Like Blog Ini...

Thursday, January 14, 2010

Peserta Viva dianggap hero

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

SALAH seorang daripada sembilan warga Malaysia yang menjadi sukarelawan dalam Konvoi Antarabangsa Viva Palestina baru-baru ini menyifatkan perjalanan membawa bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dari Damsyik, Syria melalui Rafah di Mesir sebagai satu pengalaman yang menyentuh hati.

Sebelum menyertai konvoi tersebut lagi, beliau sudah menjangka dan mendapat maklumat bahawa anggota konvoi berkenaan akan menghadapi kesukaran untuk menjejakkan kaki di bumi Gaza.

Bagaimanapun, semangat untuk membantu warga Gaza dan mencabar sekatan haram yang dikenakan oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak dua tahun lalu menjadi pemangkin kepada anggota konvoi untuk berhadapan dengan segala bentuk cabaran terutamanya di Mesir.

Sukarelawan Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, 46, berkata, konvoi Viva Palestina yang bertolak dari London pada 6 Disember lalu pada mulanya hanya melibatkan 60 kenderaan. Ia dipimpin oleh seorang ahli Parlimen Britain, George Calloway.

''Sepanjang perjalanan merentasi 10 buah negara Eropah, konvoi berkenaan disertai oleh beberapa van dari Belgium dan lebih 70 kenderaan lain dari Turki. Ini menjadikan jumlah kenderaan yang menyertai konvoi tersebut mencecah 220 dengan hampir 500 peserta apabila tiba di Mesir.

''PGPO sendiri turut menyumbang sebuah ambulans dan empat buah van yang diisi dengan susu bayi dan keperluan perubatan bernilai 100,000 pound atau RM542,000," katanya ketika ditemui di pejabat PGPO di Jalan Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Shamsul Akmar yang juga pegawai kepada bekas Perdana Menteri dan Pengerusi PGPO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau hanya menyertai konvoi Viva Palestina di Damsyik, Syria pada 22 Disember lalu. Dari Damsyik, beliau memandu sebuah van sejauh 300 kilometer menuju ke Amman, Jordan sebelum memandu 200 kilometer lagi ke bandar pelabuhan Aqaba di Laut Merah.

''Sepanjang perjalanan dari Syria ke Jordan, masyarakat di kedua-dua buah negara berkenaan begitu menyokong peserta konvoi. Ada yang bersorak, berlari mengejar kenderaan konvoi untuk memberi makanan dan minuman kepada peserta konvoi serta ada yang mengirimkan makanan kepada warga Gaza. Ada yang memegang sepanduk berbunyi 'Selamat Datang Hero Dunia'.

''Ketika itu, saya turut berasa malu kerana bantuan belum lagi diterima oleh penduduk Gaza tetapi peserta konvoi sudah dianggap sebagai hero. Ada juga pihak yang menganjurkan sambutan besar-besaran untuk peserta konvoi dengan mendirikan khemah umpama majlis kenduri kahwin di Malaysia," katanya.

Tambah Shamsul Akmar, sambutan meriah warga Syria dan Jordan untuk peserta Viva Palestina adalah kerana hampir 50 peratus daripada warga Syria dan Jordan berbangsa atau berketurunan Palestin yang berhijrah ke negara jiran sejak bumi Palestin diceroboh Israel.

Cabaran Viva Palestina bermula di bandar pelabuhan Aqaba, Jordan apabila mereka terkandas empat malam kerana Konsulat Mesir di Aqaba enggan memberikan kebenaran kepada peserta konvoi menyeberangi Laut Merah untuk ke bandar pelabuhan Nuwaiba di Mesir. Nuwaiba terletak kira-kira 400 kilometer dengan bandar sempadan Mesir-Gaza iaitu Rafah.

''Di Aqaba, kami terpaksa tidur dalam kenderaan masing-masing di kawasan letak kereta pelabuhan, saya sendiri mendirikan khemah di tepi van yang dipandu. Cuaca ketika itu sejuk.

''Pada malam seterusnya kami keluar ke bandar Aqaba. Ada peserta konvoi yang cuba menginap di hotel dan sokongan daripada pemilik hotel di bandar berkenaan amatlah baik. Ada yang menawarkan diskaun bilik penginapan hotel sehingga 90 peratus," katanya.

Jelas Shamsul Akmar, pengalaman paling menyentuh hati di Aqaba ialah ketika peserta konvoi berhenti di sebuah kedai runcit kecil untuk membeli coklat dan gula-gula. Pekerja di kedai itu, Kassim An-Noufuri, 50, memberikan coklat secara percuma sambil menyatakan bahawa beliau tidak mampu untuk menyertai konvoi, namun masih ingin menyumbang kepada warga Palestin.

''Apabila peserta konvoi mendapati beliau cuma pekerja di kedai berkenaan, beliau menjelaskan perkara itu tidak menjadi hal kerana semua coklat yang diberikan sudah dicatatkan dari segi kuantiti dan harganya.

''Kassim juga memberitahu kami bahawa beliau akan memberitahu majikannya supaya memotong gaji beliau mengikut nilai coklat yang disumbangkan," katanya.

Selepas empat hari gagal mendapat kebenaran untuk menyeberangi Laut Merah ke bandar pelabuhan Nuwaiba di Mesir, Viva Palestina terpaksa berpatah balik dari Aqaba ke Damsyik. Ia melibatkan perjalanan lebih 500 kilometer.

Kata Shamsul Akmar, di Damsyik pula, konvoi berkenaan terkandas selama dua hari untuk menjadualkan semula perjalanan sebelum ke Pelabuhan Latakia, Syria yang terletak 200 kilometer dari Damsyik. Dari Latakia, Viva Palestina menggunakan jalan laut dan udara untuk ke Pelabuhan El-Arish di Mesir.

''Kos untuk memasuki Mesir melalui Latakia adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada kos untuk masuk ke Mesir melalui Aqaba. Feri dari Aqaba ke Nuwaiba mengambil masa empat jam dan penumpang boleh berada dalam kenderaan masing-masing dalam feri tersebut.

''Berbanding di Latakia, feri untuk ke El-Arish mengambil masa 19 jam yang mana kenderaan perlu dibawa dengan feri dan peserta konvoi juga perlu menyewa penerbangan khas. Ketika di Latakia, konvoi Viva Palestina terpaksa menggunakan sebuah feri bernilai 30,000 pound (RM162,600) yang disewa oleh kerajaan Syria, Turki dan PGPO atas arahan Dr. Mahathir yang dihubungi dan dimaklumkan mengenai masalah kami," jelasnya.

Tambah beliau, di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir, peserta konvoi turut terkandas selama beberapa jam dan terpaksa mengadakan protes sebelum dibenarkan menaiki bas ke Pelabuhan El-Arish untuk mengambil kenderaan masing-masing.

Di Pelabuhan El-Arish sekali lagi, peserta konvoi terkandas selama dua malam. Ini menyebabkan peserta konvoi mengadakan protes dan kerajaan Mesir menggunakan gas pemedih mata serta semburan air untuk menghentikan protes. Ketika itulah seorang pelajar Malaysia, Ibrahim Mohd. Azmi ditangkap, namun dibebaskan selepas itu.

Jelas Shamsul Akmar, selepas insiden protes berkenaan, polis El-Arish mengadakan rundingan dengan pemimpin Viva Palestina, Calloway.

'' Viva Palestina hanya diberikan tempoh 48 jam untuk berada di Gaza. Mesir turut menghalang 49 buah kereta sedan daripada dibawa masuk ke Gaza atas sebab-sebab tertentu.

''Pada pukul 6 petang 6 Januari, Viva Palestina mula bergerak ke Rafah. Biarpun Rafah hanya 40 kilometer dari El-Arish, konvoi berkenaan cuma tiba di Gaza pada pukul 3 pagi esoknya kerana Mesir memeriksa semua peserta, kenderaan dan barangan yang dibawa untuk penduduk Gaza. Gaza terletak kurang dua kilometer dari Rafah," katanya.

Tambah beliau, Viva Palestina diberikan sambutan yang dihadiri pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sejurus tiba. Esoknya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza, pihak konvoi menerima maklumat supaya berada di sempadan Rafah sebelum 1 petang pada hari berikutnya.

''Sepanjang hanya 30 jam berada di Gaza dan menginap di Hotel Adam di pinggiran bandar Gaza, peserta konvoi dapat mendengar tidak kurang lima bunyi pengeboman di kawasan pedalaman Gaza. Pada pandangan saya, Gaza boleh diumpamakan seperti bandar Sungai Petani di Malaysia. Bandarnya sangat bersih dan dilengkapi dengan semua kemudahan asas.

''Pekerja hotel memberitahu Israel tidak akan mengebom kawasan bandar Gaza jika tahu terdapat warga asing kerana tidak mahu ia menjadi isu antarabangsa. Pengeboman merupakan cara Israel meluaskan penempatan haram mereka kerana apabila kawasan penduduk Palestin dibom, mereka akan terkorban atau melarikan diri. Selepas itu, petani Israel akan menduduki kawasan tersebut," jelas Shamsul Akmar.

Katanya, peserta konvoi menaiki bas meninggalkan Gaza untuk kembali ke Rafah kerana kenderaan yang digunakan disumbangkan kepada penduduk Gaza.

Calloway yang memimpin konvoi terus ditangkap oleh pihak berkuasa Mesir dan dihantar pulang ke London secara paksa selepas meninggalkan Gaza.

''Sementara sembilan warga Malaysia dibawa menaiki bas ke Kaherah dan seolah-olah dikuarantin di satu sudut yang berbau hancing di Lapangan Terbang Kaherah. Pasport kami hanya diserahkan semula sebelum menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

''Biar sebesar manapun halangan yang diberikan oleh Mesir dan sekutu Israel lain ke atas pihak yang membela nasib warga Gaza, semangat masyarakat dunia untuk warga Palestin tidak akan berakhir," katanya.

No comments: