Oleh zin mahmud
Umat Islam pada zaman Rasulullah SAW jelas bersatu. Dengan Nabi Muhammad SAW menjadi pemimpin, tentunya menjadi umat Islam lebih mudah kerana patuh saja kepada Rasulullah SAW.
Namun begitu jika diteliti hadis-hadis dapat gambaran bahawa umat Islam khususnya di Madinah adalah masyarakat yang dinamik. Anggota masyarakat Islam sentiasa mengeluarkan pendapat yang pelbagai dan berhujah di antara satu sama lain. Terdapat kebebasan berfikir dan bersuara.
Para sahabat bertanya bukan saja kepada Rasulullah SAW, tetapi juga memberi pendapat. Begitu juga dengan Rsaulullah SAW yang memperoleh wahyu tetapi tetap bertanyakan pendapat para sahabat.
Bukan saja para sahabat, tetapi juga para Muslimat dalam masyarakat Islam awal di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Rumah tangga Rasulullah SAW sendiri bersifat dinamik dengan hujah-hujah dikeluarkan terhadap apa saja persoalan yang timbul dalam masyarakat Islam.
Maka antara konsep yang diutarakan oleh Rasulullah SAW ialah umat Islam pada zaman tertentu akan lebih mengetahui tentang keadaan masyarakat mereka masing-masing.
Rasulullah SAW membuka fikiran umatnya bahawa mereka lebih tahu keadaan zaman masing-masing. Baginda tidaklah mahu mengongkong umat Islam akan datang kerana tentunya keadaan berbeza antara satu zaman ke zaman yang lain.
Dengan anjuran Al-Quran supaya manusia berfikir dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekelilingnya, maka sudah pasti muncul pelbagai pendapat dan fahaman kerana adalah sifat manusia, termasuk umat Islam sendiri mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan.
Malah perbezaan pendapat dianggap sebagai rahmat. Jika diteliti usaha para ulama sepanjang zaman dapat dilihat bahawa perbezaan fahaman dan aliran disebut, diiktiraf dan dihormati.
Maka tidak hairanlah selepas wafatnya Rasulullah SAW, umat Islam sendiri mempunyai pendapat berbeza mengenai siapa yang bakal menjadi pengganti Rasulullah SAW.
Baginda tidak pernah mencalonkan sesiapa sebagai penggantinya. Ini jelas dengan sifat Rasulullah SAW yang semangatnya adalah setiap umat mengetahui keadaan zamannya dan pemuafakatan dilakukan. Cara hidup Islam bersifat syura, bukannya kediktatoran atau perintah dan patuh semata-mata.
Maka timbullah pendapat yang berbeza tentang siapa yang hendak dipilih sebagai Khalifah Rasulullah, iaitu pengganti Rasulullah. Ada pihak mahukan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sementara ada pihak lain pula mahukan Saidina Ali Abi Talib. Umat Islam tidaklah berpecah tetapi perbezaan pendapat adalah jelas benar-benar berlaku.
Namun begitu selepas itu, berlakulah peluasan perbezaan pendapat hingga kepada pembunuhan sesama Islam. Zaman Khalifah Usman dan Khalifah Ali menyaksikan pertumpahan darah sesama Islam. Jika ini dinamakan perpecahan dan bukannya perbezaan pendapat, maka apa yang dilaungkan sebagai perpaduan Islam adalah suatu mitos.
Sepanjang sejarah Islam dari zaman Khalifah Rasyidin hingga ke hari ini, umat Islam tidak bersatu dari segi hanya ada satu kerajaan atau fahaman.
Perpecahan berlaku dan peperangan di antara satu sama lain adalah suatu yang lumrah.
Malah kalau hendak dikirakan, persaingan politik di Malaysia pada hari ini iaitu seperti antara UMNO dan Pas umpamanya adalah kecil berbanding perpecahan dan peperangan yang berlaku sesama umat Islam pada zaman silam. Lihatlah bagaimana Bani Umayah dan Bani Abasiah berbunuhan sesama sendiri pada zamannya. Sedangkan pada zaman kedua-duanya itulah yang dikatakan Zaman Keemasan Islam. Jika dilihat dari sudut ini, perpaduan ummah yang dilaungkan adalah suatu mitos, ideal dan utopia.
Maka tidak hairanlah pada zaman moden ini, walaupun adanya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tetapi perkelahian antara negara Islam adalah suatu yang lumrah.
Umat Islam baik di peringkat dunia mahupun dalam negara, bahkan dalam komuniti kecil sebagai minoriti di negara-negara Barat, umpamanya sentiasa berbalah sesama sendiri tentang isu-isu yang ada kalanya remeh-temeh.
Perdebatan
Masalah Maulid Nabi umpamanya sejak ia diadakan pada zaman silam oleh kerajaan Syiah, Fatimiyah di Mesir pada abad ke-5 sentiasa menjadi perdebatan. Sama ada ia patut diadakan atau tidak. Akhirnya sikap yang sebaiknya yang perlu diambil ialah tidak usah turut heret dalam perdebatan ini.
Kerana sememangnya lumrah terdapat perbezaan pendapat bukan saja dalam soal Maulid Nabi tetapi banyak perkara lain dalam agama. Dari sudut lain, berdebat tanpa kesudahan tentang perkara-perkara ini tidak membawa sebarang manfaat.
Banyak lagi masalah besar yang perlu difikirkan dan dibahaskan oleh umat Islam. Umpamanya mengenai kemajuan, pembangunan dan keupayaan ekonomi orang Islam.
Tetapi dalam hal duniawi, hatta soal strategi, perbahasan juga berlaku dan ada kalanya tidak ada kesudahan.
Sememangnya mungkinkah ini sifat umat Islam? Dalam mencari kemajuan dunia sekalipun, perbahasan umat Islam juga terjebak kepada perkara remeh-temeh, dan tidak menyelesaikan masalah.
Sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, bercakap tentang kemiskinan serta kemunduran umat Islam adalah suatu perkara biasa yang berulang-ulang. Bukanlah tiada kajian atau usaha politik dilakukan. Kerajaan berganti kerajaan. Parti-parti politik baru muncul dan perubahan berlaku juga tetapi perbezaan pendapat dan perpecahan terus berlaku.
Tetapi kalau dilihat umat lain, perkara sama juga berlaku menurut tradisi masing-masing.
Umat Kristian mengalami perpecahan yang lebih besar. Begitu juga agama-agama lain menurut keadaan tradisi sejarah masing-masing.
Malah agama Yahudi juga mengalami perpecahan dan perbalahan sesama sendiri.
Tetapi umat Yahudi yang berjumlah kira-kira 13 juta saja (100 tahun dahulu mereka berjumlah kira-kira 17 juta) bukan saja mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia pada hari ini, tetapi telah menyumbang kepada pembentukan dunia moden dalam pelbagai bidang penting seperti sains dan hasil seni.
Malah ketika zaman kegemilangan Islam baik Umayah, Abasiah dan Uthmaniah, umat Yahudi juga berperanan besar dalam menyediakan kandungan intelektual kepada kerajaan-kerajaan Islam itu.
Kalau umat Yahudi terdiri daripada satu bangsa saja, umat Islam pula mempunyai pelbagai bangsa. Sementara bangsa-bangsa Islam itu pula berkongsi negara dengan penganut agama di negara masing-masing.
Oleh kerana umat Islam itu begitu besar, adalah praktikal bagi perhatian seseorang adalah terhadap bangsa masing-masing. Umpamanya orang Melayu wajar tumpukan perhatian kepada pembangunan bangsanya kerana sebarang kejayaan yang dinikmatinya kelak akan turut tersebar kepada bangsa-bangsa lain dari kalangan umat Islam.
Umpamanya sebarang kekuatan ekonomi orang Melayu, akan membolehkan bantuan disalurkan kepada Bosnia dan Palestin apabila mereka memerlukannya.
Tetapi orang Melayu hidup bersama dengan kaum-kaum lain yang bukan Islam di negara ini. Hubungan antara kaum dan agama di negara ini berkait di antara satu sama lain.
Kejayaan mana-mana kaum akan menyumbangkan kepada kemajuan negara.
Bagaimanapun kemajuan negara ini tidak semestinya menguntungkan semua kaum secara adil dan saksama jika tidak diberi perhatian.
Kerana pelbagai faktor, umat Islam di negara ini sentiasa bimbang bahawa mereka akan ketinggalan dalam bidang ekonomi walaupun negara mencapai kejayaan.
Dari sejak sebelum dan sesudah merdeka, dari sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sesudahnya, perkara ini dibahaskan dan pelbagai pandangan diutarakan. Program juga dirancang dan banyak juga kejayaan telah dicapai.
Kebimbangan
Namun begitu kebimbangan masih berlaku kerana terdapat tanda jelas bahawa umat Islam Malaysia masih dan akan terus ketinggalan pada masa akan datang. Keadaan ini berlaku sungguhpun kejayaan umat Islam Malaysia lebih ketara berbanding umat Islam di negara-negara lain.
Tetapi siapakah umat Islam? Takrifnya adalah mereka yang beragama Islam.
Bilakah Islam bermula? Adakah ketika Rasulullah SAW mendapat perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah dan mereka yang menganut agama Islam menjadi pengikutnya dan bermulalah sejarah umat Islam?
Tetapi agama Islam diturunkan untuk memperbetulkan ajaran agama sebenar yang telah diselewengkan.
Maknanya sebelum Rasulullah SAW berdakwah, ajaran Islam sudah ada dalam bentuk ajaran-ajaran nabi terdahulu iaitu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Kesemua ajaran mereka adalah agama sebenar, dan pastinya ia merupakan agama Islam.
Agama Islam sudah bermula dengan Nabi Adam AS. Setiap kali ajaran itu diselewengkan, maka nabi baru diturunkan untuk memperbetulkan, hinggalah akhirnya Rasulullah SAW.
Maknanya usaha memperbetulkan ajaran agama yang diselewengkan adalah suatu proses yang berterusan.
Nabi Muhammad SAW diisytiharkan sebagai nabi akhir. Tetapi adakah ia bermakna bahawa ajaran Islam tidak lagi diselewengkan?
Maka dengan tiadanya nabi selepas Rasulullah SAW, maka usaha memperbetulkan ajaran Islam jatuh pada mereka yang berusaha untuk melakukan perubahan iaitu tajdid. Tokoh-tokoh inilah yang dipanggil sebagai mujadid.
Tetapi ia tidak semestinya tokoh. Mungkin perubahan dilakukan secara kolektif atau jemaah. Atau setiap individu Muslim yang sedar melakukan tajdid pada bidang kuasa masing-masing di samping bekerjasama dengan pihak lain.
No comments:
Post a Comment