NAMA sebenarnya adalah Dubaah binti Zubair bin Abdul Mutalib. Dia adalah sepupu Nabi Muhammad. Bapanya, Zubair adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nabi Muhammad mempunyai beberapa orang bapa saudara iaitu; Az-Zubair, Abu Talib, al-Abbar, Dhirar, Hamzah, al-Muqawwim, Abu Lahab, al-Haris dan al-Ghaidak. Manakala ibu saudara Nabi Muhammad ialah; Atikah, Umaimah, Ummu Hakim, Barrah, Shafiyah dan Arwa.
Setelah Dubaah dewasa, dia berkahwin dengan seorang sahabat Nabi Muhammad iaitu Mikdad bin Aswad. Perkahwinan itu diatur oleh Nabi Muhammad apabila Mikdad sendiri datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Kisah bermula apabila Abdurrahman bin Auf dan Mikdad berbual tentang perkara tersebut.
Abdurrahman bertanya kepada Mikdad: "Wahai Mikdad mengapa awak belum berkahwin lagi?"
Lalu Mikdad menjawab: "Kahwinkanlah saya dengan anak perempuan awak".
Abdurrahman menjadi marah apabila Mikdad berkata begitu terhadapnya. Mikdad pun segera berjumpa dengan Nabi Muhammad dan menyatakan hajatnya.
Selepas mendengar hajat Mikdad untuk berkahwin, maka Nabi Muhammad telah menikahkan Mikdad dengan Dubaah binti Zubair.
Dubaah dan suaminya hidup aman dan bahagia. Rezeki mereka melimpah-ruah. Hasil perkahwinan itu mereka memperoleh dua orang anak iaitu Abdullah dan Karimah.
Nabi Muhammad begitu menghormati anak bapa saudaranya. Begitu juga dengan Dubaah, dia juga menghormati Nabi Muhammad.
Pada suatu hari, Dubaah menghadiahkan Nabi Muhammad makanan. Dia telah meminta seorang hambanya menghantarkan makanan itu kepada Nabi Muhammad.
"Saya Sidrah. Saya ada bawa semangkuk makanan untuk Nabi Muhammad. Makanan ini dibuat oleh Dubaah," kata Sidrah.
"Silakan masuk," kata Ummu Salamah yang menyambut kedatangan Sidrah.
Pada masa itu Nabi Muhammad ada di rumah. Nabi Muhammad terdengar perbualan isterinya dan tetamunya.
"Ada seorang wanita datang membawa hadiah untuk awak," kata Ummu Salamah kepada Nabi Muhammad.
Sidrah ternampak Nabi Muhammad lalu berkata, "Wahai tuan, hadiah ini dikirimkan oleh Dubaah. Dia menyuruh saya menghantarnya kepada tuan".
Nabi Muhammad bertanya, "benarkah Dubaah yang mengirimkan hadiah ini?"
Sidrah menjawab dengan tenang, "ya, wahai Nabi Muhammad".
Lalu Nabi Muhammad menyuruh Sidrah meletakkan makanan itu di hadapannya.
"Alhamdulillah kita dapat rezeki hari ini," kata salah seorang sahabat yang turut ada di dalam rumah Nabi Muhammad. Kemudian Nabi Muhammad bersama-sama isteri dan sahabatnya menjamah makanan itu.
"Mari jemput makan Sidrah. Rezeki jangan ditolak," kata Ummu Salamah mempelawa Sidrah makan bersama mereka.
Akhirnya mereka semua menikmati makanan yang dibuat oleh Dubaah sehingga kenyang. Dubaah merupakan seorang wanita yang baik. Dia juga turut melaporkan hadis daripada Nabi Muhammad.
Dia adalah wanita yang terawal memeluk Islam. Dia juga turut berhijrah ke Madinah. Sepanjang hidupnya, Dubaah banyak melakukan amal ibadah kepada Allah. Dia mahu menunaikan haji walaupun dia sakit. Hanya dengan jalan itu dia boleh berjihad di jalan Allah.
Dubaah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dubaah berkata kepada Nabi Muhammad: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu mengerjakan haji pada tahun ini. Tetapi saya sakit dan tidak mampu melaksanakannya. Adakah saya boleh mengerjakan haji dengan bersyarat?"
Nabi Muhammad terharu mendengar penjelasan Dubaah lalu berkata, "ya, wahai Dubaah".
Dubaah berasa gembira dan bertanya lagi, "apakah syaratnya itu wahai Nabi Muhammad?"
Nabi Muhammad pun menjawab: "Katakan, saya datang memenuhi panggilan-Mu Ya Allah. Saya datang memenuhi panggilan-Mu. Saya datang memenuhi panggilan-Mu dari bumi di tempat saya berada".
Nabi Muhammad memberi keringanan kepada Dubaah bagi menunaikan haji itu. Dubaah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 40 Hijrah.
No comments:
Post a Comment