Soalan:
SAYA telah lebih 10 tahun bekerja di medan selera (makanan halal) di syarikat yang menjalankan perniagaan hotel, resort, tenaga dan pembinaan.
Baru-baru ini pihak syarikat telah menutup operasi medan selera tersebut. Ia diganti dengan medan selera yang menjual makanan tidak halal.
Saya ditugaskan di bahagian pejabat dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan hanya membuat pengiraan wang untuk operasi serta memasukkan wang hasil jualan harian ke bank. Apakah hukum saya bekerja di sana ?
Jawapan:
Ilmu wajib dituntut bagi melandasi kehidupan seseorang agar terarah kepada yang halal dan menjauhi yang haram.
Kegagalan membezakan yang halal dan haram adalah bermaksud gagal memahami agama Allah yang mendisiplinkan kehidupan manusia bagi menjamin kegembiraan hidup dunia dan akhirat.
Walau bagaimanapun sumber gaji saudara adalah dari sumber yang haram, iaitu dari hasil penjualan perkara haram. Kerana aktiviti haram sangat jelas. Maka saudara wajib mencari kerja yang menjanjikan rezeki yang halal.
Daripada Abu Abdullah an-Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (itu pun) jelas dan di antara kedua-duanya (terdapat) perkara-perkara yang syubhat, ramai di kalangan manusia tidak mengetahuinya.
Sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhat, dia akan jatuh kepada perkara yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi gembalaannya akan meragut makanan di dalamnya. Ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila ia baik , maka baiklah seluruh jasadnya. Apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasadnya , ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab 'iman' pada bab siapa yang membersihkan agamanya, juga dalam kitab jual beli.
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab jual beli dalam bab mengambil yang halal dan meninggalkan syubhat.
Imam al-Bukhari yang terkenal dengan kefakihan dalam persoalan hadis serta istinbat (mengeluarkan hukum) sangat menyedari bahawa hadis ini bukan sahaja gunanya untuk para peniaga. Malahan isyarat halus bahawa menjaga diri dari perkara yang syubhat juga bermaksud menjaga iman.
Ini kerana makanan mempunyai kuasa yang luar biasa dalam menentukan tingkah laku seseorang.
Saya tidak tahu barangan apa yang dijual, mungkin juga arak, mungkin juga daging binatang yang haram dimakan oleh orang Islam dan sebagainya yang mengikut fikah hukumnya haram.
Ini keadaan hukum asal, orang Islam adalah ditegah sama sekali dari terlibat dalam aktiviti-aktiviti haram, termasuklah bekerja ditempat-tempat yang melibatkan penjualan perkara-perkara yang haram.
Hukum asal haram, tetapi adakalanya hukum itu berubah dengan berubahnya keadaan. Seseorang itu boleh terus bekerja di tempat sebegini sementara mendapat kerja lain.
Keadaan ini diharuskan kerana khuatir sekiranya berlaku mudarat yang lebih besar, contohnya kematian, terdedah kepada dosa yang lebih besar, mungkin juga mengheret seseorang itu kepada kekufuran terhadap Allah SWT. Dalam masa yang sama tiada pendapatan yang lain.
Namun keharusan ini hanyalah untuk menyelamatkan nyawa dan maruah untuk sementara sahaja dengan syarat berazam untuk berhenti sekiranya mendapat kerja lain. Dalam masa yang sama hati kita membenci perbuatan berkerja di tempat yang ada aktiviti haram.
Walaupun gaji yang ditawarkan mewah ia tidak sama dengan gaji yang sedikit tapi berkat. Sekiranya saudara berazam dengan penuh keimanan dan kesedaran dari hati yang ikhlas kerana Allah pasti Allah SWT akan membuka jalan dan memberi keampunan.
Sekiranya saudara tiada usaha untuk mencari rezeki yang halal dan selesa dengan pendapatan yang haram maka mudaratnya akan berpanjangan.
No comments:
Post a Comment