli-belah di Madinah atau Mekah, masalah bahasa tidak ketara kerana ada yang tahu berbahasa Melayu atau Indonesia.
Di Madinah juga tidak timbul masalah makanan kerana selain masakan Arab, masakan Indonesia juga boleh didapati. Asalkan anda rajin berjalan-jalan di sekitar kota suci kedua itu.
No comments:
Post a Comment