Like Blog Ini...

Thursday, February 25, 2010

Remaja dan sikap positif

Oleh Nurul Izzah Sidek

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.

Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif.

Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.

Rasa ingin tahu membolehkan remaja bertanya, mengkaji, menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan salah akan sesuatu yang atau bertindak atas apa yang berlaku. Rasa ingin tahu adalah suatu dorongan fitrah dan proses belajar akan makna sesuatu.

Sesetengah orang tahu sesuatu melalui pertanyaan, perkongsian, pengalaman atau maklumat. Sikap positif memberikan remaja data dan fakta yang berguna untuk membantu membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang berlaku.

Contohnya, ada orang berpendapat bahawa barat itu buruk dan Timur itu baik. Sikap positif remaja mestilah dalam andaian tidak semua dari barat itu buruk dan yang datang dari timur semua baik.

Banyak kemajuan, ilmu pengetahuan teknologi dan sains berlaku di barat bermanfaat untuk manusia. Banyak juga keburukan tingkah laku orang timur yang tidak patut dicontohi manusia. Oleh itu bersikap positif terhadap perkara yang baik dan buruk baik dari timur atau barat seharusnya menjadi landasan dan pegangan remaja.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu dan pengalaman yang benar dan betul boleh meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara.

Rasa ingin tahu yang diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran menjadikan remaja manusia yang memahami. Memahami sesuatu bahasa, ilmu, fakta dan data membantu mematangkan fikiran.

Yang selalu berlaku adalah rasa ingin tahu yang tinggi tidak disalurkan menerusi proses pembelajaran yang betul menyebabkan remaja menjadi tidak faham.

Misalnya, remaja adalah golongan yang suka berhibur. Akibat tidak faham akan makna hiburan menyebabkan mereka selalu terjebak dengan hiburan yang merosakkan. Sedangkan hiburan yang positif tidak dilarang oleh agama.

Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk haruslah diambil kira. Jika tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala.

Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik. Pedoman dalam Islam adalah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah.

Maksudnya, hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi dan memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah.

Melalui pemikiran yang positif, kita akan berasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.

Di tahap remaja ingin tahu dan cuba memahami, remaja sebenarnya ingin memahami makna akan sesuatu. Memahami makna bererti mengetahui hakikat kejadian peristiwa dan juga sesuatu pegangan.

Ada remaja yang faham akan sesuatu tetapi tidak bertemu makna akan sesuatu. Contohnya remaja tahu akan pentingnya akan pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan tetapi disebabkan kefahaman yang tidak mendalam terhadap batas larangan itu dan hukum syarak menyebabkan remaja sering melanggar hukum hakam.

Akhirnya sebahagian remaja yang kurang kawalan iman terjebak dengan tabiat buruk dan hilang makna dalam kehidupan. Tidak dinafikan bahawa persekitaran dan ruang didikan sekeliling sangat penting dalam membentuk sikap dan pemikiran positif dalam diri remaja.

Pengalaman penulis yang bertemu bual dengan beberapa orang remaja semasa kerja-kerja amal tuisyen kepada penduduk setempat beberapa tahun lalu memberi keinsafan bahawa ramai remaja kini ketandusan jiwa.

Mereka tidak memahami akan matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Justeru tidak hairanlah ramai yang lebih gemar bersuka-suka daripada memikirkan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Sikap keterbukaan remaja dalam meluahkan perasaan mereka jelas menunjukkan bahawa mereka merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan.

Ada antaranya yang cuba memahami akan makna kehidupan dengan cuba belajar bersungguh-sungguh dan menggapai impian, tetapi malangnya tidak dipedulikan oleh ibu bapa yang sibuk mencari rezeki.

Malah ada yang bertemu mengadu dijaga oleh datuk dan nenek, sedangkan duduk serumah dengan ibu bapa. Belum lagi disentuh hal-hal seperti perangai ibu bapa yang suka mendera, minum arak, menghisap dadah, selalu bergaduh dan sebagainya.

Agak menyedihkan apabila remaja yang sedang meningkat dewasa terpaksa melalui peringkat-peringkat kehidupan seperti ini. Ia bakal menyebabkan anak itu membesar dengan pelbagai andaian negatif dan prasangka bahawa untuk apa kejayaan dicapai sekiranya tidak dihargai oleh ibu bapa sendiri.

Selain itu, ia bakal membentuk watak remaja yang degil dan suka memberontak. Mereka mungkin faham bahawa belajar itu penting, tetapi tidak menghayati akan makna mencari ilmu itu sendiri adalah untuk kepentingan mereka di dunia dan akhirat. Lalu tanggungjawab mencari ilmu diambil mudah ditambah pula masalah keliling yang membelenggu dan mengekang pemikiran positif.

Ada remaja yang merasakan mereka tenang dan positif apabila bersama rakan-rakan. Walhal mereka sedang melakukan perkara-perkara yang kurang elok seperti melepak, ponteng sekolah, menghisap rokok dan sebagainya.

Tanggapan seperti ini menjadikan remaja menganggap perkara yang positif adalah sesuatu yang boleh menjanjikan keseronokan semata-mata dan boleh memuaskan perasaan walaupun ia bertentangan dengan hukum, nilai, etika mahupun undang-undang.

Oleh itu, pemikiran positif sewajarnya menjadikan kita lebih aktif dan proaktif. Sesuatu maklumat yang kita terima berkemungkinan boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Dengan sikap positif yang ada kepada kita seharusnya menjadikan kita orang yang suka mengambil tahu, membuat penyelidikan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Pemikiran positif bukan bermaksud kita menerima semua maklumat atau membuat pelbagai andaian untuk mempositifkan sesuatu keadaan yang nampak negatif tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan dan analisis.

Kita sering kali boleh ditipu jika semata-mata bersikap baik sangka tanpa menggunakan pemikiran yang analitik dan kritis.

Oleh itu remaja harus dididik agar tidak bersikap 'main hentam saja' asalkan sesuatu perkara itu nampaknya menguntungkan dan akhirnya mereka mempelajari bahawa sikap mereka yang terlalu berbaik sangka telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan atau mempunyai niat-niat tertentu.

Kesimpulan

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Menjadi positif tidak bermakna menerima sesuatu bulat-bulat tanpa usul periksa. Sebaliknya, ia menggalakkan remaja supaya berlapang dada dalam mencari sesuatu maklumat dan bersedia menerima kebenaran.

Apabila proses rasa ingin tahu dan mengetahui remaja dikayakan dengan proses pembelajaran yang betul, ia bakal menghasilkan kefahaman yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Seterusnya memungkinkan remaja itu dewasa dengan ilmu dan pemikiran yang seimbang.

No comments: