OLEH SITI AINIZA KAMSARI
ANTARA sambutan Hari Valentine dan Maulidur Rasul, persamaannya apabila kedua-dua hari tersebut adalah hari yang begitu ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini. Tetapi malangnya menurut seorang teman, salah satu begitu diraikan tetapi yang satu lagi, hanya sekadar hari yang diberi cuti umum.
Adakah maksudnya tiada sambutan diberikan terutamanya oleh umat Islam setiap kali tibanya 12 Rabiulawal mengikut kalendar Islam itu?
Di tambah pula sejak akhir-akhir ini sambutan Maulidur Rasul atau lebih tepat perarakan bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad cuba dipertikaikan.
Benarkan perarakan itu bidaah? Terlarang? Satu unsur pendewaan? Perarakan itu telah menyebabkan ada umat Melayu atau Islam menjadi lemah?
Pengalaman penulis ketika belajar di sebuah sekolah aliran mubaligh Kristian di Selangor, iaitu sebuah sekolah yang muridnya terdiri daripada berbilang kaum, Melayu, China dan India, tiada halangan untuk menyambut Maulidur Rasul.
Namun setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiulawal (yang ketika itu juga dikenali sebagai Maulud Nabi) seluruh pelajar Islam menyambutnya dengan penuh meriah.
Malah masing-masing begitu teruja kerana terdapat pertandingan melukis poster dan banner untuk dibawa dalam perarakan yang bermula dari halaman sekolah menuju ke stadium berhampiran untuk program seterusnya.
Malah para pelajar terbabit membuktikan kecintaan dan ingatan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kata-kata yang indah sebagaimana panduan dan bimbingan daripada para ustaz.
Poster-poster yang dihasilkan juga dihias indah dengan pelbagai corak dan warna dan hasilnya, tidak sahaja berwarna warni, sangat menarik tetapi hendak menyampaikan pelbagai mesej.
Mengingati kelahiran Rasulullah juga bermakna mengimbau kembali sejarah perjuang baginda menyebar dan menegakkan Islam di bumi Arab.
Sebab itu segala pujian yang dilafazkan kadang-kadang membangkitkan rasa terharu dan sebak kerana mengenang perjuangan dan pengorbanan besar yang dilakukan oleh baginda.
Sebagaimana yang diceritakan oleh 'orang lama', Profesor Datuk Dr. Sidek Baba bahawa sambutan Maulidur Rasul baginya adalah sebahagian dari institusi pendidikan tidak formal tetapi antara guru yang terbaik dalam hidupnya.
"Zaman kecil-kecil saya dahulu iaitu sekitar tahun 1950-an dan 60-an, juga tidak kurang meriahnya sambutan Maulidur Rasul itu apatah lagi ketika dibesarkan di Kampung, iaitu Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka.
"Seluruh kampung meraikannya, memang suatu acara yang ditunggu-tunggu, lebih meriah berbanding kenduri kahwin.
"Tidak ada penduduk kampung yang tidak turut serta, dari peringkat yang tua dan tentu sekali kanak-kanak seperti saya ketika itu yang paling gembira menyambutnya.
"Kami mengadakan pelbagai acara termasuk perarakan untuk kami seluruh kampung berselawat terhadap Junjungan Besar baginda Rasulullah yang sebelum itu kami bergotong royong beramai-ramai masak untuk kenduri dan sebagainya, sungguh meriah.
"Diadakan pelbagai pertandingan terutamanya membaca al-Quran dan sebagainya, yang semua itu mendapat sambutan ramai dan masing-masing berlumba-lumba untuk menunjukkan bakat dan kebolehan," kata Sidek.
Namun yang jelas katanya, sambutan Maulidur Rasul merupakan acara yang tidak sahaja untuk memperingati Rasulullah tetapi natijah dan hikmah yang paling besar, hubungan erat yang terjalin di kalangan penduduk kampung.
"Seluruh penduduk kampung saling kenal mengenal antara satu sama lain dan menjadikan seluruh kampung itu seperti bersaudara," katanya.
Di tambah lagi jika di kampung-kampung yang terdapatnya madrasah atau sekolah-sekolah agama, sambutan akan lebih luar biasa sifatnya, tidak sekadar dibuat atas anjuran masjid sahaja.
Begitulah signifikannya mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi Sidek yang baginya tidak ditemui sebarang elemen bidaah sehinggalah boleh jatuh kepada hukum haram.
Menurutnya, sejak pertama kali diadakan iaitu di zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah di Mesir, sambutan Maulidur Rasul tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Malah setiap umat Islam bertanggungjawab mempertahankan atas sifat hukumnya yang harus sebagaimana yang disepakati oleh para ulama dan cendekiawan Muslim.
"Adalah benar mengadakan Maulidur Rasul itu hukumnya tidak wajib. Tetapi yang kita bimbang, ada yang memahami apabila perarakan tidak wajib bermakna tidak perlulah membuat sebarang sambutan untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad itu.
"Itu yang kita tidak mahu berlaku. Sedangkan tidak salah untuk kita terus mengadakan perarakan tersebut jika ia adalah sebahagian dari cara untuk umat Islam memperingati Nabi terakhir mereka," katanya.
Kata Sidek, Rasulullah dimuliakan kerana baginda adalah sumber contoh, sumber qudwah, bimbing umat manusia kepada jalan yang benar dan perjuangan nabi itu ikutan dan tauladan.
"Jadi cuba bayangkan jika kita tidak mengingatinya langsung. Sekadar kita ucapkan dalam lafaz kalimah syahadah atau berselawat seorang diri.
"Tidak timbul perasaan jemaah, jiwa berjemaah bersama-sama, beramai-ramai dengan umat Islam yang lain.
"Sedangkan bersama-sama dan beramai-ramai itu membina dan membentuk kekuatan ummah itu sendiri, kesannya tentu sekali berbeza berbanding jika mengingati nabi itu secara seorang diri," jelas Sidek.
Bagi kalangan umat Islam kebanyakan sambutan hari kebesaran adalah penting untuk diadakan. Sebagaimana apabila tibanya tahun baru Hijrah yang akan disambut dengan Maal Hijrah.
Begitu juga setiap kali tibanya 12 Rabiulawal maka sambutan Maulidur Rasul menjadi acara penting sama begitu juga sambutan Israk Mikraj.
"Ini kerana semua sambutan itu tidak sekadar perayaan tetapi membawakan mesej dengan makna yang cukup besar dan mampu memberikan kesan untuk mengubah kehidupan umat itu kepada kehidupan yang lebih baik," katanya.
Ia tidak sekadar soal mempertahankan identiti Islam tetapi terlalu banyak hikmah terutama bagi mereka yang menghayati dan Sidek tidak memahami mengapa perkara yang baik seperti itu kini cuba dipertikaikan dengan perkara-perkara yang remeh dan titik bengik.
"Menghalang laluan, terpaksa tutup jalan, menyebabkan kesesakan di laluan-laluan lain dan sebagainya, merupakan perkara-perkara atau isu tidak sepatutnya ditimbulkan.
"Jika begitu pada dasar logik akalnya, kerajaan sepatutnya mengharamkan juga acara lumba basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) kerana acara itu juga menimbulkan pelbagai keadaan seperti yang disebutkan," katanya.
Beliau yang kini Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak turut kesal apabila ada pihak yang mendakwa sambutan seperti ini merupakan satu pendewaan terhadap baginda Rasulullah.
"Adakah Rasulullah itu telah kita jelmakan atau membentuknya dalam bentuk patung atau sebarang objek yang berkaitan? Lalu kita bawa berarak dan dijulang-julang?," tanya beliau.
Kebimbangan itu kononnya berasas kerana ia seperti meniru perbuatan pengikut agama Kristian yang mendewakan Nabi Isa sehingga dianggap sebagai Anak Tuhan.
"Sedangkan di negara ini, tidak ada sampai ke tahap itu kerana kita tetap berpegang bahawa Nabi Muhammad itu tetap Nabi.
"Hakikat itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Jadi apa yang perlu dirisaukan," katanya.
Menurut beliau, ia umpana mengadakan tahlil secara beramai-ramai terutamanya bagi memperingati dan sedekahkan amalan kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.
"Adakah ini bermakna sambutan seperti ini bermakna kita melakukan penyembahan terhadap ibu bapa kita itu," tanya beliau.
Namun yang lebih dikesalkan kerana bagi Sidek, ia terlalu kasar dibaca apabila dikaitkan pula perarakan Maulidur Rasul itu dengan maju mundurnya sebuah bangsa dan umat, iaitu lebih tepat umat Melayu.
Sedangkan katanya, perarakan tersebut adalah sebagai menghormati perjuangan baginda yang telah melahirkan Islam.
Mereka yang menempelak perarakan sempena Maulidur Rasul bermakna tidak menghormati baginda.
"Mungkin berlaku kurangnya penghayatan dalam perarakan tersebut menyebabkan ada umat Islam yang menyertai tidak berubah.
"Masih ditakuk lama dan sebagainya tetapi perarakan dalam setiap kali sambutan Maulidur Rasul tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemajuan atau kegagalan sesebuah bangsa ," katanya.
Beliau yang juga bekas Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM berkata, umat Islam semakin kurang penghayatan terhadap majlis seperti itu kerana sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan anasir-anasir atau unsur lain.
No comments:
Post a Comment