Jawapan: Yang paling penting kerja mesti ikhlas, kerana Allah. Luluskan projek kalau semua kerja ikut yang ditentukan dan tidak meluluskan kalau syarat yang ditentukan tidak dilaksanakan dengan sempurna. Sekiranya saudara terus menerus melakukan feel seperti yang ada sekarang, jalan tidak sampai setahun hancur rosak, rumput yang sepatutnya dipotong sebulan sekali, dipotong dua bulan sekali, sudahlah begitu rumput yang dipotong dibiarkan begitu sahaja, kertas-kertas, plastik dibiarkan bertaburan atau dimasukkan dalam plastik dilonggokkan di tepi jalan, sampai berminggu-minggu tidak dipungut, kerana tidak ada lori.
Macam mana lori hendak cukup, sebahagian kawasan pemotongan rumput dibolot oleh beberapa kontraktor dengan cara "membeli" si ampunya lesen dengan memberi komisen 5 peratus atau 10 peratus , bergantung kepada perjanjian. Amalan seperti ini, iaitu kerja-kerja kontrak tersebut perlukan pengawasan pegawai seperti saudara, yang sewajarnya bersifat amanah. Amanah kepada tanggungjawab terhadap kerajaan, juga amanah kepada Allah SWT. Apabila seseorang itu melakukan tugas semata-mata kerana Allah, dia tidak akan menerima sogokan wang tunai, sogokan makan di hotel besar atau menerima tiket ke luar negara dengan percuma.
Kontraktor yang memotong rumput sekali sebulan, pada hal perjanjian yang ditandatangani dia mesti memotong rumput setiap bulan dan menerima bayaran berdasarkan tugas sekali sebulan, bererti dia telah menerima gaji yang tidak halal baginya, iaitu gaji selama sebulan.
Rasulullah menjelaskan mana-mana suapan yang masuk dalam mulut, hasil daripada perbuatan haram, maka neraka itu adalah lebih utama baginya.
Setiap orang Islam wajib mempelajari dan memahami Rukun Iman dan Rukun Islam. Termasuk dalam Rukun Islam itu ialah percayakan kebangkitan pada hari Kiamat, juga balasan baik dan jahat di Padang Mahsyar. Ketika itu semua manusia akan dikumpulkan dan dihisab perbuatan baik dan jahat. Balasan jahat ialah seksaan pada hari Kiamat, yang akhirnya akan dimasukkan orang yang berkenaan dalam neraka.
Setiap muslim wajib percaya Rukun Iman, termasuklah balasan baik dan jahat seperti yang dijelaskan. Sekiranya seseorang itu tidak percayakan adanya hari Kiamat, juga balasan baik dan jahat itu pasti berlaku, orang yang berkenaan telah keluar daripada Islam.
Rasulullah menegaskan bahawa paling ringan balasan ahli neraka itu ialah sekiranya batu neraka itu diletakkan di bawah tapak kaki seseorang, otak orang yang berkenaan akan menggelegak.
Allah menjelaskan bahawa apabila kulit orang yang dimasukkan neraka itu hangus, Allah akan menggantikan dengan kulit yang baru, untuk terus disiksa. Hidup di dunia ini, sekiranya seseorang itu terlalu menderita sakit, orang yang berkenaan selalunya akan pengsan. Apabila pengsan, seseorang itu tidak akan merasa sakitnya. Hal demikian tidak berlaku kepada penghuni neraka. Kulit luluh dimakan api, tetapi tidak pengsan. Allah akan menggantikannya dengan kulit yang baru untuk terus menerima seksaan. Sekiranya seseorang itu terbakar hangus oleh api neraka dan menjadi pengsan, maka penyeksaan Allah tidak akan terlaksana.
Keterangan ini dijelaskan berdasarkan kepada hadis-hadis juga ayat-ayat al-Quran tentunya dapat difahami oleh mereka yang berakal. Andainya saudara membaca artikel ini dan menyedari hukum syarak seperti yang dijelaskan, juga amaran Allah, tetapi masih juga menerima rasuah, iaitu dengan mencari punca salah kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor atau menyusah urusan kontraktor biarpun semuanya telah dilaksanakan ini bererti, bahawa saudara tidak beriman kepada Rukun Iman dalam erti kata sebenar.
penglibatan
Saudara akur penglibatan saudara terhadap amalan rasuah. Wang rasuah atau sesuatu yang berbentuk rasuah itu haram hukumnya. Wang inilah yang akan saudara beri makan kepada isteri, anak-anak, ibu, bapa, termasuk emak dan bapa mertua, biarpun tidak dinafikan apa yang saudara belanjakan itu bercampur-aduk dengan pendapatan yang halal.
Allah melaknat penerima rasuah, iaitu insan seperti saudara, kontraktor yang memberi rasuah juga orang perantaraan atau orang tengah yang membolehkan rasuah itu berlaku.
Laknat bererti bahawa Allah tidak reda dan tidak merahmati perbuatan saudara. Saudara perlu sedar yang melaknat itu ialah Allah, pencipta yang Maha Berkuasa di dunia dan akhirat. Pendapatan haram yang dilaknat Allah itu tidak memberi keberkatan dalam kehidupan seseorang.
Pada suatu ketika, selepas memberi kuliah di sebuah surau di Petaling Jaya seorang lelaki datang mengadu masalah yang dihadapinya, juga keluarga. Saya masih teringat kata-katanya.
"Ustaz, saya bermasalah tidak berhenti- henti. Masalah tidak berhenti-henti?" Tanya saya, sambil menarik tangannya ke sudut surau jauh dari jemaah lain.
"Isteri saya selalu sakit. Bila diubat di hospital, dia sembuh. Tak lama selepas itu, anak saya pula sakit. Kadang-kadang dua orang sakit sekali gus." Terasa minat pula hendak mendengar rintihannya. "Bila semua sembuh, tak sakit, saya pula sakit.
Yang terbaru ini, ketika saya sakit, kerja tidak menentu, kereta pula berlanggar." Saya rasa saudara ini sedang berbicara serius.
Teruk betul. Biarpun pendapatan banyak, tapi habis tak sempat hujung bulan.
"Maaf. Awak ini kerja di mana? Perbualan saya menyebabkan niat baik awal tergendala.
"Saya kerja di PJ" Jawapannya pendek. Saya cuba mengalihkan perbuatannya dengan tajuk lain. Di akhir perbualan dia menyatakan, "Kawasan ini kawasan saya. Tiap bulan saya kutip sekurang-kurangnya RM4,000." Jawapannya ikhlas. Perbualan buat kali pertama itu terasa begitu mesra, membolehkannya berterus-terang.
"Begini sajalah." Sambil saya menepuk bahunya. "Awak minta tukar ke unit lain, yang membolehkan awak tidak ada kuasa untuk memungut duit setiap bulan. Mudah- mudahan segala-galanya akan selesai. Wang diperoleh diberkati Allah!" Tidak ada reaksi luar biasa dari air mukanya mendengarkan nasihat saya tadi.
"Tidak guna ada duit banyak. Banyak hanya pada bilangan atau angka, tapi dalam erti kata sebenarnya ia tidak memberi guna. Macam mana senangnya awak dapat wang begitu banyak, macam itulah juga Allah dengan mudahnya menarik duit tadi, dengan memberi bala atau kifarah terhadap perbuatan rasuah tadi. Saya yakin, wang perolehan gaji awak setiap bulan pun lebih daripada mencukupi!
"Memang lebih dari cukup kalau dikirakan. Saya akan turut nasihat ustaz."
Surau mulai lengang. Tangannya menggenggam erat tangan saya lalu menundukkan kepala. Terasa air matanya menitis jatuh di tangan. Ketika memandu balik, di perjalanan saya terus berfikir, mungkinkah ini antara punca kenapa sebahagian anak-anak menghadapi masalah sosial biarpun kedua-dua ibu bapa berusaha mendidik anak-anak dengan baik? Adakah pendapatan haram, hasil daripada rasuah contohnya, penyalahgunaan kuasa, pendapatan-pendapatan lain yang ditegah oleh syarak itu akan melahirkan anak-anak yang berhadapan dengan masalah moral.
Adakah berkemungkinan anak yang disusukan, diberi sarapan saban pagi, makan tengah hari dan malam hasil yang haram akan melahirkan anak-anak yang bertindak melakukan perbuatan haram, sama seperti ibu mengandung yang selalu berhadapan dengan stres dan depres, pergaduhan suami isteri, masalah kewangan, masalah di tempat kerja akan melahirkan anak yang bermasalah, selalu menangis, sakit dan sebagainya.
Adakah makanan haram itu yang membentuk anak ponteng sekolah, mencuri bahan-bahan yang diperbuat daripada besi ketika cuti sekolah, derhaka kepada ibu bapa, tidak menghormati guru, menendang guru, buli kawan, peras ugut kawan, menyimpan video lucah di dalam beg sekolah dan lain- lain yang akhirnya terlibat dengan penyalahgunaan dadah, liat hendak belajar di rumah. Kerjanya hanya baring di kerusi panjang dan televisyen 24 jam dibuka.
Adakah makanan hasil pendapatan haram itu menyebab anak-anak sukar menerima hidayah iaitu malas hendak sembahyang, jauh sekali untuk berjemaah di masjid atau surau dan tidak pernah memegang Quran. Adakah anak-anak seperti ini yang keluar waktu Maghrib dan balik larut malam? Adakah hasil makanan haram ini membentuk anak-anak muda yang mabuk pada hujung minggu atau cuti umum dan terlibat dengan pil-pil khayal?
Soalan-soalan ini terus menerus berlegar dalam kepala di sepanjang perjalanan, tanpa menyedari saya telah berada di hadapan rumah.
Lebih kurang enam bulan selepas itu, jemaah yang melepaskan genggaman tangannya dengan aliran air mata menyatakan dia telah berpindah ke unit lain. Anak isterinya tidak lagi bermasalah dengan penyakit yang berantai. Saya mengucap syukur kerana teman saya ini menyedari hakikat barakah dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment