Ada yang berpendapat isu di Palestin adalah ibu kepada segala masalah umat Islam di dunia ini. Jika ia dapat diselesaikan maka berakhirlah masalah lain umat Islam. Benarkah?
ROSLAN: Ini adalah hipotesis yang dari sudut sejarah ada kebenarannya. Sebabnya, apabila sesuatu bangsa menguasai Palestin maka bangsa itu menjadi maju dan kuat.
Pada zaman sebelum Islam, kerajaan Roman Byzantine menguasai Baitul Maqdis pada tahun 100 Masihi (M). Pada tahun 132M mereka mengeluarkan arahan supaya orang Yahudi dilarang masuk ke Palestin.
Pada tahun 637M, Saidina Umar al-Khattab berjaya menguasai Baitul Maqdis. Ketika itu, Islam menguasai dunia di mana agama suci ini tersebar ke seluruh pelosok dunia dan masyarakat di Baitul Maqdis hidup aman damai walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa.
Semasa Umar memerintah, beliau memberi jaminan keselamatan ke atas penduduk Aleya (nama Palestin ketika itu) yang dikenali sebagai al-uhda al-Umariah.
Jaminan khalifah itu merangkumi rumah-rumah ibadat agama lain tidak akan diroboh atau diambil alih oleh orang Islam.
Kemudian berlaku Perang Salib pada tahun 1099 yang membolehkan kristian menguasai Palestin hingga tahun 1187.
Ia kemudiannya berjaya dirampas oleh umat Islam melalui gerakan Salehuddin Al-Ayubi yang kembali menguasai Baitul Maqdis bermula tahun 1187.
Bagaimanapun, pada tahun 1920, Palestin dijajah oleh British dan pada tahun 15 Mei 1948 Israel diisytiharkan sebagai negara di tanah Palestin.
Sekatan Israel di Semenanjung Gaza menambah duka penduduk Palestin. Malangnya, Mesir juga seolah-olah menyokong Israel apabila enggan sempadan Rafah. Kenapa berlaku demikian?
ROSLAN: Semasa Gaza diserang pada hujung Disember 2008 kita rasa sedih kerana negara-negara Islam yang bergabung di bawah Persidangan Negara-negara Islam (OIC) tidak dapat membantu. Bantuan hanya boleh disalurkan selepas rejim Israel keluar dari Gaza.
Ini menunjukkan negara-negara Islam tidak berani memberi bantuan kepada rakyat Palestin semasa berlaku perang.
Rafah yang bersempadan dengan Mesir pula adalah satu-satunya laluan bagi penduduk Gaza untuk ke luar negara selepas Israel mengharamkan wilayah Yahudi lain sebagai transit kecuali dalam situasi luar biasa.
'Kegerunan' memberi bantuan terutama oleh Mesir yang sepatutnya menjuarai isu Palestin ini berkait rapat dengan Perjanjian Kem David.
Ia ditandatangani oleh Presiden Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin pada tahun 1978. Semuanya adalah hasil lawatan Anwar ke Jerusalem atas undangan Menachem pada 19 November 1977.
Akibat perjanjian itu juga Mesir negara yang kaya dengan hasil pertanian tidak dapat mengeksportnya akibat dikenakan sekatan terhad.
Perjanjian itu adalah atas usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter. Perjanjian ini dianggap penamat kepada Perang Arab-Israel 1948.
Inti perjanjian ini termasuklah Israel keluar dari Semenanjung Sinai, pembebasan Terusan Suez, mengiktiraf Selat Tiran dan Teluk Aqaba sebagai laluan air antarabangsa.
Bagaimanapun tindakan ini ditentang hebat oleh dunia Islam dan dunia Arab terutamanya kumpulan radikal Muslim. Tindakan Anwar Sadat dilihat sebagai pembelot kepada perpaduan Arab.
Banyak tunjuk perasaan diadakan oleh puak penentang terhadap rasuah Anwar dan keluarganya. Kemuncak penentangan adalah pembunuhan Anwar pada Oktober 1981.
Tahun baru 2010 disambut meriah di negara kita. Namun, di Palestin, ia disambut dengan perluasan wilayah penempatan Yahudi. Apakah iktibar daripada kisah ini?
ROSLAN: Rakyat Palestin yang jumlahnya kira-kira 1.5 juta ibarat duduk dalam 'penjara' terbesar dunia. Israel pula tidak menghiraukan suara masyarakat dunia termasuk oleh kuasa besar iaitu AS sendiri.
Presiden Barack Obama pernah mengeluarkan kenyataan mohon dihentikan peluasan penempatan haram Yahudi di Gaza tetapi ia tidak dipedulikan Israel.
Malah dalam ucapan di Kaherah pada 4 Jun 2009, Obama memberi mesej jelas iaitu orang Palestin sudah lama ditindas iaitu lebih satu abad. Jadi tiba masanya rakyat Palestin diberi pengiktirafan memiliki negara berdaulat.
Namun, persoalan membentuk sesebuah negara itu bukan semudah diucapkan. Sebabnya, di kalangan rakyat Palestin ada yang tidak dapat menerima konsep dua negara (two state solution) iaitu mengiktiraf Israel sebagai negara dan Palestin diberi kedaulatan negara di bawah Resolusi 181 (2).
Bagi rakyat Palestin, mereka masih rasa 'negara' Israel itu dibina atas tanah tumpah darah mereka.
Tahun Baru di negara kita disambut meriah dengan percikan bunga api tetapi di Palestin, ia disambut dengan bedilan peluru dan fosforus yang sengaja dilancarkan untuk membunuh rakyat Palestin.
Rakyat Palestin ini majoritinya Islam tetapi ada juga orang kristian. Yang kristian pun turut merasai tempias kezaliman Yahudi ini.
Bagi kita di Malaysia, tidak boleh rasa terlalu selesa. Seorang Muslim mesti memikirkan tanggungjawabnya membantu Muslim yang lain. Ia sebagai mana hadis Nabi SAW yang antara lain bermaksud: Perumpamaan kasih sayang orang mukmin itu ibarat satu jasad. Apabila sakit satu anggota badan maka seluruh anggota yang lain juga akan turut sakit... (riwayat Muslim)
Mengapakah Palestin itu istimewa dan perlu dipertahankan?
ROSLAN: Masalah Palestin bukan masalah orang Arab sahaja tetapi ia adalah masalah umat Islam semua. Memang tanah di Palestin itu istimewa.
Allah SWT memuliakan Masjid al-Aqsa melalui firman-Nya yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Israk: 1)
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga buah Masjid: Masjid al-Haram, masjid-ku ini (Masjid al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah) dan Masjid al-Aqsa. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Selain itu, Palestin juga tempat tinggal para anbia yang banyak disentuh secara langsung di dalam al-Quran.
Antaranya adalah firman Allah yang bermaksud: Dan Kami selamatkan dia (Nabi Ibrahim) dan sepupunya Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkata padanya untuk manusia (termasuk Palestin)...(al-Anbiya': 71)
Sebagai saudara seagama apakah jihad yang paling minimum boleh dilakukan untuk membantu masyarakat Islam Palestin yang ditindas sejak sekian lama ini?
ROSLAN: Jihad paling minimum adalah rasa benci terhadap kezaliman Yahudi. Ini supaya akhirnya dunia akan memberi tekanan kepada mereka sebabnya mereka melakukan banyak kezaliman kepada bukan sahaja orang Islam tetapi kristian di Palestin.
Antara yang boleh kita lakukan adalah terus memboikot produk keluaran langsung Israel. Ia perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim.
Boikot ini juga perlu melibatkan bukan hanya orang Islam tetapi seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian.
Apa yang kita tentang adalah kezaliman Yahudi merampas tanah milik rakyat Palestin yang majoritinya umat Islam, membunuh mereka yang tidak berdosa dan menindas penduduk tempatan hingga menyebabkan mereka terperap dalam negara sendiri.
Kita perlu turut serta berjuang menuntut keadilan bagi Palestin. Hasrat ini sukar dicapai selagi Palestin berada dalam cengkaman golongan kafir.
Sejarah membuktikan bahawa zaman pemerintahan Khalifah Umar di Palestin adalah zaman terbaik tertegaknya keadilan.
Ini turut diakui oleh penulis terkenal Karen Armstrong yang berkata, pentadbiran pada awal Islam (Khalifah Umar) adalah berasaskan keadilan. Tidak timbul huru-hara apabila orang Islam memerintah Palestin.
No comments:
Post a Comment