Like Blog Ini...

Tuesday, March 27, 2012

Sabar separuh daripada iman

Oleh AMINUDIN MANSOR

SIFAT sabar sangat penting dididik dalam hati dan diri seseorang terutama apabila menghadapi ujian dan musibah. Dalam kehidupan, Allah akan sentiasa menguji kita, kerana ujian itu adalah untuk menilai sejauh mana kesabaran dan keimanan kita kepada-Nya.

Ramai manusia yang kecundang dengan ujian Allah kerana tiada sifat sabar. Begitu juga kerana tidak dapat mengawal diri daripada segala ujian dan pahit getir hidup dengan bersabar.

Ujian Allah dalam juga bentuk tidak mengira pangkat dan kedudukan. Apatah lagi bagi mereka yang beriman dan kuat beribadat.

Puasa di bulan Ramadan juga sedikit sebanyak mendidik sifat sabar dalam hati dan diri seseorang. Sabar daripada lapar dan dahaga sebagaimana yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga bersabar melakukan ibadat sunat sepanjang bulan mulia tersebut.

Dalam al-Quran terdapat 49 ayat yang menjelaskan dan menceritakan sifat kesabaran. Antaranya Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 153).

Orang yang beriman mestilah mendidik hati dan dirinya dengan sifat sabar yang dapat mengangkat dirinya ke arah ketakwaan. Melalui sifat sabar dalam amalan-amalan lain, terutamanya solat akan dapat mendekatkan diri seseorang dengan Allah.

Selanjutnya, Allah berfirman lagi: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).

Jelaslah, orang-orang yang sabar dengan ujian Allah berkaitan dengan ujian ketakutan, kelaparan, cuaca panas, banjir, kekurangan harta dan jiwa akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah. Balasan tersebut merupakan pahala dan juga hikmah yang lain, yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Berkaitan dengan orang yang sabar Allah berfirman: Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir. (al-Anf'al: 66).

Cendekiawan Islam pernah menyatakan, kita jangan terlalu menginginkan semua berlangsung seperti yang kita kehendaki, tetapi sabarlah dengan kejadian yang berlangsung sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga kita tetap tenang dan tenteram. Kita semua tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Bukti kesabaran Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun baginda mengajak penyembah berhala, kaum Yahudi dan Nasrani kepada tauhid yang murni dengan dakwah yang mantap.

Sifat sabar baginda menghadapi tuduhan, cacian dan tentangan akhirnya terbukti apabila orang musyrik masuk memeluk agama Allah dan menyanjung tinggi syiar Allah.

Berkaitan dengan sifat sabar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan." (riwayat Ath Thabrani dan Al Baihaqi).

Begitulah tingginya tahap sifat sabar dalam diri seseorang. Sementara rasa keyakinan adalah keseluruhan kepada keimanan seseorang. Dalam menjalani kehidupan sifat sabar dan yakin sangat penting bagi mencapai kejayaan sama ada dalam ujian, permasalahan hidup dan juga ketika menghadapi musibah.

Selanjutnya Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya: Sabar yang sebenarnya adalah sabar pada saat bermulanya musibah. (riwayat Al-Bukhari).

Sebagai manusia yang beriman, seharusnya tidak mudah tewas dengan apa juga ujian Allah. Sabar menerima ujian tidak mudah putus asa, tidak resah gelisah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran hidup biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan dan kebaikan.

BILAL bin Rabah : Muadzin ar-Rasul

BILAL bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dikenali dengan dengan gelaran Muadzin Ar-Rasul.

Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Ummayyah bin Khalaf daripada Bani Jumuh.

Apabila mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah SAW, lalu beliau menemui baginda dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.

Ketika itu hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad bin Al-Aswad.

Beliau pernah diseksa oleh Umayyah malah membiarkannya di tengah padang pasir selama beberapa hari. Sebahagian besar daripada kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan musyrikin kecuali beliau, Ammar bin Yasir bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib. Oleh kerana itu mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy melepaskan geram terhadap Islam.

Dengan kepanasan matahari di padang pasir, beliau diseksa sambil perutnya diikat dengan seketul batu besar. Manakala lehernya pula diikat dengan tali. Beliau diseret oleh orang-orang kafir bersama anak-anak mereka di antara bukit-bukit di Mekah.

Ketika diseret, Bilal dengan tenang mengucapkan kata "Ahad… Ahad" malah beliau menolak mengucapkan kata-kata kufur.

Tidak cukup dengan penyeksaan itu, golongan musyrikin menanggalkan pula pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemur beliau di bawah panas terik cahaya matahari. Malah mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad SAW.

Selepas kejadian itu, Abu Bakar memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umayyah bin Khalaf dengan harga sembilan tahil emas. Umayyah bin Khalaf sengaja menjualnya dengan harga mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membelinya.

Umayyah berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membelinya dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga satu tahil emas."

Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas."

Setelah Hijrah, azan disyariatkan dan Bilal mengumandangkan azan. Beliau adalah muadzin pertama dalam Islam kerana memiliki suara yang sungguh lunak. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai bendahara Rasulullah SAW di Bait Al-Mal. Malah beliau tidak pernah menolak daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW.

Ketika perang Badar, beliau melihat Umayyah bin Khalaf dan Bilal berkata; "Aku tidak akan selamat jika Umayyah selamat."

Dengan pertolongan beberapa pasukan kaum Muslimin mereka berjaya membunuh Umayyah.

Sunday, March 25, 2012

Tidak tunaikan solat hidup tiada makna



SETIAP daripada kita pastinya bercita-cita untuk memperbaiki ilmu agama, tidak terkecuali saya. Tetapi Ustaz masalah yang saya hadapi ialah kesedaran dan tahap keimanan itu kadang-kadang ada pasang surutnya. Ini berpunca daripada pelbagai sebab seperti penat, sibuk dan lain-lain.

Pada masa yang sama, timbul rasa bersalah bila tidak melakukan apa yang dituntut itu. Contoh paling mudah, solat lima waktu.

Jawapan

Kita harus ingat bahawa talian hayat di antara hamba Dan Pencipta ialah solat. Melalui solatlah seseorang hamba dapat berhubung terus dengan Allah SWT. Hari ini tidak mudah bagi seseorang untuk bertemu dengan orang besar, berjawatan, berpangkat dan berkuasa. Dalam Islam, Allah SWT melalui Rasul-Nya telah menyediakan rangkaian talian berhubung terus dengan Allah SWT.

Tanpa solat hidup kita selaku orang Islam tidak bermakna, biar sehebat manapun kita di sisi manusia, kita tetap kerugian di hadapan Allah SWT. Solat itu penghubung antara kita dan Allah. Solat itu penenang, solat itu cahaya, solat itu penghapus duka dan solat juga penawar penyakit rohani.

Jangan abaikan solat biar apa sahaja keadaannya, di mana sahaja kita berada. Bumi Allah SWT terbentang untuk itu.

Rasulullah SAW pernah ditanya apa itu Islam, lantas baginda menjawab: Islam itu dibina atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke Baitullah. (riwayat Imam al-Bukhari)

Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Rasulullah SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat 50 kali. (riwayat Imam al-Tirmidzi)

Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.

Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung. (riwayat Imam al-Tirmidzi)

Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar.

Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak terkeluar daripada Islam. (rujuk al-Nisaa: 116)

Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.

Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya. (rujuk al-Qalam: 35-43)

Allah SWT memulakan ayat di atas dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf kehambaan seseorang yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar.

Kemudian Allah menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.

Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain.

Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah, mereka enggan kerana tidak mampu.

Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.

Baik buruk televisyen

Oleh ZUARIDA MOHYIN

TELEVISYEN sudah menjadi sebahagian daripada keluarga, hampir di semua rumah. Sama ada kita suka atau tidak, boleh dikatakan isi rumah di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen malah yang memiliki lebih daripada sebuah televisyen, bukanlah sesuatu yang janggal.

Umum mengakui realiti bahawa televisyen merupakan satu medium utama komunikasi di dalam sebuah negara. Bahkan, ia juga merupakan alat penyampai maklumat yang berkesan dan pengaruh televisyen itu sendiri berupaya mempengaruhi cara seseorang individu itu berfikir.

Tidak cukup dengan itu, televisyen juga dijadikan alat propaganda menyampaikan dakyah-dakyah sama ada positif mahupun negatif.

Namun, isunya bukan jumlah bilangan televisyen yang dimiliki tetapi adakah televisyen mampu mendidik masyarakat dan tidak dinafikan televisyen yang tidak dikawal selia dengan undang-undang tertentu pasti tersasar daripada peranannya sebagai sumber maklumat.

Buku terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berjudul, Pemerkasaan Televisyen Dalam Mendidik Masyarakat adalah merupakan himpunan kertas kerja yang telah diseminarkan di seminar "Pemerkasaan Televisyen dan Peralatan Komunikasi sebagai Saluran Berkesan dalam Mendidik Masyarakat" yang telah diadakan pada 20 hingga 21 Mac 2007 anjuran IKIM.

Buku ini membicarakan berkaitan peranan televisyen kepada masyarakat sebagai saluran penting yang mempengaruhi cara berfikir dan kehidupan berbudaya.

Ini kerana hampir setiap anggota masyarakat mengisi masa hariannya selama beberapa jam dengan mengadap televisyen.

Selain itu, televisyen juga mempunyai tanggungjawab sosial yang besar terhadap keperluan masyarakat.

Pun begitu, tugas ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya televisyen secara keseluruhannya dapat menayang, memaparkan rancangan-rancangan, gambar, iklan, tulisan, grafik dan maklumat visual yang memenuhi citra tempatan dan tidak membelakangkan budaya luhur.

Kegagalan meletakkan nilai-nilai luhur inilah akan menyebabkan kegagalan untuk mempengaruhi cara berfikir dan membentuk sahsiah Muslim yang baik.

Oleh itu, dorongan yang sepadu perlu daripada semua pihak seperti di kalangan karyawan, seniman untuk mengambil inspirasi daripada Islam sebagai agama yang mampu membina budaya, peradaban dan tamadun dalam setiap aspek kehidupan terutamanya dalam menyampaikan mesej di televisyen.

Menyedari televisyen dengan pengisian programnya yang sarat mengandungi kedua-dua nilai kemanfaatan dan kemudaratan, maka hala tuju dan gerak kerja rancangan-rancangannya perlu dipantau dari semasa ke semasa agar apa yang dihidangkan kepada umum bukan sekadar hiburan semata-mata malah turut mendidik masyarakat dalam pelbagai ilmu kehidupan.

Buku ini juga dibahagikan kepada lima bahagian utama. Kesimpulannya, ia menjelaskan secara menyeluruh berkaitan peranan yang dimainkan oleh televisyen dalam kehidupan seharian. Perkembangan institusi televisyen ini pastinya memiliki kesan tersendiri. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk menerima sebarang perubahan serta perkembangannya pada masa akan datang.

Pada bahagian pertama ia mengupas peranan televisyen, sama ada menggalakkan cara hidup materialisme atau cara hidup yang seimbang dan luhur. Turut dikupas dalam bab ini juga ialah senario dunia penyiaran masa kini dan cabaran-cabarannya. Di bahagian akhir bahagian ini juga membincangkan kecenderungan kandungan rancangan televisyen yang menumpukan sama ada memberi pengetahuan, hiburan atau mengaut keuntungan semata-mata.

Di bahagian kedua, menyentuh berkaitan perkembangan era dan cabaran perbandingan dengan negara Indonesia. Bab ini turut merungkai isu persoalan berkaitan usaha-usaha ke arah penubuhan badan pemantauan televisyen di kalangan rakyatnya.

Bab ketiga pula menyentuh sejauhmana keprihatinan umat dalam menerapkan nilai agama dalam filem dan drama. Bab ini juga mengupas peranan televisyen sebagai salah satu alat dalam menyemarak penghayatan patriotisme.

Bahagian keempat pula merungkai tentang kepentingan dan implikasi pengaruh pengiklanan komersial di televisyen terhadap cita rasa dan nilai hidup masyarakat. Bab ini turut menyentuh peranan yang perlu dimainkan oleh stesen televisyen dalam memupuk nilai kemanusiaan.

Bab terakhirnya menggariskan maksud budaya dangkal yang mewujudkan sikap kurang peka dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat. Ia juga memperincikan tentang peranan televisyen dalam pembangunan modal insan. Di samping itu, kepentingan masyarakat dididik dengan kecelikan media turut dihuraikan dengan baik.

Semoga buku ini dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dalam memilih rancangan yang bersesuaian di samping menggalakkan pengusaha televisyen agar bersungguh-sungguh dala menghasilkan rancangan yang bermutu lagi berkesan kepada penonton.

Orang ramai boleh memiliki buku ini dari IKIM di No. 2, Jalan Langgak Tunku Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur ataupun menghubungi talian 03-6204 6200/03-6204 6250.

Dakwah Pulau Mabul

LAMBAIAN Dakwah Pulau Mabul adalah program bersama antara Pusat Latihan Islam Lahad Datu, pertubuhan bukan kerajaan Muslim Care Malaysia, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah.

Ia telah berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mac lalu. Program yang lebih berkonsepkan ziarah itu bertujuan memupuk rasa kasih sayang dan persaudaraan sesama insan.

Di samping itu ia juga memberi motivasi dan sokongan moral serta menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban penduduk kampung yang memerlukan.

Pada hari pertama, sebaik sahaja tiba di Pulau Mabul yang terletak di pesisir pantai tenggara negeri Sabah, ahli rombongan menziarahi kawasan sekitar kampung bagi melihat suasana kehidupan masyarakat di situ.

Manakala pada sebelah petangnya pula, pihak Muslim Care yang diketuai oleh Ketua Urus Setia, Razak Mohamed, menjalankan sesi taaruf di antara ahli rombongan dan penduduk kampung di Masjid Pulau Mabul bagi memberikan gambaran perjalanan program yang akan dilaksanakan bersama masyarakat situ.

Dengan mensasarkan motivasi dan pengisian rohani, penduduk kampung berpeluang menghayati tazkirah Maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Lahirul Latigu.

Selepas solat Isyak, Ustaz Muhammad Hadi Ahmad Talhah telah menjalankan sesi perubatan Islam pada hari pertama dan kedua serta sesi halaqah Klinik Al-Fatihah dan Tahsin Solat kepada masyarakat setempat.

Ahli rombongan juga bergotong-royong menambah baik bangunan kelas KAFA di sana.

Sebagai tanda prihatin dan semangat persaudaraan sesama Muslim, pihak Muslim Care turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 100 buah keluarga yang memerlukan dan 30 orang keluarga Bajau Laut.

Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara sesama Muslim, tidak boleh menganiaya sesamanya, tidak boleh membiarkannya teraniaya dan tidak boleh merendahkannya."

Kelab Falak SAMTTAR pikat generasi muda

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

KEGEMILANGAN kerajaan Islam telah meninggalkan banyak khazanah yang bernilai khususnya dalam bidang keilmuan sehingga membuka lembaran baharu terhadap perkembangan ilmu pengetahuan.

Malah khazanah yang ditinggalkan itu tidak sedikit pun dimamah zaman memandangkan teori-teori yang dibangunkan para ilmuan Islam dahulu masih digunapakai hingga kini.

Namun biarpun permulaan kajian terhadap lapangan ilmu dimulakan di era kemasyhuran tamadun Islam, ada antara bidang ilmu itu kini lebih terarah kepada dunia Barat. Ilmu falak misalnya, sering dibariskan dengan nama-nama besar ahli falak Barat sedangkan bidang ini telahlebih dahulu dipelopori cendekiawan Islam.

Nama-nama seperti Ibnu Battuta, Al-Khawarizmi, Al-Battani, Al-Majriti dan Omar Kayyam adalah antara tokoh tersohor ilmuan Islam bidang falak.

Lantas sedar akan perlunya bidang itu disemarakkan semula di kalangan umat Islam terutamanya kalangan generasi mudanya, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAMTTAR), Sungai Manggis, Banting, Kuala Langat, Selangor, telah mengambil inisiatif menubuhkan kelab falak bagi menarik minat pelajar untuk menceburi bidang tersebut.

Mengambil peluang yang dihulurkan oleh Jabatan Mufti Selangor melalui bahagian falaknya, SAMTTAR merealisasikan penubuhan kelab tersebut bersama dengan sembilan sekolah lain di seluruh Selangor.

Menurut Guru Penasihat kelab itu, Kartinah Masron, pihak sekolah tidak mahu ketinggalan dalam membuka minat para pelajarnya untuk mendekati bidang falak apabila jabatan mufti negeri menghulurkan jalan ke arah itu.

Katanya, bidang falak adalah antara lapangan ilmu yang penting kepada manusia kerana ia berkait rapat dengan kehidupan.

"Melalui ilmu falak kita dapat belajar kaedah atau cara menentukan arah kiblat dan waktu solat dan itu sudah tentu dapat memudahkan urusan solat kita.

"Selain itu, bidang ini juga dapat mendekatkan dan mengingatkan kita terhadap keagungan Allah SWT," katanya ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Kartinah memberitahu, objektif utama penubuhan kelab tersebut untuk mengembang dan memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan ilmu falak kerana ia merangkumi setiap kejadian di langit dan di bumi.

"Setiap ciptaan itu ada sebabnya, jadi dengan pendedahan dan kajian ilmu falak akan dapat merungkai rahsia yang tersimpan di sebalik setiap ciptaan.

"Kita juga dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari kaedah cerapan anak bulan dan kewujudan planet-planet di angkasa.

"Biarpun pelajar apabila tamat alam persekolahan nanti tidak memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang falak, kita harap apa yang mereka pelajari itu dapat dijadikan ilmu sampingan.

"Bagaimanapun besar harapan kami sekiranya suatu hari nanti dapat melahirkan seorang tokoh falak moden di masa hadapan," ujarnya.

Bercerita lanjut, Kartinah memberitahu, dengan tertubuhnya kelab itu, pihak sekolah dapat menunjukkan kepada pelajar akan kegemilangan Tamadun Islam lampau melalui penemuan para ilmuan dalam mengembangkan ilmu falak.

"Bidang falak ini dipelopori oleh para cendekiawan Islam sehingga teori dan kajian mereka masih lagi digunakan sekarang Jadi melalui kelab ini kita cuba untuk menonjolkan kehebatan ilmuan Islam kepada para pelajar.

"Contohnya seperti Ibnu Battuta yang mengembara dunia hanya berbekal rubu' mujayyab yang diciptanya selain peralatan yang dicipta oleh ilmuan lain," jelasnya.

Sementara itu, pengerusi kelab, Muhammad Al-Fateh Ahmad Sapian merasa teruja apabila berkesempatan untuk mendalami ilmu falak kerana ia sedikit sebanyak mendekatkan dirinya dengan Allah.

"Saya merasa gembira dan semakin teruja apabila dapat melihat keunikan dan keindahan bintang-bintang, planet dan astroid yang bertaburan di dada langit.

"Malah semakin banyak saya melihat dan belajar berkenaan ilmu falak, ia membuatkan saya semakin dekat dengan Allah," jelas pelajar tingkatan enam bawah itu.

Berkongsi rasa yang sama, Muhammad Naem Misbah pula tidak segan untuk meluahkan hasratnya yang ingin memiliki sebuah teleskop suatu hari nanti.

Baginya, dengan melihat keindahan binatang-bintang yang menyuluh kegelapan malam membuatkan dirinya tenang dan gembira.

"Sebenarnya banyak lagi ciptaan Allah yang masih belum diketahui dan dengan aktiviti kelab falak yang direncanakan, sedikit sebanyak membuka mata saya akan kebesaran Allah.

"Ilmu falak ini luas dan banyak rahsia yang dapat diungkap apabila kita mendalaminya. Biarpun sibuk dengan aktiviti lain, saya akan pastikan penglibatan dalam kelab falak tidak terganggu," jelasnya.

Sependapat dengan dua rakannya, Muhammad Syafiq Suhiman pula memberitahu, dia cukup teruja untuk menggunakan peralatan seperti tiang istiwa', rubu' mujayyab, dan teleskop setiap kali mengikuti aktiviti kelab tersebut biarpun baru pertama kali menyertainya.

Ujar pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) itu, dengan mendalami ilmu falak membuatkan dirinya merasai kebesaran Allah, selain dapat mempelajari benda baharu.

"Dulu saya tidak berapa tahu mengenai kejadian objek-objek di angkasa serta kaedah untuk menentukan arah kiblat tetapi selepas mengikuti aktiviti dan mendengar kuliah yang dianjurkan kelab, sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan saya.

"Lagipun bagi saya ilmu falak ini penting kerana dengan mempelajarinya, ia dapat membantu dalam menentukan arah kiblat yang sudah tentu penting untuk ibadat kita," katanya yang juga merupakan setiausaha kelab tersebut.

Umat Islam wajib kuasai ilmu falak

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

MANUSIA pernah berpandukan cakerawala sebagai rujukan terpenting dalam menjalani kehidupan.

Malap yang gelap-gelita tanpa kerlipan bintang di angkasa pasti akan menyebabkan manusia merasa kerana ia menjejaskan aktiviti kehidupan.

Apa tidaknya, pelayar di lautan akan keliru dan hilang arah haluan apabila bintang terlindung dek awan tebal atau cuaca buruk.

Ini kerana, tiada sebarang alat pandu arah yang tepat boleh digunakan oleh nakhoda untuk menuju ke sesuatu destinasi pada masa itu.

Bukan itu sahaja, kepentingan alam semesta itu juga boleh mempengaruhi amal ibadat seorang Muslim. Ibadat tidak dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya tidak merujuk kepada cakerawala.

Ketiadaan bintang amat dikhuatiri oleh para musafir Muslim kerana perintah solat dan berpuasa amat memerlukan panduan kepada perubahan edaran bulan dan bintang. Ia perlu bagi menentukan masuknya waktu solat lima waktu, arah kiblat dan juga hari penting umat Islam seperti awal Ramadan.

Selain kelihatan cantik menghiasi langit, bintang dan seluruh ciptaan alam semesta mempunyai makna yang penuh rahsia dan fungsi tersendiri.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)

Oleh itu, menjadi keperluan kepada umat Islam di setiap tempat untuk mempelajari dan mengkaji ilmu alam semesta atau dipanggil ilmu falak walaupun perubahan arus kemodenan menyediakan peralatan yang lebih mudah berbanding dahulu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, walaupun zaman sudah berubah kepada era teknologi, namun ilmu falak wajib dipelajari oleh umat Islam.

"Hukum mempelajari ilmu falak adalah fardu kifayah. Sekiranya tiada siapa yang mengetahui ilmu falak di sesuatu kawasan itu, maka semuanya akan berdosa. Jika ada walau hanya seorang, terlepaslah semuanya.

"Perubahan dunia kepada zaman teknologi yang serba canggih adakalanya membuatkan orang ramai kurang minat untuk mempelajari ilmu kaji bintang itu kerana mempunyai peralatan moden yang menggantikan rujukan bintang.

"Jika dulu, pelayar berpandukan bintang untuk menunjukkan arah destinasi yang ingin dituju, kini dengan didatangkan pelbagai alat teknologi canggih telah menggantikan kaedah dulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Shah Alam, baru-baru ini.

Perubahan itu katanya, membuatkan orang ramai terutamanya generasi baru akan melupakan ilmu falak, secara tidak langsung mempengaruhi keyakinan mereka terhadap pencipta.

"Rupa dan bentuk alam semesta yang indah dan sentiasa berubah-rubah mengikut kiraan pastinya dapat menarik minat orang ramai untuk menyaksikannya.

"Selain mengetahui mengenai rahsia alam semesta, kelebihan mempelajari ilmu falak juga dapat menimbulkan rasa penghayatan seseorang Muslim terhadap kebesaran pencipta-Nya," katanya.

Ramai yang tidak menyedari bahawa umat Islam merupakan pengasas kepada penemuan serta kajian terhadap ilmu kaji bintang dan alam semesta sehingga ia diguna pakai di seluruh dunia.

Pun begitu, kelicikan Barat mempelajari ilmu falak dan mengembangkan ilmu tersebut kepada salah satu cabang lalu menamakannya sebagai ilmu astronomi seperti yang kita ketahui sekarang.

Sehingga diceritakan, terdapat antara pelayar terawal dunia dalam kalangan ulama terkemuka Islam telah diubah namanya oleh Barat dengan menggantikan nama baru yang tidak menggambarkan nama Islam.

Pikat orang ramai

Sehubungan itu, JMNS menganjurkan program Jom Teropong Angkasa bagi menarik minat orang ramai untuk menyaksikan keindahan alam semesta di samping mendedahkan mengenai ilmu falak.

Program yang telah memasuki tahun kedua penganjurannya itu mula diperkenalkan pada Julai 2010 oleh Jabatan Falak, JMNS.

Program diadakan pada hari Sabtu setiap bulan sehingga September ini bermula pukul 8 sehingga 11 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sebanyak enam teleskop akan dibawa oleh Unit Falak pada hari program berlangsung bagi kegunaan orang ramai yang hadir menyaksikan keindahan alam semesta dengan lebih jelas secara percuma.

Tamyes berkata, pihaknya memilih tarikh program berkenaan berdasarkan peristiwa astronomi paling menarik yang berlaku di negara ini setiap bulan.

"Setiap bulan, negara kita akan mengalami pelbagai peristiwa astronomi yang menarik.

"Melalui program ini, kita memilih tarikh program pada masa dan waktu yang khusus mengikut perubahan bentuk semesta bagi membolehkan orang ramai melihat keunikan alam semesta dengan lebih jelas.

"Kita juga ingin berkongsi maklumat mengenai tarikh hari yang menarik itu kepada orang ramai terutamanya penggemar astronomi. Bagi mereka yang mempunyai peralatan sendiri, boleh juga datang dan melihat angkasa bersama-sama di sini.

"Selain itu, ceramah dan taklimat ilmu astronomi juga akan disampaikan oleh pakar astronomi sebagai pendedahan kepada pengunjung yang hadir," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Program, Jazlan Ali berkata, berdasarkan sambutan program sebelum ini yang sangat menggalakkan daripada orang ramai, pihaknya meneruskan program tersebut.

"Unit Falak, JMNS meneruskan program ini kerana melihat kepada sambutan baik daripada orang ramai yang berminat terhadap alam semesta.

"Program Jom Teropong Angkasa mensasarkan golongan belia dan remaja kerana kumpulan ini yang akan menjadi pelapis negara pada akan datang. Ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan generasi muda ini terjebak dengan aktiviti tidak sihat ," katanya.

Thursday, March 22, 2012

Bertaubat jalan orang muttaqin

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

SETIAP manusia biasa melakukan dosa. Remaja juga tidak terlepas melakukan dosa, sama ada dosa besar atau kecil. Memang kejadian manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan khilaf, sama ada disedari atau tidak.

Manusia secara fitrahnya mempunyai sikap terburu-buru serta gopoh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa' ayat 11.

Di peringkat remaja, cabaran menempuh persekitaran dan emosi sentiasa menjadi mainan seharian remaja. Sikap remaja yang belum matang dalam mendepani cabaran dan permasalahan boleh menyebabkan remaja ada kalanya terlalai dan tersilap memilih arah.

Kelupaan menyebabkan remaja melanggar perintah Allah, dan kelalaian menyebabkan remaja terjebak dalam perbuatan yang melampaui batas.

Justeru, remaja perlu selalu diperingatkan dengan nasihat yang baik. Nasihat serta bimbingan yang baik memang amat perlu sebagai panduan hidup remaja agar tidak sesat jalan.

Sebab itulah para Nabi dan Rasul diutuskan kepada umat manusia.

Melakukan dosa berulang-ulang boleh menggelapkan hati. Hati yang gelap dan kotor tanpa cuba dibersihkan akan menyebabkan hati bakal mati.

Lalu jika hati menjadi kotor, sifat malu, rasa berpahala dan rasa berdosa tidak wujud dalam diri remaja. Bila sifat-sifat ini hilang, maka remaja tidak akan segan silu melakukan dosa.

Persoalannya, mengapa remaja melakukan dosa? Banyak puncanya, antaranya kerana remaja tidak memiliki kesedaran rohaniah yang meyakini bahawa Allah itu Maha Mengetahui serta Maha Melihat.

Percaya kewujudan Allah tanpa ilmu kadangkala tidak menimbulkan keinsafan serta keyakinan teguh bahawa setiap amalan dicatat dan dilihat. Perasaan ragu-ragu dalam bertuhan menyebabkan pelanggaran terhadap hukum Allah senang berlaku.

Faktor lain juga mungkin berpunca daripada kurangnya ilmu-ilmu yang berguna dan bermanfaat yang dititipkan kepada remaja. Perubahan zaman yang pantas kadangkala menyebabkan remaja tidak diberi didikan yang betul dan sesuai dengan zamannya.

Cabaran-cabaran seperti peningkatan taraf hidup, pendidikan, ekonomi serta sosial memaksa remaja untuk pantas menyesuaikan diri dengan sebaik-baik mungkin. Ada remaja yang tidak dapat menyesuaikan diri, lalu senang terjebak dengan impak negatif.

Didikan agama sememangnya menjadi keutamaan sepanjang zaman agar menjadi manusia yang faham tentang dosa, pahala serta nilai.

Pada masa sama, remaja juga perlu dilengkapkan dengan asas-asas dan ilmu-ilmu penting mengenai cabaran semasa agar remaja tidak hanya mengikut peredaran zaman dan hanyut dibawa arus.

Seterusnya, ketiadaan contoh atau qudwah yang baik menjadi sumber remaja terjebak melakukan dosa. Walaupun setiap orang bertanggungjawab atas pilihannya sendiri, ketiadaan contoh yang baik menyebabkan kelompangan fitrah untuk diteladani dan diikuti.

Dorongan berseronok-seronok menyebabkan artis-artis, selebriti serta personaliti popular yang tidak Islamik lebih menjadi idola remaja berbanding ilmuan, ulama serta cendekiawan.

Oleh itu, ibu bapa, guru-guru serta masyarakat boleh menjadi rakan pembimbing serta contoh yang baik kepada remaja.

Remaja Islam harus insaf bahawa kumpulan mereka ini sedang dijadikan sasaran oleh musuh-musuh umat Islam, khususnya para pendakwah yang menguasai media cetak dan elektronik.

Apabila hiburan, muzik, festival dan bahan-bahan lucah dalam Internet menjadi ketagihan, para remaja mula alpa tentang tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya mudah terjebak dalam perangkap dosa.

Namun, fitrah manusia sememangnya inginkan kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup. Tetapi apabila dosa dan salah mula bertimbun dalam diri, remaja ada kalanya tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan.

Ada remaja yang terus menerus melakukan dosa, dengan harapan dapat berhibur di masa muda dan menebus kembali di masa tua. Ada yang bingung menyatakan tidak mungkin dosa-dosa akan diampunkan kerana ia terlalu banyak. Ada yang ingin kembali ke pangkal jalan tetapi tidak tahu bagaimana caranya.

Azan 'sedarkan' Samirah

Oleh AZHARI NOORDIN

BERMULA dengan mendengar bisikan azan dan suara merdu orang mengaji ketika sedang nyenyak tidur sekitar penghujung 2010, merupakan detik awal yang membawa kepada penghijrahan akidah Geethadewi atau nama Islamnya, Nur Samirah Abdullah.

Siapa sangka walaupun dengan perasaan yang bercampur baur itu telah membawa wanita berusia 36 tahun ini melafazkan kalimah syahadah di hadapan pegawai dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 15 Mac tahun lalu.

Tanpa mengendahkan cabaran yang bakal ditempuh, wanita berasal dari Gopeng, Perak itu akur dengan kehendak hati yang ingin memiliki Islam.

"Mulanya saya menyangkakan bahawa azan itu adalah azan Subuh dari surau berhampiran. Namun apabila terjaga saya dapati baru pukul 4 pagi.

"Terus bermacam-macam soalan muncul di fikiran dan saya mula berteka-teki serta mencari punca suara itu. Ini kerana ia menerbitkan satu perasaan yang sungguh indah dalam hidup saya," kongsi Nur Samirah ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menyambung bicara, wanita yang mesra disapa Samirah itu berkata, bermula detik itu dia mula mencari dan mendekati Islam melalui rakan-rakan sekerjanya.

Malah jelasnya, apabila kisah itu diajukan kepada rakan-rakan yang rapat dengannya, ada yang menganggap ia sebagai petanda hidayah Allah SWT.

Sejak itu, hatinya semakin membuak-buak untuk mendalami Islam, sehingga dia mula bertanya bagaimana caranya.

Bagaimanapun, oleh kerana status diri yang masih bergelar isteri orang, keinginannya sedikit terbatas. Lebih-lebih lagi, apabila memikirkan tentangan yang bakal dihadapi daripada suami yang telah 10 tahun dikahwininya.

Namun demi mencapai seruan yang telah diberi kepadanya, Samirah tekad mengejar cahaya yang diberikan Allah itu dengan meluahkan hasrat hati untuk bergelar Muslim kepada suaminya.

"Sebaik mendengar pengakuan saya itu, suami tidak dapat menerima dan hubungan kami mula goyah.

"Malah suami juga mengancam yang berbaur ugutan kepada saya sekiranya tetap berkeras mahu memeluk Islam," katanya yang turut disusuli linangan air mata.

Namun bisikan hati yang semakin kuat memberontak untuk menjadi seorang Muslim membuatkan Samirah tekad pergi ke Perkim bersama seorang rakannya.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bergelar Muslim.

"Biarpun hati saya tenang selepas melafazkan dua kalimah syahadah, perasaan takut tetap ada, apa lagi bila memikirkan reaksi suami.

"Sepanjang berada di dalam bas untuk pulang ke rumah, saya tidak henti-henti menangis dan berdoa agar Allah mempermudahkan," ujarnya.

Namun kuasa Allah tiada yang dapat menghalang. Sebaik turun bas, Samirah memberitahu, suaminya tidak dapat mengenali dirinya kerana penampilan dirinya yang jauh berbeza. Dia sudah bertudung.

Katanya, sepanjang 20 minit itu, kelibatnya tidak disedari sehinggalah dia menepuk bahu dan menegur suaminya.

"Saya memberanikan diri lalu menepuk bahu dan menegur suami. Dia terpaku dan tergamam.

"Selepas itu, kami pulang. Di rumah, suami seorang yang keras tiba-tiba menangis di hadapan saya.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doa saya dengan melembutkan hati suami. Dia menerima keputusan saya, cuma dia bertanya mengapa saya sanggup tinggalkannya dan menukar agama."

Sebagai seorang Islam, Samirah sedar hubungan suami isteri antara dia dan suaminya tidak boleh diteruskan kerana batasan agama. Justeru, sebaik selesai tiga bulan idah, mereka berdua akhirnya berpisah.

Sambungnya, biarpun tidak lagi bergelar suami isteri, hubungan di antara mereka masih baik malah adakalanya bekas suaminya menghantar dan mengambilnya pulang dari kelas pengajian Islam yang diikuti di Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur kerana Allah melembutkan hati bekas suami dan hubungan kami tetap baik, biarpun berlainan agama," ujarnya.

Kolaborasi 110 negara di UIAM

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SERING kali kita mempunyai pelbagai persepsi mengenai orang lain! Lebih mempercayai apa yang kita dengar tanpa perlu diusul periksa, menjadikan persepsi itu lebih berbau negatif.

Lalu kita sering menghitamkan yang putih dan yang hitam bertambah hitam.

Ini tentunya menyalahi ajaran Islam yang berkehendakkan seluruh umatnya supaya melihat hikmah di sebalik kejadian mengapa Allah menciptakan manusia di muka bumi ini dengan pelbagai jenis bangsa, suku kaum dan warna kulit.

Firman Allah yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujurat: 13)

"Kerana itu saya minta supaya jangan antara kita ada pelbagai prasangka (buruk) mengenai bangsa kerana masing-masing pasti ada kekurangan dan kelebihan sehinggalah kita saling mengenali. Maka tentulah yang buruk itu sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka," kata warga Nigeria, Afrika Barat, Mashood Ajibola Abdulraheem, 38 tahun.

Mashood merupakan Pelajar Tahun 2 Ijazah Kedoktoran Pengajian Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Kuala Lumpur.

Dia tidak menafikan pelbagai tanggapan buruk diberikan mengenai kehadiran atau lebih tepat kebanjiran warga Afrika yang dikatakan begitu 'menguasai' pemandangan di negara ini.

"Tetapi rata-rata sebenarnya seperti di UIAM Gombak ini sahaja, terdapat lebih daripada 100 pelajar dari Nigeria dan tentulah niat kami semua semata-mata untuk menimba ilmu, tidak lebih daripada itu.

"Begitu juga yang di luar dari UIAM, kebanyakan mereka adalah pelajar yang melanjutkan pelajaran ke negara ini dan mungkin akibat tanpa pengawasan yang cukup, menyebabkan ada yang terjebak dalam jenayah. Namun saya yakin tidak ramai. Di samping tidak semestinya setiap yang kulit hitam dari Afrika itu adalah dari Nigeria!," katanya dalam bahasa Melayu yang agak fasih.

Beliau sendiri sebenarnya pernah mengalami kejadian yang tidak diingini apabila diaju dengan sebilah pisau oleh seorang pemandu teksi tempatan akibat salah faham.

"Tetapi semua itu menjadi asam garam sebagai anak perantau. Lagipun saya sangat beruntung kerana mempunyai keluarga angkat, pasangan suami isteri, Nuruddin dan Norain yang banyak membantu sepanjang saya berada di negara ini. Mereka begitu mengambil berat mengenai saya," katanya yang berasal dari Ilorin ibu negeri Kwara, Nigeria.

Mashood ditemui ketika berlangsungnya Minggu Ummah (Ummatic Week) 2012, program tahunan atau tradisi buat kali ke 15, yang diadakan di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) UIAM, kampus Gombak, baru-baru ini.

Bertemakan, Hand in hand we unite the ummah adalah satu minggu yang penuh dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik terutamanya persembahan kebudayaan, pameran, forum, syarahan, gerai jualan, larian ummah dan sebagainya lagi, yang telah menarik penyertaan pelajar dari 110 buah negara asing yang menuntut di UIAM.

Maka tentu sahaja ia merupakan satu acara yang penuh dengan warna-warni bersulamkan alunan muzik dan lagu pelbagai rentak dan bunyi dan yang paling menarik tentulah, berhimpunnya pelbagai keunikan dan perbezaan budaya daripada pelbagai bangsa termasuk menerusi busana-busana tradisi yang bangga dipakai oleh setiap mereka.

Sementara bagi pelajar Kejuruteraan yang berasal dari negara terbesar di benua Afrika, Algeria, Abdeslam Belhadj, 21 tahun memilih Malaysia untuk menyambung pengajian tinggi.

"Atas dasar saya ingin mengenali dan menjadi salah seorang warga satu perhimpunan terbesar pelbagai bangsa maka saya memilih Malaysia bagi meluaskan lagi minda dan pengalaman, mengeratkan lagi ukhuwah dan bersatu atas nama satu ummah, umat Islam," katanya.

Beliau sebenarnya sebelum ini bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke negara Arab, terutamanya Arab Saudi namun tentunya suasana di sana tidak seperti di UIAM yang baginya lebih memenuhi cita rasa apabila terdapat pelbagai bangsa di dunia ini boleh ditemui.

"Tidak dinafikan Arab Saudi juga mengandungi pelbagai bangsa, apa sahaja bangsa boleh dilihat di sana tetapi terhad dalam soal ibadat dan dunia perniagaan tetapi dalam konteks pendidikan pengajian tinggi, saya rasa UIAM adalah yang terbaik," katanya.

Tentulah beliau sendiri berusaha untuk mempromosikan Algeria ke mata dunia walaupun skopnya adalah di UIAM Gombak sahaja.

Sama ada dengan pengenalan yang cukup mudah, bekas pemain bola sepak antarabangsa, Zinadine Zidane yang berasal dari Algeria namun Abdeslam lebih suka untuk menceritakan mengenai sejarah perjuangan rakyat negaranya yang sanggup berkorban sehingga menelan lebih dari sejuta nyawa semata-mata untuk membebaskan mereka daripada cengkaman penjajahan Perancis.

"Bila saya bercerita begitu, saya berharap siapa yang mendengar akan mengambil pengajaran supaya kita bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kemerdekaan negara dari sebarang pencerobohan asing.

"Terlalu perit dan mahal, harga yang perlu dibayar bagi mendapatkan kemerdekaan dan saya harap kita semua akan mengambil pengajaran," katanya yang bercita-cita untuk mencipta nama dalam dunia kejuruteraan bagi menurut jejak langkah Zinadine Zidane yang mengangkat nama Algeria ke mata dunia.

Bagi anak gadis berasal dari Istanbul, Turki, Sumeyye Hacer Uzun, 21 tahun, dia ingin melanjutkan pelajaran tinggi dalam suasana yang kondusif atau lebih tepat beliau bebas untuk memakai tudung berbanding di negara asalnya sendiri.

Walaupun sudah ada kelonggaran bagi membolehkan pelajar-pelajar perempuan di Turki untuk menutup aurat, sekali gus bertudung tetapi Sumeyye bimbang kelonggaran tersebut akan bersifat sementara.

"Saya tidak mahu belajar dalam keadaan tertekan akibat peraturan-peraturan yang tidak tetap seperti itu, jadi saya memilih Malaysia dan tentunya di sini tidak ada sesiapa yang boleh menghalang saya daripada menutup aurat," katanya.

Di UIAM Gombak, Sumeyye sangat gembira melalui hari-hari pelajarnya walaupun komuniti berbangsa Turki tidak ramai di universiti ini, iaitu seramai 35 orang sahaja.

"Begitupun saya berpeluang berkenalan dengan ramai bangsa lain dan yang lebih mengujakan atas nama Islam tetapi ia menyatukan kami dan rasanya tidak ada apa yang membezakan, apatah lagi soal darjat mahupun berbeza bahasa tetapi UIAM benar-benar satu universiti antarabangsa yang menyatukan semua perbezaan tersebut," katanya.

Terkadang Sumeyye merungut kerana di negara ini beliau kesejukan kerana hujan lebat.

"Ini kerana tidak boleh lawan keindahan suasana di Turki lebih-lebih lagi apabila Istanbul mula diliputi salji putih tebal di sana-sini," ujarnya sambil tersenyum.

Minggu Ummah dirasmikan oleh Rektor UIAM, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin mendapat sokongan dan tajaan daripada kedutaan negara para pelajar antarabangsa.

Ia turut bermatlamat menjadi jambatan utama yang menghubungkan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

Para pelajar tempatan akan lebih terbuka pandangan dan minda mereka apabila didedahkan dengan pelbagai segmen menarik sepanjang minggu ini berlangsung.

Sama ada merasakan sendiri keenakan aiskrim Turki sehinggalah terpukau dengan persembahan seni dan kebudayaan dari pelbagai negara, semua ini menyedarkan pelajar tempatan bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti antarabangsa dan perlu bersatu demi matlamat dan tujuan cita-cita yang satu, iaitu demi agama.

Diharapkan acara yang menjadi tradisi di UIAM ini akan dibuka kepada warga luar kampus, agar dari satu detik berkenalan dengan bangsa asing namun ia umpama pintu gerbang yang membuka kepada cintakan perpaduan dan kesatuan ummah. Islam yang berpecah bukan menjadi ajaran agama tersebut!

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang besar sehingga ia dibahaskan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara mencapai kemerdekaan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan.

Toleransi yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka. Hakikat inilah yang menzahirkan Raja-Raja Melayu menzahirkan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Hal yang demikian menjadi benteng kepada negara daripada cubaan menganggu gugat kedudukan istimewa Islam dan Raja Raja Melayu.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Kekuatan Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan atau melanggar peruntukan Perlembagaan berkenaan.

Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah.

Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agung melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agung boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya, bilangan tempat ditawarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon layak mendapat tempat itu.

Ia adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agung memberikan arahan yang perlu kepada kerajaan bagi memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak seperti difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agung; dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Sunday, March 11, 2012

Ikhlaskan ibadah kepada Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: "Penjelasan yang berikut merupakan cerita penjelasan jin dan mungkin firman Allah SWT dari awal lagi yang menerangkan sujud atau tempat sujud iaitu masjid hanya untuk-Nya sahaja."

Di sanalah ditegakkan tauhid yang bersih dan di sanalah lenyapnya bayang (kebesaran dunia). Seluruh suasana dan perhambaan di sana hanya untuk Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah. (al-Jin: 18)

Maksud perkataan masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah ada empat pendapat:

* Iaitu solat kerana Allah seperti pendapat Ibnu Syajarah.

* Segala anggota yang digunakan untuk sujud kerana Allah SWT seperti pendapat al-Rabi'.

* Semua masjid merupakan rumah Allah untuk didirikan solat seperti pendapat Ibnu Abbas.

* Setiap tempat yang dilakukan solat kerana ia untuk sujud. Justeru, dinamakan masjid.

Ibnu Kathir berkata: "Dahulu, jika orang Yahudi dan Nasrani memasuki gereja dan biara mereka, lalu menyekutukan Allah SWT. Lantas Dia memerintahkan nabi-Nya agar mereka mengesakan-Nya."

Sufian meriwayatkan daripada Khusaif daripada Ikrimah: "Ayat berkenaan turun dengan seluruh masjid."

Sa'id bin Jubair mengatakan ayat ini berkenaan dengan anggota sujud, iaitu semuanya milik Allah SWT sehingga tidak boleh menggunakannya untuk bersujud kepada selain-Nya.

Menurut Qatadah, orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan kuil, mereka mempersekutukan Allah SWT dengan sembahan mereka yang lain. Menerusi ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikhlaskan ibadah kepada Allah SWT semata-mata setiap kali kita memasuki masjid.

Al-Hasan berkata: "Masjid-masjid yang dimaksudkan di sini ialah setiap tempat yang menjadi tempat sujud di seluruh bumi, sama ada tempat itu disediakan untuk sujud atau tidak, sebab seluruh bumi adalah masjid bagi umat ini."

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya. (al-Jin: 19)

Al-Hasan dan Qatadah berkata: "Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah agar menyeru manusia kepada Allah SWT (yang bertentangan dengan orang musyrik dalam bentuk peribadatan mereka kepada berhala-berhala), lalu orang kafir pun bekerjasama dan tolong-menolong untuk memusuhi Nabi Muhammad SAW secara berkumpul atau berpuak-puak."

Muqatil berkata: "Sesungguhnya orang kafir Mekah mengatakan kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya kamu telah membawa urusan yang besar dan kamu juga telah memusuhi semua manusia, maka kembalilah kamu daripada yang demikian ini."

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya. Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) suatu kemanfaatan. (al-Jin: 20-21)

Ibnu al-Jauzi berkata: "Orang-orang kafir Mekah berkata kepada Nabi SAW sesungguhnya apa yang kamu bawa adalah amat besar kesannya yang tidak pernah didengar sebelumnya. Justeru, kembalilah kepada asal. Lantas turun ayat ini."

Al-Mawardi dalam menafsirkan tidak memiliki mudarat dengan tiga pendapat;

* Azab yang tiada kenikmatan.

* Kematian yang tiada kehidupan.

* Kesesakan yang tiada petunjuk

Al-Maraghi berkata: "Di sini terdapat ancaman besar kepada mereka dan perintah bertawakal kepada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang mampu memberi balas kebaikan dan keburukan terhadap perbuatan mereka."

Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa Baginda tidak meninggalkan tugas menyampaikan risalah (tabligh) sekalipun mereka bekerjasama untuk memusuhinya.

Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mampu melindungi aku daripada-Nya, jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah SWT menjelaskan perihal orang yang menderhaka Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorang pun dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya. Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya. (al-Jin: 22-24)

Berkenaan dengan sebagai penyampai daripada Allah dan risalah-Nya ada tiga pendapat;

* Aku tidak memiliki kemudaratan dan petunjuk kecuali menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat al-Kalbi.

* Tiada seseorang yang dapat menyelamatkanku daripada Allah jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Inilah pendapat Muqatil.

* Tatkala jin berbai'ah kepada Rasulullah pada malam tersebut yang jumlah mereka melebihi 70,000 dan selesai bai'ah ketika hampir menyingsing fajar. Inilah pendapat Makhul.

Sayid Qutub berkata: "Ini satu amaran dan ancaman terbuka kepada orang-orang yang sampai dakwahnya kepada mereka tetapi menentang dan tidak mengikutinya walaupun diberitahu kepadanya bebanan yang akan ditanggung."

Andainya kaum musyrikin berbangga dengan kekuatan dan bilangan yang ramai dibandingkan dengan kekuatan Nabi SAW dan yang bersama dengan Baginda, maka di akhirat mereka ini akan diseksa dan diazab bagi menjelaskan yang mereka sememangnya sangat lemah dan puak yang telah tewas.

Hamka berkata: "Oleh itu telah dijelaskan oleh Nabi SAW kewajipan dia menghukum bukan mencaci dan memaki hamun. Kewajipan padanya ada dua; Pertama, menyampaikan dan kedua, melaksanakan misi dan visi dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang mulia."

Ia semuanya terdapat dalam risalah yang dibawa olehnya dan sifat tersebut merangkumi sidiq, amanah, tabligh, fatanah. Apabila semuanya diaplikasikan, maka mustahil untuk Baginda menjadi pendusta.

Mereka menganggap orang yang beriman lemah dan menghinanya sehingga mereka melihat pelbagai azab yang diancam kepada mereka. Kemudian akan jelas bagi mereka siapakah sebenarnya orang yang lemah itu? Sama ada orang yang beriman mengesakan Allah SWT atau orang musyrik yang tidak mempunyai penolong dan pelindung?

Kesimpulannya, orang musyrik itu tidak mempunyai penolong. Jumlah mereka lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera-tentera Allah SWT.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengikatkan hubungan hablun mina Allah dan hablun mina an-Nas.

Friday, March 9, 2012

Hukum pelihara anjing

SEJAK kebelakangan ini terdapat ramai umat Islam di negara ini, terutamanya yang Melayu membela anjing walaupun haiwan itu termasuk dalam kategori najis mughalazzah iaitu jika terkena air liur atau terpegang badan anjing yang basah maka wajib dibasuh dengan air yang bercampur tanah sekali diikuti dengan enam kali air yang bersih.

Antara alasan-alasan yang mereka beri:

1) Tidak terdapat dalam al-Quran yang menyatakan orang Islam tidak boleh membela anjing.

2) Rasullullah SAW tidak pernah mengharamkan orang Islam membela anjing.

3) Anjing juga seperti haiwan-haiwan yang lain adalah makhluk Allah.

4) Terdapat ramai pemimpin-pemimpin Islam di negara luar juga membela anjing malah ada yang membiarkan anjing mereka memasuki rumah dan bilik tidur.

5) Ramai penganut-penganut Islam di negara-negara Arab, Pakistan dan Afghanistan membela anjing.

6) Ada kisah yang menceritakan tentang tiga orang pemuda terkurung di dalam gua bersama seekor anjing selama 300 tahun, kemudian dibebaskan Allah yang mana dikatakan pemuda-pemuda tersebut termasuk anjing mereka dimasukkan Allah ke dalam syurga.

7) Ada kisah di Amerika seorang penganut Islam yang buta kedua-dua matanya mempunyai seekor anjing penunjuk jalan untuk ke masjid.

8) Terdapat sebilangan ustaz-ustaz dan guru-guru agama yang berpendapat tidak salah orang Islam membela anjing.

Seperkara lagi, benarkah Rasullullah ada bersabda: "Tidak akan masuk Malaikat Rahmat ke dalam rumah seseorang Islam itu yang mana di rumah tersebut ada membela anjing."

JAWAPAN

Pada dasarnya, ketetapan najis bagi air liur anjing ini dipandang daripada dimensi yang bersifat ritual, bukan rasional, sehingga tidak harus ada alasan logik. Dimensi akal masih jauh daripada kesempurnaan untuk menganalisis secara teliti tentang najis air liur anjing.

Memang, agama tidaklah diukur dengan akal. Sayidina Ali mengatakan: "Andaikan agama diukur dengan akal, maka mengusap sisi bawah muzah (sepatu) lebih utama daripada mengusap sisi atasnya. Dan Rasulullah SAW telah mengusap di atas dua sepatu." (riwayat Abu Dawud).

Ada yang berpendapat apa salahnya memelihara anjing kerana ia juga makhluk ciptaan Allah SWT. Lagi pula, ia sangat taat pada tuannya. Sebab itu agama Islam tidak boleh dikias sesuka hati mengikut perasaan.

Apa yang digaris oleh Islam dalam syariatnya ialah lebih kepada menjaga kemaslahatan penganutnya. Bukan sekadar menyuruh Muslim membuat itu dan meninggalkan ini, malahan lebih daripada itu.

Sebagai pembuka perbincangan, suka saya nukilkan beberapa dapatan kajian saintifik yang kebanyakan kita tidak mengetahuinya.

Walaupun sesuatu suruhan dan tegahan yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya pada awalnya diterima oleh sahabat dan para salaf soleh dengan tanpa bantahan, tanpa bertanya hikmah mahupun falsafah di sebaliknya. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan tegahan dan suruhan dapat dibuktikan hikmah dan falsafahnya.

Antaranya, kenapa najis kedua ini diwajibkan membasuhnya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah? Sains ada jawapannya.

Sebanyak 79.7 peratus penderita barah payudara ternyata sering berdampingan dengan anjing seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan semua aktiviti perawatan anjing. Hanya 4.4 peratus pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Di Norway, 53.3 peratus daripada 14,401 pemilik anjing mengidap barah.

Ternyata barah pada anjing dan manusia disebabkan oleh virus yang sama iaitu mammary tumor virus (MMTV).

Dalam satu kajian oleh para penyelidik Munich Universiti mengenai kuman yang dibawa oleh anjing dan kesannya pada manusia, menunjukkan 80 peratus punca penyakit payudara berpunca daripada kuman yang dibawa oleh anjing.

Dari sudut fiqh, suka saya kemukakan pandangan Imam al-Syafie sebagai pandangan yang terpilih dengan beberapa alasan tanpa memperkecilkan pandangan mazhab lain. Ini kerana rakyat Malaysia berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Pendapat Pertama: Anjing adalah najis keseluruhannya, sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh kali. Bahkan, menurut pendapat Imam al-Syafie tentang najisnya anjing ini termasuk najis mughallazah (najis berat).

Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh kali dan satu kali di antaranya harus dicampuri dengan debu tanah. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Hanbali yang amat ketat dalam persoalan anjing. Pendapat ini diikuti umumnya kaum Muslimin di Malaysia dan yang bermazhab al-Syafie.

Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. Dalil Pertama berdasarkan kaedah Qiyas.

Menurut mereka anjing dan babi serta yang lahir daripada keduanya adalah najis, termasuk keringatnya. Suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing.

Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama di mana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mendapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya adalah najis juga.

Selain itu, air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar daripada mulut (air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga.

Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: "Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya…" (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Kata al-Qardhawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah. Dalilnya: Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath. (riwayat Bukhari dan Muslim dan semua ahli hadis yang lain).

Inilah juga pendapat majoriti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Zahiri (al-Majmuu', IX/234)

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." (Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940).

Juga daripada Ibnu Umar RA berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak. (riwayat Muslim no. 1571)"

Antara alasan-alasan fuqaha seperti Ibnu Hajar ialah

1. Ia menakutkan jiran dan orang lalu lalang di luar rumah atau orang yang mengunjunginya.

2. Berkurangnya pahala kepada pemeliharanya.

3. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada anjing.

4. Ada anjing yang menjadi daripada jelmaan anjing (anjing hitam pekat).

5. Tabiat anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya. (al-Fath, X/395)

Ada pendapat yang mengatakan ia makruh sahaja kerana tiada larangan yang tegas, demikian kata Ibnu Abdil Barr (at-Tamhid, 14/221).

Imam al-Nawawi berpendapat bahawa selain alasan untuk tiga tujuan membela anjing yang diharuskan melalui sabda baginda, iaitu boleh atau tidak membela anjing selain menjaga ternakan, menjaga tanaman dan memburu. Baginda mengharuskan sekiranya anjing itu dipelihara untuk menjaga keselamatan rumah dan tuan. Ini kerana alasan keharusan yang terdapat dalam hadis menunjukkan keperluan untuk membela anjing dengan adanya keperluan.

Namun, ini tidak bermaksud anjing disimpan dalam rumah kerana Nabi SAW telah menegaskan bahawa Malaikat (rahmat) tidak akan memasuki rumah yang terdapat anjing, sekali gus mengelak sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku kerana anjing.

Ini kerana tuan rumah tidak akan dapat memantau setiap gerak geri anjing sepanjang di dalam rumah. Juga dikhuatiri jilatan yang sukar dikesan bila kering. Justeru mengelak itu adalah lebih baik.

Keselamatan duniawi, ukhrawi

Oleh AMINUDIN MANSOR

PENDIDIKAN dalam Islam mestilah bersandarkan kepada kalimah Islam. Ini bermakna pengertian pendidikan yang digunakan kepada bahasa asal agama Islam perlulah dilihat agar kefahaman tentang pendidikan Islam itu benar-benar dikuasai.

Justeru, pendidikan dalam Islam dari segi bahasa Arab terdiri daripada beberapa perkataan utama, iaitu tarbiyyah, tarbib, ta'adib, tadris, ta'alim, tazkiah dan riyadah.

Perkataan-perkataan ini semuanya membawa maksud menjaga, mengasuh dan mendidik ke arah kebaikan. Pendidikan dalam Islam yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah memberikan definisi yang menguatkan makna yang tersurat dalam bahasa Arab.

Dalam kehidupan beragama, Islam tidak memaksa seseorang memeluk menganuti ajaranya. Walau bagaimanapun, anak yang dilahirkan oleh kedua-dua ibu bapa Islam sudah tentu akan dididik dengan agama Islam.

Bagi yang bukan Islam, seseorang itu diberikan kebebasan memilih agama yang disukai. Dalam hal kepercayaan lain taghut bermaksud syaitan, berhala dan kepercayaan-kepercayaan yang menyesatkan.

Telah dijelaskan bahawa kesan-kesan buruk amalan taghut antaranya masyarakat akan berpecah belah dan seseorang itu akan dibenci oleh orang lain.

Selain itu ia akan mendorong seseorang melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Seterusnya, perbuatan jenayah akan berleluasa dalam masyarakat.

Dalam suatu riwayat Nabi SAW bersabda: Sufyan bin Abdullah berkata; Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain. Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkan (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat Muslim).

Islam adalah agama yang benar-benar sesuai dengan fitrah manusia. Terdapat beberapa hikmah berpegang dengan agama Islam. Antaranya seseorang itu akan selamat di dunia dan di akhirat.

Juga terhindar daripada melakukan kejahatan. Seseorang itu akan dikasihi dan diredai Allah. Kita akan dikurniakan ketenangan dan ketenteraman dan memperoleh kejayaan dalam hidup.

Sebagai ibu bapa dan guru, perkara ini hendaklah dididik kepada anak-anak di rumah dan pelajar di sekolah. Tugas pengajaran dan pendidikan ini dapat dilakukan dengan baik dan sempurna sejak seseorang itu masih kecil, remaja dan meningkat dewasa. Hal ini penting bagi anak-anak supaya tetap beramal dengan amalan soleh.

Terdapat beberapa keburukan jika kita tidak mengikut ajaran Islam. Antaranya jauh daripada hidayah Allah. Hidup dalam kesesatan. Terdedah untuk melakukan kemungkaran dan suka melakukan kezaliman dan amalan kebaikan tidak diterima.

Sikap Mukmin yang berpegang kepada agama Allah. Antaranya melakukan ibadat kepada Allah, memiliki ilmu pengetahuan, melakukan kebaikan kepada orang ramai menjauhi perkara-perkara yang tidak berfaedah, berdaya maju dan berdaya saing.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Peliharalah (perintah dan larangan) Allah, nescaya kamu akan selalu merasakan kehadiran-Nya. Kenalilah Allah waktu kamu senang, nescaya Allah akan mengenalimu waktu kamu dalam kesusahan kesulitan. Ketahuilah apa yang kamu luput dari kamu adalah sesuatu yang pasti tidak mengenaimu dan apa yang akan mengenaimu pasti tidak akan meleset daripada kamu. Kemenangan (keberhasilan) hanya dapat dicapai dengan kesabaran. Kelonggaran bersamaan dengan kesusahan dan datangnya kesulitan bersamaan dengan kemudahan." (riwayat At Tirmizi).

Remaja dan sikap proaktif

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

PARA remaja tidak terlepas daripada isu-isu yang boleh memberi kesan kepada persepsi dan pemikiran mereka. Ada isu-isu yang positif mudah difahami, objektif dan juga dapat diterima. Ada isu-isu yang sifatnya subjektif, samar-samar ataupun boleh mengelirukan.

Justeru, para remaja tidak harus bersikap pasif atau reaktif terhadap isu kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap persepsi dan pemikiran remaja.

Sebaliknya, remaja harus bersikap proaktif supaya isu yang didepani, maklumat yang dibaca dan data yang diterima dapat dianalisis dengan baik.

Bersikap proaktif bermakna remaja tidak gopoh membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu. Proaktif bermakna ada susulan dibuat terhadap maklumat yang diterima, isu yang berbangkit dan fitnah yang dilontarkan.

Bersikap proaktif bermakna mengumpulkan data-data dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan, analisis data fakta iaitu secara objektif dan rasional. Jika perlu, membuat tinjauan dan kaji selidik di kalangan orang yang tahu dan sumber-sumber yang mempunyai kredibiliti adalah lebih baik supaya remaja tidak terlibat sama dalam menyebar dan mengembangkan berita-berita palsu.

Bersikap proaktif juga sebenarnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam tradisi Islam ia dikatakan berlaku adil.

Sebab itu dalam Islam apabila kita mendengar sesuatu khabar daripada golongan yang fasik, ia mesti diperiksa terlebih dahulu.

Umpamanya, dalam media baru seperti blog, laman sosial atau forum tentang sesuatu perkara janganlah segera kita bersifat reaktif tentang isu-isu tersebut.

Dapatkan maklumat yang sahih supaya sifat proaktif ini membawa kepada benar atau salah sesuatu cerita dan kisah. Isu kebenaran ini sesuatu yang amat penting dalam tradisi Islam kerana al-Quran menyatakan dengan jelas dalam surah al-Asr ayat 3 yang bermaksud: Dan berpesan-pesanlah dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran.

Ia jelas untuk menyatakan bahawa kebenaran itu hendaklah disampaikan dengan sabar dan untuk mengetahui benar salah akan sesuatu menuntut kesabaran yang tinggi.

Sikap proaktif ini penting buat remaja bagi mengelakkan penyuburan fitnah dan khabar sensasi berkembang dalam masyarakat.

Remaja tidak harus menjadi penyumbang kepada berita-berita yang tidak benar malah boleh merosakkan. Jika budaya fitnah subur, masyarakat boleh menjadi pecah belah, keliru dan celaru kerananya.

Kadangkala kesahihan sesuatu berita yang dikutip dalam Internet gemar disahihkan dengan berita lain di dalam Internet yang belum tentu benar ceritanya.

Selalunya isu-isu yang terkait mempunyai implikasi undang-undang dan menjadi tanggungjawab pihak yang berwajib untuk menangani sesuatu permasalahan.

Mereka mempunyai cara atau mekanisme bagaimana isu ini dapat diuruskan. Sekiranya ini terjadi remaja bersifat proaktif terhadap sesuatu, yang selayaknya harus diselesaikan menerusi cara dan kaedah yang lebih professional.

Adalah tidak wajar untuk remaja melulu dalam menghukum sesuatu yang berada dalam kekaburan dan ketidakjelasan. Ia boleh menyumbang terhadap suburnya fitnah dalam masyarakat.

Tuesday, March 6, 2012

Dakwah Nabi Ilyas kepada Bani Israel

NABI Ilyas diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan kaum Bani Israel yang kufur, iaitu penduduk negeri Baalbek, sebuah daerah di Lubnan. Mereka menyembah berhala bernama Baal.

Nabi Ilyas merupakan keturunan keempat Nabi Harun. Baginda merupakan putera Yasin bin Fanhash bin Aizar bin Harun. Baginda berdakwah agar kaumnya tidak menyembah berhala. Berkali-kali Nabi Ilyas mengingatkan, namun mereka tidak pernah menghiraukannya.

Menyedari kaumnya tidak mematuhi seruannya, Nabi Ilyas meminta agar Allah SWT menurunkan azab-Nya. Maka datanglah bencana kemarau melanda negeri Baalbek.

Kisah Nabi Ilyas tidak banyak diceritakan dalam al-Quran. Nama Ilyas hanya disebut empat kali, iaitu dalam surah al-An'am ayat 85 serta surah al-Saffat ayat 123, 129 dan 130.

Nabi Ilyas mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyedarkan kaum Bani Israel yang suka menyembah berhala Baal. Ilyas mengingatkan kaumnya bahawa berhala yang disembah itu bukan Tuhan yang sebenarnya.

Baginda juga menyeru agar mereka takut kepada Allah SWT yang mencipta alam semesta dan menegaskan bahawa Allah SWT ialah Tuhan mereka. Namun kaum Bani Israel menganggap seruan Ilyas tersebut bohong.

Kisah Nabi Ilyas yang memperingatkan kaumnya itu terdapat dalam al-Quran surah al-Saffat ayat 124-127.

Baalbek merupakan sebuah kota yang sekarang berada di Lubnan. Pada zaman Nabi Ilyas, kota itu didiami oleh bangsa Phonecia, yang merupakan bangsa pelaut terkenal yang menyembah berhala Baal.

Sehingga sekarang masih ada sebuah bangunan berhala bernama Heliopolis yang dipercayai tempat penyembahan Dewa Baal oleh bangsa Phonecia.

Nama kota Baalbek sendiri diambil daripada nama Baal, dewa bangsa Phonecia.

Allah SWT menurunkan azab berupa kemarau panjang selama tiga tahun berturut-turut kerana kaum Nabi Ilyas derhaka. Semua tanaman musnah dan haiwan mati kelaparan.

Kaum Nabi Ilyas akhirnya menyedari kesalahan mereka dan bersedia meninggalkan berhala serta berjanji tidak menyembahnya lagi.

Nabi Ilyas memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan. Namun setelah menikmati kemakmuran hidup, kaum Nabi Ilyas kembali ingkar. Apabila mengetahui kekufuran kaumnya, Nabi Ilyas pun berdoa agar Allah SWT menarik kembali nikmat yang telah diberikan kepada kaumnya dan mereka sekali lagi ditimpa bencana yang lebih dahsyat daripada sebelumnya.

Nabi Ilyas mempunyai seorang anak angkat bernama Ilyasa'. Baginda sering menemani Nabi Ilyas dalam melaksanakan tugasnya berdakwah, terutama ketika usia Nabi Ilyas sudah meningkat tua.

Setelah Nabi Ilyas meninggal dunia, Allah SWT mengutus Nabi Ilyasa' untuk meneruskan tugas ayahnya berdakwah kepada kaumnya yang angkuh itu.

Qada zakat yang terabai

SOALAN:

SELAMA ini saya tidak pernah membayar zakat. Jika dihitung, kira-kira 30 tahun saya langsung tidak membayar zakat, sama ada zakat pendapatan atau mana-mana zakat harta.


Hanya zakat fitrah sahajalah yang saya tunaikan. Saya hanya pernah memberikan terus sedekah dan zakat kepada golongan asnaf, kerana merasakan ia lebih memberi kepuasan secara individu.

Justeru, saya berzakat secara terus dengan kiraan saya sendiri dan tidak tetap. Saya yakin apa yang saya keluarkan masih belum setimpal dengan apa yang saya perolehi.

Saya pernah menerima teguran Allah, namun saya masih leka dengan kemewahan yang saya nikmati. Sehinggalah kini, perniagaan yang saya bina sejak tahun 2000 mula merudum.

Saya cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Namun keadaan masih sukar dan terkadang hampir putus asa kerana puas mencari dimana silapnya.

Saya hanya akur bahawa ini mungkin hukuman keatas sikap kealpaan saya selama ini. Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan saya insaf bahawa saya tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya.

Kini keadaan kewangan syarikat berada dalam dilema. Justeru, bagaimana harus saya mula menunaikan tanggung jawab zakat tersebut.

Bagaimana caranya hendak saya mula membayar zakat? Bila dan bagaimana saya hendak mula qada zakat yang tertunggak?

Saya amat berharap ustaz dapat memberi huraian penyelesaian atas kekusutan persoalan saya ini agar saya dapat melaksanakan perintah-Nya sebaik mungkin.

JAWAPAN:

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan pertunjuk-Nya dan membimbing kita menuju kejayaan. Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat.

Hakikatnya, bisikan ini datangnya daripada Allah SWT. Maka pesan saya, kuatkan tekad dan azam. Kemudian teruskan niat untuk mengqada zakat yang telah terabai itu.

Ingatlah, kala ini saya yakin pada diri saudara telah datangnya pelbagai bisikan daripada segenap penjuru agar saudara menimbang-nimbang kembali niat mahu melangsaikan hutang-piutang itu dengan Allah SWT.

Ini kerana, Allah SWT sudah menjelaskan bahawa inilah bisikan daripada iblis dan konco-konconya, firman Allah yang bermaksud: Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 268)

Kini, apa yang paling utama, semoga ada jalan penyelesaian terhadap dilema yang sedang membelenggu saudara.

Dalam hal ini, suka saya sebutkan, memang dalam aspek hukum wujud khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa dek kerana kelalaian seseorang.

Ada yang menyatakan, orang itu masih wajib berzakat dan ada yang menyatakan, sudah terlepas zakatnya kerana hartanya sudah binasa.

Namun saya sendiri menyetujui pandangan bahawa adalah wajib orang berkenaan menggantikannya apabila sudah ada harta kembali.

Inilah yang tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat.

Bahkan, pihak pemerintah Islam sebenarnya berhak mengenakan tindakan takzir kepada pengingkar zakat, termasuklah bagi mereka yang melengah-lengahkannya.

Maka, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang baharu insaf atau tersedar atas kesilapan, adalah seperti berikut:

l Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga.

l Jika dia mampu, maka diqada secara tunai. Jika tidak mampu, qadalah secara berdikit-dikit

l Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kealpaannya

l Menjaga agar tidak teralpa lagi dalam zakatnya pada setiap tahun

Dalam kes saudara, saya dapat membayangkan sedikit-sebanyak kekangan yang ada. Namun, percayalah, ambillah gesaan Allah SWT: Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya). (ali-'Imran: 159)

Harta milik Allah

Ingatlah, harta dan diri kita ini milik Allah SWT. Apabila kita cuba mendekatkan diri kepada Allah, sudah pasti Allah membukakan pintu-pintu keberkatan ke atas kita.

Ingatlah pesan Allah: Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (al-A'raf: 96)

Ingat juga, jika kita merasa bimbang menjadi fakir kerana berzakat, maka Allah boleh menambahkan kebimbangan dalam hati, menambahkan beban atas diri sehingga kita merasa sempit kanan dan kiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya (jangan bakhil dan jangan pemboros, nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal. (al-Israk: 29)

Bahkan nabi turut berpesan, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya. (riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Akhirnya, mari kita lihat janji Allah ini: Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu (sebagai) penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah (golongan) yang tetap menang (beroleh kejayaan). (al-Maidah: 55-56)

Dan juga firman-Nya: Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang nyata. (Hud: 6).

Kesimpulannya, tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, insya-Allah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Allah SWT Maha Berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya.

Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, insya-Allah. Wallahu a'lam.

Rahsia langit dikawal ketat

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)

Kumpulan jin meneruskan cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.

Ia bagi membersihkan diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui segala urusan ghaib.

Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:

n Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.

n Kami menghampiri langit.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.

Antara bentuk pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk yang tidak diketahui kebenarannya.

Hal tersebut adalah salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.

Al-Maraghi berkata: "Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu."

Kemudian keraguan itu dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan membasmi keraguan tersebut.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)

Al-Maraghi berkata: "Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab."

Sebab-sebab tersebut ialah:

n Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.

n Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

Al-Mawardi berkata: "Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan."

Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:

n Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.

n Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.

n Hawa nafsu yang pelbagai.

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu dengan cara melarikan diri."

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)

Ini adalah perkhabaran daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.

Perkataan qasitin memberi maksud:

n Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.

n Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.

n Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.

Firman Allah SWT: Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)

Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:

n Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.

n Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.

Al-Maraghi berkata: "Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman."

Hamka berkata: "Inilah keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh."

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). (al-Jin: 16)

Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:

n Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka'ab.

n Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.

Al-Maraghi berkata: "Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan keadilan serta tiada kezaliman."

Dengan demikian manusia akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.

Firman Allah SWT: Untuk kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (al-Jin: 17)

Sayid Qutub berkata: " Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak."

Peralihan daripada menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.

Tarikan seperti ini banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.

Hakikat yang pertama wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk pembangunan dan kelangsungan hidup.

Hubungan antara keduanya sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.

Kemudian mereka kufur maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.

Al-Maraghi berkata: "Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk memikulnya."

Andainya di sana terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.

Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).

Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.